Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelas Mohd Razif lebih kepada soal perniagaan, bukan agama: Saksi pendakwa

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perbicaraan terhadap Mohd Razif Radi, 66 tahun, yang dituduh menyebarkan ajaran sesat diteruskan buat hari kedua pada Selasa (25 Jun).

Perbicaraan tertumpu kepada kegiatan berjudi yang dia jalankan.

Peguam bela Encik Simon Tan menyoal saksi pendakwa tentang tiket 4D dan TOTO yang ditunjukkan kepada para pengikut kelas agama kelolaan Mohd Razif.

Pada Isnin (24 Jun), saksi itu memberitahu mahkamah dia pernah mengikuti 'kelas' pimpinan Mohd Razif sebanyak dua kali.

Dia berkata semua pengikut yang hadir ke kelas agama kelolaan Mohd Razif itu telah ditunjukkan tiket-tiket judi tersebut.

Namun, dia tidak pasti sama ada tiket-tiket itu telah ditunjukkan kepada mereka sebelum atau selepas 'kelas agama' itu berlangsung.

Menurutnya, isterinya mungkin telah menyumbang (wang) untuk membeli tiket-tiket judi itu tetapi dia sendiri tidak berbuat demikian kerana tidak berminat (untuk berjudi).

Encik Tan turut mempersoalkan kenyataan saksi bahawa tiket-tiket judi yang dibeli itu pernah menang.

Saksi itu berkata: "Besar atau kecil kemenangan mereka, saya tidak tahu. Saya hanya mendengar bahawa mereka menang kecil tetapi saya tidak melihat hasil kemenangan perjudian itu."

Timbalan Pendakwa Raya, Hidayat Amir kemudian menyoal saksi itu tentang ajaran agama di dalam dua kelas yang dihadirinya itu.

Dia memberitahu mahkamah Mohd Razif yang biasanya 'mengajar' dalam kelas agama itu.

Walau bagaimanapun, dia kemudian memberitahu mahkamah dua sesi yang dihadirinya lebih menyentuh tentang soal perniagaan, bukan agama.

Ini meskipun isu seperti perkahwinan juga ditimbulkan.

"Pada akhirnya, kelas itu adalah tentang perniagaan. Kalau tentang 'Mbah', hanya dia yang boleh 'membersihkan' duit kemenangan (hasil perjudian judi) itu. Untuk perkahwinan pula, setiap pasangan melihat kepada kekuatan masing-masing, sebelum memikirkan bagaimana mereka boleh menjalankan perniagaan," kata saksi itu.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa tiada kanak-kanak yang hadir dalam dua kelas yang dihadirinya.

Selain saksi lelaki itu, dua lagi saksi pendakwa memberi keterangan di mahkamah pada hari ini (24 Jun).

Namun, hanya pasukan pendakwa raya dan peguam bela yang dibenarkan hadir semasa perbicaraan itu.

Perbicaraan akan diteruskan pada Rabu (26 Jun).

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan