Kelab Masyarakat Tampines West yang ranggi dan 'hip' untuk generasi muda
Kelab Masyarakat Tampines West cuba menawarkan perkhidmatan dan program-program baru sesuai dengan demografi penduduk yang kian berubah.
SINGAPURA: Sebuah Kelab Masyarakat yang ranggi dan 'hip' untuk generasi muda, serta lain daripada yang lain.
Dengan lebih banyak keluarga muda yang berpindah ke Tampines West, kelab masyarakat di kawasan itu cuba menawarkan perkhidmatan dan program-program baru sesuai dengan demografi penduduk yang kian berubah.
Kemudahan-kemudahan yang ada di Kelab Masyarakat Tampines West mungkin tidak selalunya terdapat di sebuah kelab masyarakat.
Konsep reka bentuk sebuah dapur misalnya, mirip dapur dalam sebuah siri televisyen popular iaitu Masterchef.
Selain itu tersedia juga kemudahan "hot-desking" atau meja pejabat sementara yang boleh digunakan pada harga rendah.
Ini semua diperkenalkan kepada orang awam semasa acara rumah terbuka kelab masyarakat ini.
AP GRC Tampines, Masagos Zulkifli berkata: "Saya fikir ini adalah satu kegiatan yang harus diteruskan cuma kita harus mempereratkan hubungan antara semua kaum dengan pendekatan-pendekatan baru yang sesuai dengan kehendak-kehendak terutama yang lebih muda supaya mereka mahu dan tertarik untuk datang ke kelab masyarakat."
Untuk itu, kelab masyarakat ini juga menyediakan program-program untuk para penduduk dari pelbagai lapisan usia seperti kelas tarian hip-hop dan balet untuk kanak-kanak.
Bagi yang lebih berusia, kelas-kelas seperti membuat dan penghargaan jenis kopi ditawarkan.
Encik Masagos menambah: "Yang paling penting ialah kita harus bersama-sama untuk meningkatkan lagi sukarelawan yang mahu bekerjasama dengan kami untuk menyampaikan hasrat masyarakat bersama."
Yang penting, tambah Encik Masagos peranan kelab masyarakat akan menjadi lebih berkesan jika para penduduk bersama-sama menjayakannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.