Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelab HEAL buka Akademi Pemulihan di Buangkok, tawar kursus perkasa pesakit mental

Penduduk di sekitar kawasan Buangkok kini boleh mendapatkan bantuan berhubung kesihatan mental dengan pembukaan pusat keempat badan amal Kelab HEAL.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penduduk di sekitar kawasan Buangkok kini boleh mendapatkan bantuan berhubung kesihatan mental dengan pembukaan pusat keempat badan amal Kelab HEAL.

Lebih tepat lagi, pusat itu dibuka di Blok 997A Buangkok Crescent.

Pembukaan pusat itu sebahagian daripada usaha Kelab HEAL memperluas rangkaian sokongan bagi pesakit mental, dengan fokus kepada usaha memperkasa pesakit - sekali gus menjadikannya Akademi Pemulihan pertama Kelab HEAL.

Selain khidmat kaunseling, kursus-kursus ditawarkan bagi menggalak pesakit menimba ilmu dan sama-sama mengatasi cabaran kesihatan mental untuk kembali menjalani kehidupan sebaik mungkin.

PUSAT DIBUKA UNTUK SEMUA

Menariknya, pakar-pakar dan sesiapa sahaja yang ingin mencapai kesejahteraan diri lebih baik boleh menyertai kegiatan-kegiatan yang ditawarkan di pusat itu.

Langkah ini mendapat pujian Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Dr Intan Azura Mokhtar, yang akur masalah kesihatan mental boleh menimpa sesiapa sahaja. Dr Intan hadir di acara pembukaan rasmi pusat terbaru Kelab HEAL sebagai tetamu terhormat, hari ini (21 Jan).

"Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah kesihatan mental. Ada berdepan dengan kesukaran di tempat kerja, ada juga mengalami masalah keluarga yang sukar untuk dihuraikan," kata Dr Intan.

"Saya percaya, dengan adanya Kelab HEAL di Buangkok, ini akan membantu mereka mendapatkan bantuan."

Kursus yang ditawarkan di Akademi Pemulihan Kelab HEAL di Buangkok pelbagai - dari penjagaan diri, kemahiran menjahit sehinggalah sesi-sesi santai untuk mengatasi tekanan.

JALIN KERJASAMA DENGAN MENDAKI SENSE

Badan amal itu juga akan berkerjasama dengan MENDAKI Sense untuk menganjurkan lebih banyak kursus bagi mempersiapkan para pesakit untuk mendapatkan pekerjaan.

"Mendapat pekerjaan itu amat penting dalam proses pemulihan pesakit kerana dengan adanya pekerjaan, ia akan meningkatkan lagi harga diri dan keyakinan diri mereka," kata Presiden Kelab HEAL, Dr Radiah Salim.

Yuran kursus berharga antara $20 hingga $40 bagi sekurang-kurangnya empat sesi. Sesiapa yang berminat boleh mendaftarkan diri dengan Kelab HEAL.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan