Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelab Rainbow raikan ulang tahun ke-30 sokong perjalanan kanak-kanak hidapi penyakit kronik

Anggaran Waktu Membaca:
Kelab Rainbow raikan ulang tahun ke-30 sokong perjalanan kanak-kanak hidapi penyakit kronik

(Gambar: Club Rainbow)

Diterbitkan : 27 Nov 2022 12:56PM Dikemas Kini : 27 Nov 2022 12:57PM

SINGAPURA: Acara amal berbasikal 'Ride for Rainbows' tahun ini menampilkan format hibrid dengan tiga kategori berbeza sempena ulang tahun ke-30 penganjurnya, Kelab Rainbow. 

Edisi ke-11 acara berbasikal itu diadakan di Bendungan Marina pada Ahad (27 nov) dan menyasarkan kutipan dana sebanyak S$800,000.

Para peserta menghulurkan sumbangan mereka menerusi tiga kategori berbasikal berbeza - iaitu kategori 30 kilometer (km) secara maya atau kategori 60km mahupun 120km secara fizikal.

Kedua-dua kategori berbasikal secara fizikal dimulakan di Bendungan Marina pada awal pagi tadi.

"Dengan pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19, Kelab Rainbow kembali mengadakan semula program-program serta khidmat secara fizikal buat kanak-kanak dan para penjaga di bawah naungan kami. 

"Ia memang direka sedemikian rupa dengan matlamat jelas untuk membina keluarga-keluarga yang berdikari dan berdaya tahan, di samping melahirkan golongan dewasa yang teguh dan memperkasakan individu-individu sebagai penyumbang yang aktif," kata Presiden Kelab Rainbow, Dr Sashikumar Ganapathy. 

Dana yang dikumpulkan menerusi acara berbasikal itu akan disalurkan untuk menghulurkan bantuan penting termasuk dalam bentuk kewangan, intervensi terapi dan sokongan pendidikan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah di bawah naungan kelab tersebut. 

Antara yang menyokong tujuan murni itu ialah artis MediaCorp, Denise Camilia Tan. Acara tersebut bahkan lebih bermakna buat duta baru Kelab Rainbow itu yang turut meraikan ulang tahunnya yang ke-30 November ini. 

ACARA LEBIH MERIAH DENGAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-30 KELAB RAINBOW

Kelab Rainbow ditubuhkan 30 tahun yang lalu oleh sekumpulan sukarelawan dengan matlamat untuk membuat perbezaan dalam kehidupan kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik dan juga keluarga mereka. 

Di sambutan sempena ulang tahunnya itu, pelbagai kegiatan kraf tangan dan yang berteraskan keluarga serta permainan karnival disediakan buat kanak-kanak dan keluarga-keluarga di bawah naungan Kelab Rainbow.

Orang awam pula boleh menyokong kanak-kanak itu untuk hidup berdikari dengan membeli pelbagai barangan amal yang mempamerkan karya seni mereka.

Para penjaga yang sebelum ini menjalani program pembangunan vokasional juga menjual pencuci mulut bertemakan pelangi untuk mengumpul dana. 

Acara ulang tahun ke-30 Kelab Rainbow itu diserikan dengan kehadiran Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin, yang juga merupakan Penaung Kelab Rainbow. 

Beliau menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Penjaga Teladan dan Anugerah Adik-Beradik Teladan, Anugerah Pendidikan serta Anugerah Kutipan Dana Tertinggi bagi individu dan pasukan 'Ride for Rainbows'. 

Mereka yang berhasrat untuk mengikrar sumbangan dana online, bagi menyokong kanak-kanak dan keluarga-keluarga di bawah Kelab Rainbow, boleh melakukan demikian menerusi laman 'Ride for Rainbows' di https://www.rideforrainbows.org/donate!0 hingga 30 November ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan