Kelas Bahasa Ibunda di prasekolah dipanjangkan, dirintis dahulu di 2 tadika MOE pada 2025
SINGAPURA: Menteri Pendidikan Chan Chun Sing mengumumkan usaha baharu untuk menggalak dan memupuk minat para pelajar terhadap Bahasa Ibunda semasa acara Simposium Bahasa Ibunda ke-13 yang diadakan pada Sabtu (14 Sep).
Antaranya untuk memperuntukkan lebih banyak masa bagi kurikulum Bahasa Ibunda bagi murid-murid di peringkat prasekolah membina asas yang kukuh dalam mata pelajaran tersebut dari peringkat awal.
Di bawah program perintis itu, dua tadika terpilih akan menambah waktu pembelajaran bagi Bahasa Ibunda mereka sebanyak 30 minit setiap hari.
Ini bermakna kelas Bahasa Ibunda mereka akan dipanjangkan kepada satu setengah jam setiap hari berbanding 1 jam sekarang.
Dua tadika tersebut ialah MK@Hougang serta MK@Elias Park dan akan mula dilaksanakan bermula dengan kohort K1 tahun depan.
"Ia akan menyediakan lebih banyak peluang untuk kanak-kanak belajar dan menggunakan MTL dan membantu mereka membina asas yang kukuh untuk pembelajaran dalam tahun-tahun kemudian. Kami akan secara berperingkat mempertingkatkan program perintis ini kepada lebih banyak tadika MOE dan meneroka meningkatkan masa kurikulum MTL bersama pengendali prasekolah lain," kata Encik Chan.
LEBIH BANYAK MASA UNTUK MURID PRASEKOLAH GUNA BAHASA IBUNDA
Usaha itu amat dialu-alukan para guru tadika lebih-lebih lagi dengan cabaran penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan murid-murid kini.
Seorang guru kanan di Tadika MOE@Horizon, Siti Raudhah Halimi berkata: "Pembelajaran dan pengajaran menjadi mencabar hari ini sebab anak-anak kita tidak menggunakan bahasa Melayu di rumah. Kebanyakan keluarga ini juga lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris,"
Lantas, kurikulum baharu itu menurut Cik Siti Raudhah, merupakan cara baik untuk memperkenalkan dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak.
"Anak-anak mempunyai masa yang lebih banyak untuk menggunakan bahasa Melayu kerana kurikulum yang dilakarkan mengambil kira keupayaan mereka. Dengan kurikulum yang disediakan, dalam suasana yang 'authentic' atau asli, ini akan menambahkan minat mereka untuk mendalami bahasa Melayu," ujar guru itu yang sudah berkecimpung sebagai guru tadika lebih 30 tahun.
"Pendedahan pada peringkat umur yang muda (juga) amat berguna kerana sangat mudah untuk anak-anak ini menerima pelajaran secara semula jadi," tambah beliau.
CIKGU NORFAEZAN FADIAR ANTARA GURU YANG DIIKTIRAF; TERAPKAN PENDEKATAN KREATIF DALAM BILIK DARJAH
Di acara itu, MOE juga memberi pengiktirafan kepada guru-guru prasekolah yang berusaha untuk menjadikan pembelajaran bahasa ibunda lebih menarik.
Antara 14 penerima anugerah ialah Cikgu Norfaezan Fadiar, 39 tahun, yang mengajar di PCF Sparkletots di Zhenghua.
Beliau yang sudah berpengalaman mengajar di prasekolah selama 16 tahun, menerapkan pendekatan 'Storygami' untuk aktiviti bercerita dalam bilik darjah.
"Apabila saya mengendalikan 'Storygami' di dalam kelas, murid-murid tertarik dengan teknik ini dan mereka juga ingin melibatkan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu dan saya mendapati 'Storygami' dapat mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu mereka di dalam kelas dengan cara yang kreatif dan mereka dapat berinteraksi antara satu sama lain," kongsi Cik Nurfaezan kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Malah, anugerah itu juga amat bermakna bagi dirinya yang mula menjadi guru Bahasa Melayu di tadika, empat tahun yang lalu.
Beliau berharap dapat terus menyumbang kepada pendidikan bahasa Melayu di sini.
"Salah satu misi saya sebagai seorang guru bahasa Melayu adalah untuk memupuk minat para pelajar kita untuk meminati bertutur dalam bahasa Melayu. Oleh itu, saya mengendalikan beberapa aktiviti yang menarik dan perancangan yang kreatif yang membolehkan kanak-kanak meluahkan kreativiti mereka sendiri," ujar Cik Nurfaezan
TEROKA PENGGUNAAN AI & TEKNOLOGI PENDIDIKAN
Di samping itu, Kementerian Pendidikan (MOE) juga akan meneroka penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pendidikan untuk meluaskan lagi peluang untuk para pelajar menggunakan Bahasa Ibunda.
Para hadirin antaranya dapat menyaksikan dan mencuba beberapa kaedah pembelajaran sebegitu.
Misalnya, di reruai yang dikendalikan guru-guru Sekolah Rendah First Toa Payoh, para pengunjung boleh menggunakan aplikasi Storyjumper untuk menghasilkan dan berkongsi buku cerita rekaan mereka sendiri.
Mereka juga dapat menggunakan ilustrasi dan rakaman audio untuk menghidupkan cerita mereka.
Ia merupakan antara sekitar 45 reruai dan 45 sesi perkongsian dan bengkel yang ditampilkan dalam Simposium Bahasa Ibunda kali ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.