Kelab HEAL anjurkan persidangan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, galakkan perbincangan dalam masyarakat
SINGAPURA: Masyarakat dan terutamanya para majikan mesti lebih terbuka untuk memberi peluang pekerjaan bagi para individu yang mengalami masalah mental.
Ini kerana keupayaan untuk berdikari dan menjalani kehidupan secara bermakna adalah bahagian penting dalam proses penyembuhan dan pemulihan pesakit.
Hal itu ditekankan Ketua Penaung Kelab HEAL, Puan Halimah Yacob dalam ucapan pembukaannya di Persidangan Pemulihan dan Penyembuhan 2024 yang diadakan pada Khamis (10 Okt).
Ia dianjurkan buat julung-julung kalinya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Dalam ucapannya juga, Puan Halimah menekankan akan pentingnya peranan para penjaga dalam proses penyembuhan dan pemulihan.
"Dengan mempertingkatkan sistem-sistem sokongan penjaga pesakit, kita boleh mewujudkan asas pemulihan yang lebih kukuh, kerana para penjaga sendiri dilengkapi dengan sumber-sumber dan pemahaman yang diperlukan untuk menyokong proses pemulihan," kata Puan Halimah.
PELUANG KONGSI IDEA, AMALAN-AMALAN TERBAIK
Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi menjelaskan kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis bahawa matlamat menganjurkan persidangan tersebut adalah untuk menggalak perbincangan atau dialog yang berterusan dalam masyarakat mengenai kesihatan mental.
Dr Khairul berkata: "Acara ini memberi tumpuan kepada kepentingan pemulihan bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental supaya mereka bukan sahaja dapat bertahan dengan cabaran-cabaran yang mereka hadapi tetapi juga mampu berkembang maju.
"Antara lain, persidangan ini membincangkan topik seperti menghapuskan stigma terhadap kesihatan mental, meneroka laluan pemulihan dan melaksanakan penjagaan berasaskan komuniti. Oleh itu, perbincangan ini bertujuan untuk mencipta penyelesaian yang dapat dilaksanakan bagi menyokong para individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental dengan lebih baik."
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Khoo Teck Puat dan Yishun Health, Profesor Chua Hong Choon dan Pengasas dan CEO Rangkaian Rakan Kesihatan Mental Global, Charlene Sunkel juga dijemput untuk menyampaikan ucaptama mereka.
Lebih 250 peserta daripada pelbagai sektor, termasuk jagaan kesihatan, perkhidmatan awam pendidikan serta pertubuhan masyarakat menghadiri persidangan tersebut.
Mereka juga dapat mengikuti sesi pleno dengan perkongsian oleh beberapa tokoh dalam bidang berkaitan termasuk Naib Presiden Reben Perak, Profesor Fatimah Abdul Lateef serta Pengasas dan mantan Presiden Kelab HEAL, Dr Radiah Salim
PENTINGNYA UNTUK HAKIS STIGMA
Dalam perkongsiannya, Dr Radiah mengingatkan para peserta persidangan itu tentang pentingnya untuk menghakis stigma tentang masalah kesihatan mental.
"Amat penting untuk kita menghakis stigma sebab ia merupakan batu penghalang yang utama bagi seseorang itu sembuh dan baik pulih. Jadi sangat penting semua orang yang terlibat dalam pergerakan kesihatan mental bergabung tenaga dan kepakaran untuk bantu menghakis stigma," ujarnya.
Malah, beliau juga menggesa agar masyarakat menjaga kesihatan dan kesejahteraan mental serta meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental.
Katanya lagi: "Saya rasa kesedaran mengenai kesihatan mental semakin meningkat sebab kita tahu lebih ramai masyarakat kita tampil untuk mendapatkan sokongan dan rawatan pada peringkat yang lebih awal. Namun, saya rasa amat penting untuk kita perkasakan masyarakat kita bukan sahaja tentang masalah kesihatan mental tapi tentang bagaimana kita boleh ambil langkah supaya mencegah daripada masalah kesihatan mental itu berlaku."
Antara yang meraih manfaat tersebut ialah pengasas Rangkaian Nisa' HOPE, Ustazah Laila Abu Hassan.
Sebagai seorang kaunselor bagi kumpulan sokongan bagi bekas banduan wanita, Ustazah Laila berkata bahawa sidang tersebut amat bermanfaat kerana dapat meraih lebih banyak pengetahuan tentang bagaimana untuk menangani para pesakit mental.
Tambah beliau, orang ramai juga boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu mereka yang berdepan dengan penyakit mental.
"Mereka (para pesakit mental) ingin bergaul dengan kita semua. Jadi kita ini semua mesti menerima keadaan seadanya mereka dan memahami mereka," katanya.
Para peserta persidangan itu juga dapat pelajari dan raih pengetahuan menerusi reruai pameran oleh lapan agensi khidmat sosial yang bertugas dalam sektor kesihatan mental.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.