Skip to main content

Singapura

Kelayakan George Goh bertanding dalam Pilihan Raya Presiden bergantung kepada keputusan PEC, kata peguam

Anggaran Waktu Membaca:
Kelayakan George Goh bertanding dalam Pilihan Raya Presiden bergantung kepada keputusan PEC, kata peguam

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Bagaimanakah usahawan George Goh boleh bertanding dalam Pilihan Raya Presiden jika beliau tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi ketua eksekutif sebuah syarikat dengan sekurang-kurangnya S$500 juta dalam bentuk ekuiti pemegang saham?

Para peguam perlembagaan berkata bahawa ia mungkin bergantung kepada budi bicara Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC), kerana tidak jelas sama ada Encik Goh layak bertanding secara automatik sebagai calon.

Persoalan mengenai kelayakan Encik Goh timbul sejak usahawan itu, yang membawa Harvey Norman ke Asia, mengumumkan pada Isnin (12 Jun) bahawa beliau berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Encik Goh adalah orang kedua yang mengumumkan hasrat untuk bertanding selepas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Bercakap kepada para wartawan pada Selasa (13 Jun), Encik Goh berkata bahawa beliau yakin dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan dan beliau juga sudah menubuhkan sebuah pasukan untuk membantu menilai kelayakannya.

Bagi memenuhi syarat-syarat perkhidmatan sektor swasta untuk menjadi Presiden, pemohon mestilah telah berkhidmat sebagai ketua eksekutif syarikat selama sekurang-kurangnya tiga tahun. Sepanjang tempoh itu, syarikat berkenaan mestilah, secara purata, mempunyai ekuiti pemegang saham sekurang-kurangnya S$500 juta dan meraih keuntungan selepas cukai sepanjang tempoh tersebut.

Selagi PEC belum membuat keputusan, maka itu belum jelas sama ada Encik Goh layak bertanding, menurut Profesor Madya Eugene Tan dari Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Menurut kenyataan media Encik Goh dan komennya kepada media mengenai pencalonannya, beliau kelihatan seolah-olah tidak layak secara automatik untuk bertanding dalam pilihan raya di bawah syarat-syarat yang ditetapkan bagi sektor swasta, kata Prof Madya Tan.

"Beliau mungkin akan bergantung kepada 'laluan perundingan' sektor swasta untuk menjamin kelayakannya," katanya kepada Mediacorp.

Di bawah laluan itu, PEC akan menimbangkan sama ada ciri-ciri jawatan, saiz dan kerumitan sesebuah pertubuhan serta prestasi pemohon bagi jawatan itu "setanding" dengan pengalaman dan keupayaan seorang ketua eksekutif sebuah syarikat biasa yang mempunyai ekuiti pemegang saham sekurang-kurangnya S$500 juta.

PEC juga boleh menimbangkan mana-mana faktor lain yang difikirkannya sesuai, sama ada pemohon mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk menjalankan fungsi dan tugas Presiden dengan berkesan.

S$500 JUTA: PERATURAN YANG KETAT?

Encik Ben Chester Cheong, pensyarah undang-undang di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) juga berpandangan bahawa "tidak serta-merta jelas" sama ada Encik Goh memenuhi syarat-syarat ekuiti pemegang saham.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dalam tempoh tiga tahun kewangan yang lalu, Ossia International meraih keuntungan selepas cukai tetapi jumlah keseluruhan ekuiti pemegang sahamnya kurang daripada S$500 juta.

Encik Cheong berkata berdasarkan pemahamannya, ekuiti pemegang saham sebanyak S$500 juta adalah "peraturan ketat" yang mesti ditepati oleh para pemohon - sekalipun di bawah laluan perundangan.

Beliau menambah bahawa ia juga tidak jelas syarikat mana yang diharapkan oleh Encik Goh untuk memenuhi syarat ekuiti pemegang saham.

Penolong Profesor Benjamin Joshua Ong, juga dari Sekolah Undang-Undang Yong Pung How SMU, berkata berdasarkan pemahamannya tentang Perlembagaan Negara, "seseorang individu tidak boleh menggabungkan ekuiti pemegang saham berbilang syarikat untuk membentuk S$500 juta".


Menurut Penolong Profesor Ong, perkara itu adalah atas budi bicara PEC - dan menurut Perlembagaan Negara, keputusan PEC dalam hal tersebut "adalah muktamad dan tidak tertakluk kepada rayuan atau semakan mana-mana mahkamah".

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita