Skip to main content

Singapura

Kelab Masyarakat Ci Yuan akan semak semula langkah kawalan orang ramai susulan kejadian tolak-menolak

Kelab Masyarakat (CC) Ci Yuan akan menyemak semula prosedur pengurusan orang ramai susulan kesesakan yang berlaku semasa satu acara anjurannya baru-baru ini, menurut kenyataan organisasi itu pada Jumaat (18 Apr).
 

Anggaran Waktu Membaca:
Kelab Masyarakat Ci Yuan akan semak semula langkah kawalan orang ramai susulan kejadian tolak-menolak

Petikan skrin sebuah video yang menunjukkan orang ramai di Kelab Masyarakat Ci Yuan. (Gambar: Facebook/Ben Cheng)

Diterbitkan : 19 Apr 2025 08:11PM Dikemas Kini : 19 Apr 2025 08:12PM
SINGAPURA: Kelab Masyarakat (CC) Ci Yuan akan menyemak semula prosedur pengurusan orang ramai susulan kesesakan yang berlaku semasa satu acara anjurannya baru-baru ini, menurut kenyataan organisasi itu pada Jumaat (18 Apr).

Kesesakan itu berlaku pada Khamis semasa jualan tiket bagi acara "Pasar Raya $1 Ang Mo Kio-Hougang" yang dijadualkan berlangsung pada 27 Apr.

Menurut CC Ci Yuan, penanggalan tali penghadang barisan secara tidak sengaja menyebabkan “keadaan huru-hara”, mengakibatkan “orang ramai berpusu-pusu ke hadapan”.

Dalam rakaman video kejadian itu, sebahagian penduduk dilihat mengangkat tangan sambil memegang wang tunai dan telefon bimbit, dan bertolak-tolak di bahagian penyambut tamu kelab masyarakat itu.

Sebuah papan tanda yang kelihatan dalam salah satu video menunjukkan bahawa jualan tiket berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 12 tengah hari.

Beberapa kakitangan dilihat berada di hadapan orang ramai yang berkumpul sambil memberi isyarat kepada mereka agar bersurai.

Pasukan Polis Singapura turut dipanggil untuk membantu mengawal orang ramai.

Acara pasar raya tersebut adalah sebahagian daripada kempen SG60 CC Ci Yuan yang bertujuan menggalakkan penyertaan aktif dalam acara masyarakat tempatan, menurut pertubuhan itu.

Kempen itu dilancarkan pada bulan Mac dengan menawarkan barangan keperluan asas kepada para penduduk pada harga hanya S$1 setiap satu.

“Keselamatan penduduk kami adalah satu keutamaan. Kami akan menyemak semula prosedur pengurusan orang ramai bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang,” kata CC Ci Yuan.

“Kami menghargai kerjasama dan sokongan para penduduk. Semua tiket telah habis dijual menjelang tengah hari pada hari tersebut. Kami dengan ikhlas memohon maaf atas pengalaman yang tidak menyenangkan semasa acara itu.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita