Skip to main content

Singapura

KelasMateMatika@CC bangkitkan keyakinan ibu bapa ajar Matematik

Setelah mengikuti program KelasMateMatika atau KMM@CC, 97 peratus ibu bapa tampil yakin untuk mengajar anak-anak mereka dalam subjek yang mungkin dianggap 'sukar' itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah mengikuti program KelasMateMatika atau KMM@CC, 97 peratus ibu bapa tampil yakin untuk mengajar anak-anak mereka dalam subjek yang mungkin dianggap 'sukar' itu.

Mendedahkan demikian, Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Zaqy Mohamad berharap program itu dapat dimanfaatkan lagi 750 keluarga atau 1500 ibu bapa dan anak mereka tahun depan.

Satu majlis penyampaian sijil berlangsung hari ini (2 Dis) bagi mengiktiraf para keluarga yang berjaya menamatkan program tersebut.

35 daripada 43 keluarga berjaya selesaikan program KMM@CC

28 keluarga yang tamat menjalani program KMM@CC di kelab-kelab masyarakat Marsiling, Nee Soon Central dan Pasir Ris East menerima sijil daripada Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, di Pusat Sains Singapura pagi tadi.

Projek pertama gandingan MENDAKI, MUIS dan MESRA di bawah rangkaian M³ itu dirintiskan September lalu.

Kesemuanya, 35 keluarga atau 80 peratus daripada keseluruhan jumlah peserta selesai menjalani program tersebut.
Sepanjang 10 sesi, para ibu bapa dan anak-anak menimba teknik asas subjek Matematik serta kemahiran pembelajaran lain menerusi kursus-kursus kendalian Persatuan Rakyat (PA).

Akur memerlukan komitmen masa agak lama, Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki Rahayu Buang bagaimanapun berkata, berdasarkan maklum balas yang diperolehi, 97 peratus daripada 34 ibu bapa mendapati ia membantu.
"Sebelum menyertai KMM@CC, kurang daripada 70 peratus berasa yakin dapat mengajar Matematik kepada anak-anak di rumah," kongsi Cik Rahayu semasa memberikan ucapan.

"Namun setelah selesai program ini, hampir kesemua atau hampir seratus peratus ibu bapa rasa yakin bahawa mereka dapat mengajar Matematik kepada anak-anak di rumah dan mereka tahu bagaimana mengajar menggunakan bahan-bahan sedia ada di rumah," tambah beliau.

Bagi Cik Normaya Johari, 32 tahun, beliau lebih mengetahui cara-cara untuk menarik perhatian anak sulungnya Nayli Yusyairah Muhammad Faizal, 6 tahun, supaya dia dapat memberikan tumpuan dan tidak mudah hilang minat setibanya waktu belajar.

Misalnya, beliau akan menggunakan warna dan bentuk dari barang-barangan yang mudah didapati di rumah agar anaknya lebih mudah memahami sesuatu konsep Matematik.

"Sebelum itu susahlah hendak buat dia duduk belajar dalam 15 minit ke setengah jam pun susah. Selepas menggunakan teknik yang saya belajar di KelasMateMatika ini, kalau boleh dia hendak lagi dan kadang-kadang boleh tahan 45 minit hingga satu jam. Malah, saya yang asyik cakap ‘okay kita rehat’." kongsi Cik Normaya.

MAHU SASAR 1,500 IBU BAPA DAN KANAK-KANAK TAHUN DEPAN

Encik Zaqy Mohamad yang juga Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara berharap kejayaan itu dapat dilipatgandakan bila empat lagi kelab masyarakat di Admiralty, Keat Hong, Boon Lay dan Woodlands mula menawarkannya tahun depan.

"Tahun ini kita telah mendekati lebih 300 ibu bapa dan anak-anak. Pada tahun depan kita akan meningkatkan lagi aspirasi untuk menjangkau kepada 1,500 iaitu lima kali ganda.Tapi pada masa yang sama kita akan memperluaskan lagi tenaga jurulatih yang ada dengan kerjasama sukarelawan di kawasan-kawasan," ujar Encik Zaqy.

HARUS GIATKAN USAHA DALAM ASPEK LAIN SELAIN PENDIDIKAN

Dr Faishal berkata, ia mencerminkan betapa kemajuan baik mampu dikecapi masyarakat dengan terjalinnya kerjasama bermakna antara badan-badan Melayu/Islam setempat.

Selain aspek pendidikan, beliau menyeru agar lebih banyak usaha dapat dirancakkan untuk juga menyumbang kepada pembangunan keluarga yang kukuh.

"Bagaimana kita boleh memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, keluarga yang mempunyai cabaran sosial. Tetapi yang baik adalah kita harus rasa yakin bahawa ada banyak nara sumber di dalam masyarakat Melayu dan kita mempunyai kepelbagaian yang boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat Melayu," kata Dr Faishal.

Sejajar matlamat program KMM@CC untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi pembelajaran yang menyeronokkan, setiap keluarga turut diberi tiket masuk percuma ke Pusat Sains Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita