Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelahiran, perkahwinan rakyat susut pada 2020 dek gangguan COVID-19

Jumlah kelahiran dan perkahwinan rakyat Singapura kurang pada tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19, yang menjejas perancangan sebahagian pasangan untuk berumah tangga atau mendapatkan cahaya mata.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelahiran, perkahwinan rakyat susut pada 2020 dek gangguan COVID-19

Gambar fail cincin . (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Sep 2021 05:29PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 05:32PM

SINGAPURA: Jumlah kelahiran dan perkahwinan rakyat Singapura kurang pada tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19, yang menjejas perancangan sebahagian pasangan untuk berumah tangga atau mendapatkan cahaya mata.

Demikian menurut laporan tahunan penduduk yang dikeluarkan hari ini (28 Sep).

Laporan oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) itu menarik perhatian bahawa terdapat 19,430 perkahwinan rakyat Singapura pada 2020, yakni sekitar 12.3 peratus lebih rendah berbanding 22,165 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

“Sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas perhimpunan besar pada tahun lalu mungkin menyebabkan pasangan-pasangan menangguhkan perkahwinan mereka," menurut divisyen itu.

Usia median semasa perkahwinan pertama adalah 30.1 tahun bagi pengantin lelaki dan 28.4 tahun untuk pengantin wanita, sama seperti pada tahun 2019.

Laporan itu menambah sekitar 30 peratus perkahwinan rakyat Singapura pada tahun lalu melibatkan pasangan berlainan negara, susut dari 37 peratus pada 2019. Kemerosotan itu mungkin sebahagiannya disebabkan oleh sekatan perjalanan berkaitan COVID-19, menurut laporan itu lagi.

Laporan itu juga membandingkan perkahwinan pada setiap suku 2019 dan 2020 untuk menilai kesan pandemik COVID-19.

Kemerosotan terbesar dari tahun ke tahun adalah pada suku kedua apabila pernikahan secara bertemu muka perlu ditundakan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Terdapat 2,200 perkahwinan rakyat Singapura semasa suku kedua tahun lalu, merosot dari 4,800 pada suku yang sama setahun sebelumnya.

Apabila sekatan COVID-19 dilonggarkan menjelang hujung tahun lalu dan lebih ramai tetamu dibenarkan ke majlis pernikahan dan jamuan perkahwinan, lebih ramai pasangan melangsungkan perkahwinan.

Selepas itu, 7,700 perkahwinan rakyat Singapura berlangsung pada suku keempat 2020 berbanding 6,900 pada tempoh sama setahun sebelumnya.

KURANG KELAHIRAN RAKYAT

Pandemik juga memberi kesan kepada keputusan pasangan untuk mendapatkan anak.

Terdapat 31,816 kelahiran rakyat Singapura pada 2020, iaitu 3.1 peratus lebih rendah berbanding 32,844 kelahiran pada tahun sebelumnya. Ini adalah jumlah kelahiran rakyat yang terendah sejak 2013.

Dalam tempoh lima tahun lalu (2016 hingga 2020), jumlah kelahiran rakyat Singapura lebih tinggi sedikit secara purata setiap tahun berbanding tempoh lima tahun sebelum itu (2011 hingga 2015).

Usia median ibu rakyat Singapura semasa melahirkan anak pertama adalah 30.8 tahun pada 2020, serupa dengan perangkaan pada 2019 iaitu 30.6 tahun.

S'PURA MASIH BERDEPAN CABARAN STRUKTUR JANGKA LEBIH PANJANG

NPTD menyatakan dalam tinjauan ke atas sekitar 4,000 orang pada Jun 2020, beberapa responden berkata mereka menangguhkan perkahwinan dan perancangan menimang cahaya mata "disebabkan keprihatinan tentang keadaan tidak menentu kesihatan awam serta ekonomi".

Meskipun ini mungkin menyumbang kepada jumlah kelahiran lebih rendah, divisyen itu mengakui kebanyakan bayi yang dilahirkan pada 2020 mungkin dikandung sebelum pandemik berlaku dan "kesan penuh pandemik COVID-19 masih belum dapat disaksikan".

"Kita terus berdepan dengan cabaran struktur jangka lebih panjang dengan kadar kelahiran rendah kita, serupa dengan negara-negara maju lain," menurutnya.

Ia menambah satu langkah utama yang diperkenalkan pada tahun lalu untuk "menyakinkan semula dan menggalak" pasangan supaya meneruskan rancangan keibubapaan mereka di tengah-tengah pandemik adalah Geran Bantuan Bayi sekali sahaja sebanyak S$3,000.

“Kami juga akan terus bekerjasama dengan majikan, syarikat dan kumpulan masyarakat untuk menyokong keluarga serta membangunkan sebuah Singapura yang 'dibangunkan untuk keluarga' (Made for Families)."  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan