Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelas buat kuih lapis halal popular jelang Tahun Baru Cina

Masyarakat Cina di Singapura bakal menyambut Tahun Baru mereka minggu depan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Masyarakat Cina di Singapura bakal menyambut Tahun Baru mereka minggu depan.

Dalam kesibukan menyediakan juadah bagi para tetamu, kek lapis, salah satu kuih tradisional Melayu, merupakan antara yang paling dicari masyarakat itu.

Maka tidak hairanlah jika kelas-kelas membuat kuih kendalian guru Melayu menarik ramai peserta Cina.

BERITAmediacorp mengikuti salah satu kelas membuat kek yang melihat peningkatan dalam jumlah peserta Cina menjelang musim perayaan ini.

HAMPIR 60% PESERTA KAUM CINA DI KELAS KEK LAPIS ZAN'S TREATS

Setiap menjelang perayaan Tahun Baru Cina, kelas kek lapis tradisional yang dikendalikan syarikat Zan's Treats mendapat sokongan yang menggalakkan, terutamanya daripada kaum Cina.

Secara lazimnya, hampir 60% pesertanya merupakan kaum Cina.

Bagi salah seorang pesertanya, Cik Celine Arriola, beliau tertarik mengikuti kelas itu kerana ingin mempelajari cara-cara membuat kek mengikut resipi halal supaya dapat dikongsi bersama teman-temannya yang beragama Islam.

Beliau yang mula membuat kek dua tahun lalu, juga kerap bertukar-tukar pelbagai jenis kek dan muffin bersama jiran tetangganya.

RESIPI KEK LAPIS HALAL DAPAT DIKONGSI BERSAMA JIRAN TETANGGA MUSLIM

Kek lapis hasil air tangannya juga lebih istimewa, diubah suai untuk memikat selera bukan sahaja golongan Cina tetapi juga tetamu pelbagai bangsa.

"Dengan apa yang saya sudah pelajari, saya akan membuatkan kek lapis untuk Tahun Baru Cina untuk teman-teman saya dan juga jiran tetangga yang berbangsa Melayu sebab bahan-bahan yang kami gunakan adalah halal," ujar Cik Celine Arriola, seorang suri rumah.

"Cara-cara membuat kuih lapis ini amat menarik. Ia lebih bagus jika dibuat dari rumah kerana harganya agak mahal apabila kita membelinya dari kedai."

Selain daripada kelas kek lapis tradisional, kelas membuat tat di Zan's Treats juga mendapat sambutan hangat sempena musim perayaan ini.

Syarikat itu yang menawarkan kelas membuat kek untuk kaum wanita sahaja turut menyediakan resipi yang mudah diubah suai dan diikuti bagi mereka yang ingin mula belajar membuat kek.

Menurut pengasas syarikat Zan's Treats, Cik Nurizan Ismail: "Dengan adanya kemahiran yang sudah dipelajari, mereka boleh berlatih dan berkongsi dengan teman-teman, dengan keluarga. Mereka juga boleh mengubah suai resipi, jika ia terlalu manis untuk dikurangkan kandungan gulanya."

Bagi Cik Celine, yang pasti, perayaan Tahun Baru Cina menjadi landasan mengeratkan perhubungan sesama ahli keluarga dan handai taulan dalam masyarakat majmuk.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan