Kekurangan tenaga kerja, peraturan COVID-19 & tipu peperiksaan undang-undang akan dibincang di Parlimen

(Gambar: Parlimen Singapura/Facebook)
SINGAPURA: Kekurangan tenaga buruh sedang Singapura melonggarkan sekatan-sekatan COVID-19 adalah antara isu-isu yang akan dibincangkan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (9 Mei).
Sebilangan Anggota Parlimen (AP) memfailkan pertanyaan mengenai sama ada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sudah mengambil langkah-langkah untuk menyokong perniagaan-perniagaan tempatan - seperti sektor makanan dan minuman serta katering - yang mengalami kesulitan untuk mendapatkan tenaga kerja.
AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya apakah usaha yang sudah dijalankan untuk memikat dan menggajikan pekerja tempatan dan bagaimana MOM sedang membantu sektor-sektor yang berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja tempatan.
Beliau juga bertanya sama ada kementerian itu akan melonggarkan dasar-dasar tenaga kerja asing jika tiada kemajuan yang ketara pada keadaan tenaga manusia di sini.
AP Yeo Wan Ling (PAP-Pasir Ris-Punggol) dan Encik Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang) bertanya sama ada sumber-sumber tenaga manusia akan dialihkan ke sektor-sektor lain bagi mereka yang bertugas dalam bidang yang berkaitan dengan COVID-19 seperti Duta Jarak Selamat (SDA).
Encik Liang juga bertanya bagaimana para pekerja tersebut akan dibantu untuk mencari pekerjaan baru dan juga pekerjaan dalam jangka panjang manakala Cik Yeo pula mengajukan soalan mengenai langkah-langkah bagi menggalak dan mengalihkan sumber-sumber ke industri yang mengalami masalah kekurangan tenaga kerja.
Soalan-soalan lain yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 termasuk peraturan yang dilonggarkan untuk para penduduk yang belum divaksin serta kesan pandemik terhadap rawatan pesakit bukan COVID-19.
TIPU PEPERIKSAAN UNDANG-UNDANG
Beberapa AP lain mengemukakan soalan berhubung kes baru-baru ini yang melibatkan enam peguam pelatih yang menipu dalam peperiksaan perundangan.
AP Seah Kian Peng (PAP-Marine Parade) bertanya sama ada terdapat kes serupa dan jika tindakan diambil terhadap perbuatan sedemikian.
AP pembangkang He Ting Ru (WP-Sengkang) bertanya sama ada langkah-langkah sudah diambil untuk menangani keprihatinan orang ramai berhubung isu tersebut dan jika hukuman yang dikenakan adalah setimpal dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan.
Dua rang undang-undang akan diperkenalkan - Rang Undang-Undang Spesies Terancam (Import dan Eksport) (Pindaan) dan Rang Undang-Undang Cukai Setem (Pindaan).
Antara rang undang-undang yang akan dibacakan buat kali kedua adalah Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan Republik Singapura dan Rang Undang-Undang Pengambilan Anak Angkat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.