Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelab HEAL sediakan wadah bagi pesakit dan pengasuh kongsi pengalaman, hakis stigma kesihatan mental

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Itulah yang boleh digambarkan tentang pengorbanan Encik Anuar Subari, 61 tahun yang tabah menjaga anaknya, seorang pesakit skizofrenia.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Itulah yang boleh digambarkan tentang pengorbanan Encik Anuar Subari, 61 tahun yang tabah menjaga anaknya, seorang pesakit skizofrenia.

Anaknya Adila Nurhana Anuar, 33 tahun disahkan doktor menghidapi masalah kesihatan mental itu sewaktu menuntut di maktab rendah, 14 tahun yang lalu.

"Dia seorang gadis yang baik. Dia bersopan santun, lemah lembut tapi pada 2008 bila dia memasuki maktab rendah (JC) itu kita sudah mula nampak perubahan. Dia sudah mula tinggikan suara pada orang tua. Dia sudah mula menjadi agresif," kata Encik Anuar.

"Apabila dia mula menumbuk tembok, memukul dirinya sendiri, pecahkan telefon bimbit berulang kali, saya kata ini bukanlah dia. Ini bukan masalah disiplin lagi. Apabila kita sudah mendapat tahu, sudah terlambat sedikit, beberapa bulan sebelum kami menghantarnya ke hospital," tambahnya.



Memandangkan anak kedua daripada tiga beradik itu memerlukan lebih perhatian, Encik Anuar terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja dan mencari pekerjaan yang menawarkan jadual yang lebih fleksibel.

"Saya perlu cari pekerjaan baru bagikan masa supaya dapat luangkan masa untuk Adila fasal waktu dua tahun pertama itu saya rasa Adila tengah di proses pemulihan," jelas Encik Anuar yang bertugas sebagai ejen hartanah.

Memandangkan keadaan satu-satunya anak perempuannya itu masih baru ketika itu, segala usaha dilakukan Encik Anuar dan isterinya demi kebaikan anaknya.

"Kaunseling, terapi, perubatan, itulah di mana saya cakap dengan orang rumah, okey kita kena bahagikan masa kita," kata Encik Anuar.



Di samping menjalani rawatan, keadaan anaknya kini semakin terkawal hasil sokongan teman-teman dan keluarga.

Namun, Encik Anuar tidak menafikan, Adila masih mengalami episod-episod serangan emosi yang tidak dapat dijangkakan.

"Isu-isu yang dia hadapi datang dengan tiba-tiba macam dia tengah menonton televisyen. Tiba-tiba dia pandang saya atau isteri saya, dia ambil alat kawalan jauh, dia pecahkan televisyen. Saya rasa dua, tiga televisyen begitu," katanya.

Namun, beliau sekeluarga cuba saling menyokong satu sama lain, untuk cuba meredakan Adila.

"Bila dia sakit, saya rasa pun macam saya yang sakit. Jadi saya perlu beri dia baik jadi bila dia sihat, saya juga sihat," ujar Encik Anuar.

PENAT SEORANG PENGASUH IBARAT 'SEORANG IBU BARU'

Pengalaman menjaga anak yang mengalami isu kesihatan mental turut dikongsi Cik Rahimah A Rahim, 56 tahun.

Apabila anak sulungnya yang dahulunya aktif tiba-tiba menjadi muram akibat kemurungan, beliau perlu kuat dan tabah demi menjaga anaknya.

"Anak saya itu suka mendaki gunung. Dia adalah seorang atlit, dia main ragbi sewaktu dia di JC dan universiti. Jarang nampak batang hidung dia di rumah.

"Bila isu kemurungan ini datang, itu semua sudah tak ada. Jadi dari segi fizikal, dari seseorang yang gah itu kan, jadi kurus dan muram. Jadi terang-terang kita tahu ada perkara yang berlaku. Takkan sebagai mak bapa kita tak perasan kan?" kata Cik Rahimah, yang mempunyai seorang lagi anak.



Anak lelakinya itu yang kini berusia 30 tahun disahkan menghidap masalah kemurungan sejak sembilan tahun lalu.

Beliau sekeluarga juga terpaksa memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan keselamatan anaknya.

"Kalau seseorang ibu yang baru bila mereka kena bangun malam menyusukan anak, kena salin lampin. Rasa penat itu adalah rasa penat yang baru kerana itu mungkin anda adalah ibu baru. Jadi perasaan saya ialah penat itu seperti penat itu. Penat ibu baru yang sentiasa dalam keadaan berjaga. Berjaga untuk sesuatu yang mungkin akan terjadi," ujar Cik Rahimah.



Keadaan anaknya kini juga bertambah baik dan menjalani kehidupan seperti biasa, sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam.

Namun, bagi Cik Rahimah, selagi nyawa dikandung badan, tugasnya sebagai pengasuh belum berakhir lagi.

"Kita memang pengasuh daripada mereka bayi, sampailah mereka dewasa. Kemurungan ini adalah satu daripada episod hidup mereka. Tidak bererti itu adalah tanda hitam dalam hidup mereka.

"Harapan saya sebagai ibu ialah kita tidak boleh putus asa kerana perjalanan anak-anak kita itu panjang," kata Cik Rahimah.

EMPAT PROFIL BERKONGSI PENGALAMAN MEREKA

Kisah ketabahan para pesakit dan pengasuh seperti Encik Anuar dan Cik Rahimah itu akan dapat diikuti dalam satu acara anjuran pertubuhan Kelab HEAL.

Selain mendengar luahan hati mereka, orang ramai berpeluang bertukar-tukar pendapat tentang isu-isu kesihatan mental di ruang yang selamat dan terbuka.



"Ramai di antara penjaga di mana mereka kebingungan. Permulaan kalau dapat sesuatu daripada ahli keluarganya, cabaran katakan masalah-masalah emosi atau kesihatan mental, mereka nak jawapan. Di situlah saya rasa penjaga dapat seolah-olah ada orang juga di luar sana dengan keadaan yang lebih mencabar," kata Pengurus, Rangkaian Sokongan Pengasuh, CREST, Encik Zainal Abidin Lee.

Acara terbaru itu antara lain juga menyediakan ruang yang terbuka bagi menghakis stigma tentang isu-isu kesihatan mental.

Orang ramai boleh hadiri acara 'Only Human' yang akan diadakan jam 2.30 petang pada Ahad (23 Okt) di Perpustakaan Awam Bukit Batok.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan