Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelab Muda MENDAKI dampingi lebih 70 pelajar madrasah teroka pelbagai kerjaya

Kelab Muda MENDAKI (YMC) baru-baru ini berganding bahu dengan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dan Al-Ma'arif untuk memberikan pelajar dua madrasah itu pendedahan kepada laluan kerjaya yang berbeza-beza.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kelab Muda MENDAKI (YMC) baru-baru ini berganding bahu dengan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dan Al-Ma'arif untuk memberikan pelajar dua madrasah itu pendedahan kepada laluan kerjaya yang berbeza-beza.

Sebagai permulaan, lebih 70 pelajar madrasah sudahpun mula mengikuti siri bengkel kerjaya mereka yang dipanggil 'ExploreCAREERS'.

Lazimnya bengkel tersebut disertai sekitar 50 pelajar menengah atas dari sebuah sekolah sahaja setiap kali ia dijalankan.

Namun kali ini, empat sekolah atau lebih 200 pelajar kesemuanya, menyertai program YMC itu - iaitu para pelajar Sekolah Menengah Tampines, Sekolah Menengah Canberra, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dan Al-Ma'arif.

Ini dicapai meskipun YMC terpaksa beralih ke wadah online untuk mengendalikan semua bengkelnya.

Bukan itu sahaja.

Usaha bersama Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dan Al-Maarif adalah kerjasama pertama seumpamanya antara YMC dengan institusi madrasah tempatan.

Menerusi kenyataan medianya, YMC menyatakan pendedahan sebegini nyatanya penting "terutama sekali bagi para pelajar madrasah yang sering kali disangka akan menyertai sektor keagamaan".

"Kami bekerjasama dengan MUIS dan dalam diskusi itu, kami merancang untuk sebenarnya melibatkan semua madrasah di Singapura dalam program ini. Kami perlukan sokongan daripada guru-guru untuk memastikan para pelajar mereka menghadiri siri bengkel kami," kata pengarah program 'ExploreCAREERS', Fadhilah Abdul Rahman Zamawi. 

Demi memberi pendedahan luas kepada para pelajar tentang laluan kerjaya yang boleh diceburi, YMC turut menyediakan peluang untuk para peserta berinteraksi dengan 49 karyawan daripada pelbagai latar belakang dalam segmen #HumanLibrary siri bengkelnya.

Sekitar 30 peratus karyawan ternyata pernah menjalani pendidikan di madrasah.

"Kami ingin mempamerkan para graduan madrasah yang mencapai kejayaan yang mengagumkan - kedua-dua dalam bidang keagamaan dan juga industri lain. Murid-murid dapat berinteraksi dengan pakar-pakar dari setiap industri selama 15 hingga 20 minit (dalam sesi yang kami anjurkan). Ini akan memastikan setiap murid dapat bertemu dengan semua pakar," jelas Cik Fadhilah.

Profil pakar yang tampil untuk berkongsi tips khas untuk anak-anak muda, boleh dikuti menerusi #YMCExploreCAREERS di Instagram.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan