Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelas tarian rakyat Israel sebahagian usaha 'galak keharmonian kaum', jelas pertubuhan akar umbi berhubung kontroversi

Anggaran Waktu Membaca:
Kelas tarian rakyat Israel sebahagian usaha 'galak keharmonian kaum', jelas pertubuhan akar umbi berhubung kontroversi

Gambar: sgpforpalestine48/Instagram

SINGAPURA: Kelas tarian rakyat Israel yang ditawarkan di portal online Persatuan Rakyat (PA) sejak 2022 adalah sebahagian daripada usaha untuk "menggalak keharmonian kaum dan perpaduan sosial".

Demikian menurut dua pertubuhan akar umbi pada Selasa (19 Dis) di tengah-tengah perbahasan hangat di platform online mengenai sebab perlunya ada kelas sedemikian.

Laman OnePA, yang biasanya digunakan bagi para pengguna untuk membuat tempahan bagi kursus serta kegiatan kendalian PA, sebelum ini menyenaraikan kelas Tarian Rakyat dan Rekreasi Israel. Namun, aktiviti tersebut telah dipadam dari laman tersebut.

Ini selepas pengguna Instagram sgpforpalestine48 memuat naik petikan skrin maklumat mengenai kursus tersebut, serta sekeping poster yang mempromosikan kelas tersebut di sebuah papan notis, yang dipercayai terletak di Pasir Ris.

Pengguna tersebut, yang dilihat sering kali memuat naik hantaran berunsur pro-Palestin mengenai perang Israel-Hamas, menyatakan dalam catatannya itu bahawa Singapura sepatutnya tidak mempromosikan tarian sedemikian di tengah-tengah konflik yang sedang berterusan.

Sementara itu, sesetengah warga net menarik perhatian dalam ruang komen hantaran tersebut bahawa salah satu daripada kelas itu telah habis ditempah. Malah, mereka menyifatkan perbuatan mengendalikan kelas sedemikian sebagai sokongan terhadap tindakan Israel dalam konflik berkenaan.

Petikan skrin yang dimuat naik itu menunjukkan bahawa kelas tersebut ditawarkan oleh Kelab Masyarakat Kampong Glam dan Rangkaian Penduduk Coral Ris.

Pada Selasa, Pejabat Kawasan Undi Kampong Glam dan Rangkaian Penduduk Coral Ris menyatakan di halaman Facebook masing-masing bahawa pihaknya "sedia maklum terhadap komen-komen tertentu" tentang mengapa kursus tarian sedemikian wujud.

"Kursus ini adalah salah satu daripada pelbagai program tarian rakyat antarabangsa yang dianjurkan dalam kalangan masyarakat selama beberapa tahun ini, supaya para peserta boleh menimba pengalaman mencuba genre tarian yang berbeza, yang berasal dari Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika dan China," jelas pertubuhan akar umbi tersebut.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mengalak keharmonian kaum dan perpaduan sosial, melalui pelbagai kursus dan program yang berbeza (bagi tujuan) menyatupadukan orang ramai. Kursus dan program sedemikian, termasuk sukan dan tarian, juga merupakan saluran yang berkesan bagi para penduduk menggerakkan minda dan badan mereka, dan membuat kawan."

Kedua-dua pertubuhan tersebut turut menyatakan bahawa kursus itu ditawarkan memandangkan terdapat "minat yang kian meningkat dalam kalangan para peserta bagi gaya yang dinamik yang berunsur rancak".

Mediacorp sudahpun menghubungi persatuan akar umbi tersebut untuk mengulas sama ada kelas tersebut telah dibatalkan.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan