Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kekurangan pemeriksaan ketat mudahkan pemilik kereta pasang nombor plat palsu

Anggaran Waktu Membaca:
Kekurangan pemeriksaan ketat mudahkan pemilik kereta pasang nombor plat palsu

Gambar: Gary's Art and Sign

Diterbitkan : 16 May 2022 09:46AM Dikemas Kini : 16 May 2022 10:42AM

SINGAPURA: Encik Steven Lim menukar keretanya setiap dua tahun dan biasanya memilih untuk mendapatkan kereta terpakai.

Untuk menambahkan 'seri' pada kereta barunya, beliau akan memasang plat lesen baru yang kadangkala dipasangnya sendiri.

"Apabila saya mendapat kereta baru saya yang berwarna putih, ia dilengkapkan dengan plat lesen berwarna hitam. Jadi, saya mendapatkan plat berwarna putih dan kuning untuk mencantikkan lagi kereta itu," kata broker kereta berusia 55 tahun itu. Beliau juga menempah dan menggantikan plat kereta terpakai yang dijualnya.

"Mereka (pembuat plat lesen) tidak akan meminta apa-apa kecuali nombor plat kereta... Sesetengah kedai (pembuat plat lesen) membuat penghantaran, jadi saya pasang sendiri plat kereta."

Memasang sendiri plat kereta tidak diharamkan dan ia juga menunjukkan betapa mudahnya untuk menukar plat lesen kereta.

Pembuat plat kereta memberitahu Mediacorp bahawa mereka mempunyai cara-cara untuk mengesahkan kesahihan plat lesen kereta. Namun, apa saja yang dilakukan oleh pihak pelanggan dengan plat mereka setelah meninggalkan kedai adalah sesuatu yang di luar kawalan mereka.

Sebahagian besar pelanggan akan meminta pembuat plat untuk memasang plat itu untuk mereka namun masih ada yang memilih untuk memasangnya sendiri.

Baru-baru ini, dua lelaki didakwa secara berasingan kerana mengubah suai nombor plat kereta masing-masing.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) turut mendedahkan bahawa ia merekodkan sebanyak tujuh kesalahan kerana mempamerkan plat lesen palsu antara 2019 dengan 2021.

Di bawah Akta Lalu Lintas Jalan raya, sesiapa yang didapati menukar nombor plat kenderaan mereka boleh dihukum penjara sehingga setahun atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

PEMERIKSAAN OLEH PEMBUAT PLAT LESEN KERETA

Cik Iris Seah, 45 tahun, pengarah Chuan Heng Signcrafts berkata, bagi tujuan pengesahan, pengeluar plat kenderaan akan mensyaratkan pelanggan baru untuk membuat tempahan plat kereta secara fizikal.

"Kami ada senarai daripada LTA yang membantu kami untuk mengenal pasti sama ada plat lesen itu sah atau palsu menggunakan huruf terakhirnya," kata beliau.

"Pemilik kereta juga mesti menunjukkan kertas kelulusan LTA supaya kami tahu bahawa mereka adalah pemilik sebenar."

Menurut Cik Seah, syarikatnya sudah mengalami tiga insiden di mana pelanggan tidak dapat mengesahkan bahawa mereka adalah pemilik nombor plat kereta tersebut.

Encik Gary Tan, 32 tahun, pengarah urusan Gary's Art and Sign berkata syarikatnya memeriksa sebahagian besar nombor lesen kereta berdasarkan senarai yang diberikan oleh LTA.

"Kadangkala kami mendapat tempahan pukal daripada pengedar kereta. Jadi, kami hanya mengambil nama dan membuat plat tanpa memeriksanya," kata beliau. Beliau menambah bahawa tugas memeriksa setiap plat lesen kereta adalah tugas yang memakan masa.

Kira-kira 95 peratus pelanggannya, tidak termasuk pengedar kereta, akan meminta pasukannya untuk memasang plat kereta mereka, manakala selebihnya akan mengambil semula plat tersebut untuk dipasang sendiri.

Sungguhpun demikian, Encik Steven Lim menarik perhatian bahawa mudah untuk mengenal pasti pelanggan yang menggunakan nombor plat kereta palsu dan ini menghalang ramai orang daripada melakukan kesalahan sedemikian.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan