Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelab HEAL rai ulang tahun ke-10; bakal buka pusat kelimanya jelang akhir tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kelab HEAL akan membuka sebuah lagi pusat kesejahteraan mental iaitu yang kelima di Eunos dalam suku ketiga (Julai-September) tahun ini.

Perkembangan terbaru Kelab HEAL itu dikongsi Presiden Halimah Yacob yang juga Ketua Penaung badan itu dalam ucapannya di Majlis Makan Malam Gala Pengumpulan Dana Kelab HEAL sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-10 pada Jumaat (3 Feb).

Pembukaan pusat kelima itu akan dapat meluaskan lagi rangkaian dan jangkauan khidmat Kelab HEAL buat masyarakat.


(Gambar: Club HEAL) 

"Saya yakin bahawa pusat baru Kelab HEAL di Eunos akan membolehkannya untuk mendekati lebih ramai warga emas serta para penjaga," kata Presiden Halimah.

Dalam masa sedekad, Kelab HEAL sudah membantu dan menghulurkan sokongan kepada hampir 10,000 klien dan penjaga mereka menerusi pelbagai program dan khidmat.

Buat masa ini, Kelab HEAL mempunyai empat pusat kesejahteraan mental di Buki Batok East, Marsiling, Pasir Ris East dan Buangkok Crescent.

Menurut Puan Halimah, usaha oleh Kelab HEAL dan agensi-agensi khidmat masyarakat lain telah mengurangkan stigma dan menggalak budaya mendapatkan bantuan dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Dalam Tinjauan Kesihatan Nasional 2021, kadar penduduk Singapura yang berani tampil untuk mendapatkan bantuan daripada karyawan jagaan kesihatan bagi tangani tekanan meningkat dari 47.8% dalam 2019 kepada 58.3% dalam 2021.

"Ianya adalah menggalakkan dengan lebih ramai yang bersedia tampil ke hadapan bagi tangani masalah kesihatan mental dan terbuka mendapatkan bantuan jadi mereka boleh fahami dan tangani keadaan mereka," kata Puan Halimah.

PRIHATIN KESEJAHTERAAN MENTAL BELIA & WARGA EMAS

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Dalam usaha menggalak dan meningkat kesedaran tentang kesejahteraan mental, Presiden Halimah juga berharap dua golongan selain para penjaga pesakit, tidak dilupakan.

Mereka merupakan golongan belia dan warga emas.

Bagi golongan belia, beliau gembira empat agensi khidmat sosial (SSA) termasuk Kelab HEAL sudahpun jalani Program Menyokong Belia dalam Masyarakat (SYiNC).

"Untuk memastikan jagaan yang cekap dan konsisten oleh pasukan kesihatan mental belia dalam masyarakat, mereka akan mempunyai persidangan kes dua bulan sekali dan pemantauan oleh IMH sepanjang tahun pertama," ucap Puan Halimah.

"Aturan pengurusan bersama ini satu cara yang kita harap dapat menyediakan sokongan masyarakat yang bermutu tinggi kepada belia dengan keadaan kesihatan mental," tambah beliau.

Selain itu, Puan Halimah berkongsi bahawa Kelab HEAL sudahpun memperkukuh inisiatif-inisiatif mendekati masyarakat dan antaranya menerusi program-program, bengkel, menyertai persidangan, serta pendekatan di acara-acara masyarakat.

JUALAN LELONG SENYAP; LEBIH $10,000 DIKUMPUL


(Gambar: Club HEAL) 

Bagi membiayai program dan usaha-usaha Kelab HEAL, badan itu juga mengadakan jualan acara lelongan senyap di majlis meraikan ulang tahunnya yang kesepuluh.

Ia menyaksikan lelongan barangan unik dan istimewa termasuk lukisan, tembikar serta but yang ditandatangani Diego Maradona dan sarung tinju yang ditandatangani Mike Tyson.


Gambar Encik Tan Chuan-Jin

Secara keseluruhan, sekitar 44 barangan dilelongkan termasuk sebuah gambar yang diambil Encik Tan Chuan-Jin serta lukisan oleh artis berbakat Encik Sim Kah Lim yang menghidap penyakit barah.

Lelongan senyap itu berjaya meraih dana berjumlah $10,232.

Menurut Pengasas dan Presiden Kelab HEAL, Dr Radiah Salim, hasil daripada dana itu bakal digunakan buat program-program di bawah pertubuhan itu, serta "membantu pembangunan cawangan" yang kelima di Eunos.

VISI & MISI KELAB HEAL SETERUSNYA

Dalam pada itu, beliau juga sempat berkongsi rancangan pertubuhan itu melangkah ke hadapan.

"Bagi saya, kejayaan terbesar kami adalah peningkatan kesedaran di kalangan masyarakat tentang masalah kesihatan mental kerana kita lihat stigma terhadap masalah ini semakin berkurangan dan juga lebih ramai di luar sana yang tampil untuk mendapatkan bantuan dan sokongan dari tahap yang lebih awal," kongsi Dr Radiah.

"Memang visi kami pun untuk menghapuskan stigma dan nampaknya stigma semakin terhakis, Alhamdulillah dengan usaha Kelab HEAL dan juga rakan-rakan masyarakat lain," tambah beliau.



Pertubuhan itu juga menyaksikan pertambahan dari segi jumlah kakitangannya iaitu bermula dengan hanya satu sahaja kepada lebih 70 kakitangan untuk memenuhi keperluan serta menyediakan khidmat dalam bidang kesihatan mental bagi masyarakat yang sentiasa berubah.

"Rancangan kami untuk masa depan adalah untuk meningkatkan tumpuan kami kepada para belia kerana kita lihat masalah kesihatan mental di kalangan para belia semakin ketara. Mungkin salah satu sebabnya adalah kerana zaman sekarang ini yang penuh pancaroba, zaman media sosial," ujar Dr Radiah.

"Jadi, kami akan meningkatkan usaha untuk membantu para belia dan juga ahli keluarga mereka dan para penjaga mereka sebab sangat penting untuk kita memperkasakan ahli keluarga dan para penjaga supaya mereka dapat memberi sokongan yang lebih baik kepada para belia yang mempunyai masalah kesihatan mental," tambahnya.

BANTU DAN SOKONG HAMPIR 10,000 KLIEN DAN PENJAGA MEREKA SEPANJANG 10 TAHUN

Majlis yang sama juga menampilkan beberapa persembahan menarik oleh kakitangan, penerima bantuan dan penyokong Kelab HEAL, dengan tema '‘An Elegant Celebration of Friendship’.

Antaranya yang pernah meraih manfaat daripada program-program Kelab HEAL ialah Nur Afiqah Mohd Azman, yang menghidap penyakit Skizofrenia.



Beliau memulakan perjalanannya dengan Kelab HEAL pada 2019 dan sudah pun menjalani beberapa program termasuk tarian Melayu, sesi membuat tembikar serta program 'PushCart' yang menyediakan platform memperkasa peserta terhadap pekerjaan bermakna menerusi khidmat-khidmat pemulihan vokasional.

"Antara cabaran yang saya hadapi sebelum ini ialah gangguan kerana penyakit saya iaitu Skizofrenia dan gangguan ini menyebabkan saya takut dengan persekitaran saya. Jadi kerana itu, saya hilang keyakinan, saya hilang daya tahan untuk bercampur dengan masyarakat," kongsi Cik Afiqah.

"Program ini membantu saya untuk tidak menghilangkan diri ketika saya menghadapi cabaran-cabaran yang ada di depan saya dan ia juga membantu saya untuk terus berjaya dalam apa yang saya mahu lakukan supaya saya mempunyai daya tahan diri dan kepuasan keyakinan diri," tambahnya lagi.

Bagi membantu lebih ramai klien seperti Nur Afiqah, Kelab HEAL berharap mendapat sokongan orang ramai dan mengalu-alukan sumbangan masyarakat bagi membiayai pembangunan dan kerja-kerja ubah elok pusat kelimanya itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan