Kelas-kelas ngaji kini beralih ke platform online, warga tua antara penggunanya
Pembelajaran di rumah secara online nampaknya bukan untuk pendidikan sekolah sahaja. Kelas-kelas mengaji kini juga semakin beralih ke platform online di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.
SINGAPURA: Pembelajaran di rumah secara online nampaknya bukan untuk pendidikan sekolah sahaja.
Kelas-kelas mengaji kini juga semakin beralih ke platform online di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.
BERITAmediacorp menjenguk sebuah keluarga yang mengikuti kelas mengaji secara online.
APLIKASI BANTU AJAR NGAJI
Selalunya pada setiap hujung minggu, Ustaz Muhammad Ilyas akan pergi ke rumah anak-anak muridnya untuk mengajar ngaji.
Namun sejak penguatkuasaan langkah pemutus rangkaian jangkitan atau 'circuit breaker', Ustaz Ilyas tidak lagi keluar rumah untuk mengajar ngaji.
Sebaliknya beliau mengendalikan kelas mengaji menerusi platform online secara harian.
Sembilan kelas mengaji dan tajwid diajarnya setiap minggu menggunakan aplikasi seperti WhatsApp dan Zoom.
"Dalam platform Zoom ini juga, kami dapat mengongsikan slides slides kami dan mungkin kerana komputer riba yang saya gunakan ini adalah skrin sentuh, saya dapat menulis di atas skrin, dan saya dapat memahamkan kelas-kelas saya dengan begitu berkesan.
"Ia seakan papan putih dan pelajar-pelajar dapat memahami lebih baik. Itu satu iaitu menggunakan ‘perkongsian skrin’," kongsi ustaz muda berusia 31 tahun ini.
CABARAN PEMBELAJARAN ONLINE
Hakikatnya, penggunaan teknologi memang tidak sepi daripada cabaran. Beberapa muridnya meluahkan rasa prihatin terhadap keselamatan siber dan soal penggodaman.
Manakala bagi warga emas pula, mereka tidak begitu 'arif' tentang selok belok menggunakan teknologi.
Namun yang penting, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Murid warga emas seperti Cik Norhayati Haron berusaha belajar mendakapi Zoom demi dapat terus belajar mengaji.
"Pada mulanya memanglah kekok, kita nak belajar juga, kan. Arahan dia apa semua yang kita mesti nak buat dan perkakas yang kita nak adakan pun mesti nak ada, kan. Mesti nak siap sedia. Jadi bila semua sudah ada di depan mata, senanglah," kongsi Cik Norhayati.
PELAJAR INGIN TERUSKAN BELAJAR ONLINE
Ustaz Muhammad Ilyas berkata selepas seminggu mencuba, anak murid beliau yang terdiri daripada latar belakang berbeza sudah mulua mahir dengan pembelajaran menerusi video itu.
"Maklum balas mereka apabila menggunakan platform ini pada permulaannya, susah. Pada permulaannya, ada yang tidak mahu bahkan enggan berserta atau untuk bergabung dengan kami.
"Tetapi apabila sudah mendapat bantuan mungkin dari kawan-kawan, anak-anak dan sebagainya mereka merasakan platform ini amat selesa dan mereka inginkan platform ini diteruskan walaupun keadaan menjadi lebih baik," tambah beliau.
Mungkin inilah salah satu hikmah daripada 'circuit breaker' COVID-19. Warga emas kita 'dipaksa' berjinak-jinak dengan teknologi yang sebelum ini takkan mereka sentuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.