Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelab Masyarakat mainkan 'peranan istimewa' di S'pura, kata PM Lee

Kelab Masyarakat (CC) memainkan peranan yang istimewa di Singapura kerana ia memenuhi keperluan masyarakat dan menyediakan ruang kepada para penduduk tanpa mengira usia dan latar belakang untuk mereka berkumpul dan beriadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Jan 2019 06:35PM Dikemas Kini : 13 Jan 2019 09:12PM

SINGAPURA: Kelab Masyarakat (CC) memainkan peranan yang istimewa di Singapura kerana ia memenuhi keperluan masyarakat dan menyediakan ruang kepada para penduduk tanpa mengira usia dan latar belakang untuk mereka berkumpul dan beriadah. Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (13 Jan) semasa merasmikan pembukaan Kelab Masyarakat Teck Ghee yang baru dinaik taraf.

"Itulah sebabnya kita mempunyai CC di setiap estet HDB," menurut PM Lee, yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Ang Mo Kio. "Pemerintah membuat pelaburan yang besar untuk membina dan menaik taraf CC supaya para penduduk akan sentiasa mempunyai tempat untuk mereka menjadikannya sebagai rumah kedua mereka," tambahnya.

Kelab masyarakat yang berusia 35 tahun di Ang Mo Kio Ave 10 itu ditutup untuk memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf secara besar-besaran pada 2016. Ia dibuka semula pada Ogos tahun lalu dengan ruang seluas hampir 1,200 meter persegi ditambah kepada luas lantai kasar sebelum ini iaitu 4,809.40 meter persegi.

"(Teck Ghee CC) adalah sebuah CC yang popular dan yang paling kerap digunakan, tetapi kami semakin mempunyai lebih banyak aktiviti dan memerlukan lebih banyak ruang. Kami tidak mempunyai ruang yang mencukupi dan kami tidak dapat menampung kesemua aktiviti yang mahu diadakan di sini," menurut PM Lee. "Justeru, apabila kami mempunyai peluang untuk menaik taraf, kami memutuskan untuk berbuat demikian."

Pemerintah membiayai 90 peratus daripada kos naik taraf itu, manakala bakinya ditampung oleh sebuah jawatankuasa yang menyelia projek itu, menurut PM Lee.

PM Lee menegaskan bahawa dengan perubahan demografi di Teck Ghee sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan dengan lebih ramai keluarga muda yang berpindah ke flat-flat Bina-Ikut-Tempahan yang baru, keperluan masyarakat turut berubah.

Kelab masyarakat setinggi empat tingkat itu, yang dinaik taraf pada 1999 dan kemudian pada 2009, kini mempunyai kemudahan-kemudahan baru seperti bilik serba guna dengan ruang terbuka dan studio memasak, serta teres atas bumbung di mana para penduduk boleh mengambil bahagian dalam kelas-kelas tai chi dan wushu, atau menikmati tayangan filem luar.

Kerja-kerja naik taraf itu adalah berdasarkan saranan-saranan yang diusulkan oleh para penduduk.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Teck Ghee, Noelene De Foe, CC tersebut dinaik taraf bagi memenuhi keperluan para penduduk yang kian berubah-ubah.

Kerja-kerja naik taraf itu adalah yang terkini bagi Kelab Masyarakat Teck Ghee.

Sebelum ini, ia sudah dinaik taraf sebanyak dua kali sejak dibuka pada 1984. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan