Skip to main content

Singapura

Kekurangan mekanik cabaran bengkel beralih kepada penyelenggaraan EV

Kekurangan tenaga kerja mahir dan kos tinggi bagi latihan luar negara adalah antara cabaran yang dihadapi bengkel-bengkel kereta di Singapura yang beralih kepada penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV).

Anggaran Waktu Membaca:
Kekurangan mekanik cabaran bengkel beralih kepada penyelenggaraan EV

Seorang mekanik membaiki bateri kenderaan elektrik di sebuah bengkel di Singapura. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Kekurangan tenaga kerja mahir dan kos tinggi bagi latihan luar negara adalah antara cabaran yang dihadapi bengkel-bengkel kereta di Singapura yang beralih kepada penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV).

Ketika ini, kebanyakan bengkel dan mekanik masih menumpukan perkhidmatan kepada kenderaan berkuasa enjin pembakaran dalaman yang menggunakan petrol atau diesel.

Namun, seiring usaha Singapura memacu penggunaan EV, bengkel-bengkel juga perlu menyesuaikan diri bagi memenuhi permintaan yang berubah, sedang penggunaan kenderaan tradisional semakin berkurangan.

Bagaimanapun, menurut pemain industri, peralihan tersebut adalah mencabar.

Sebagai contoh, Hong Seh Workshop menghadapi kekurangan mekanik yang memahami asas EV apabila ia mula menawarkan perkhidmatan pembaikan EV tujuh tahun lalu.

Syarikat itu menghantar mekaniknya ke kilang-kilang pengeluaran pelbagai jenama EV untuk menjalani latihan, tetapi kosnya tinggi – bagi satu sesi latihan di luar negara untuk 10 kakitangannya, syarikat tersebut membelanjakan sekitar S$45,000.

Pengarah eksekutif bengkel tersebut, Edward Tan, berkata pemain industri memerlukan banyak sokongan daripada pihak pengeluar kerana komponen dalaman EV – seperti unit kawalan elektronik – adalah hak milik eksklusif setiap pengeluar.

Ini bermakna para mekanik perlu memahami sistem unik setiap jenama sebelum boleh menyelenggara kenderaan-kenderaan elektronik.

“Juruteknik dan mekanik kami diajar oleh (setiap pengeluar) cara menyelenggara dan membaiki, protokol keselamatan, cara menghubungkan kenderaan ke kilang … bagi mendapatkan kemas kini dan menaik taraf perisiannya,” kata Encik Tan.

Latihan tersebut membuahkan hasil dan kini, Hong Seh merupakan bengkel penyelenggaraan bertauliah bagi jenama EV seperti Riddara, Farizon, SRM, DFSK, Seres dan Joylong.

KEKURANGAN TENAGA BURUH

Peralihan kepada EV di Singapura berjalan secara beransur-ansur, dengan EV meliputi hanya sekitar lima peratus daripada keseluruhan jumlah kereta di sini.

Namun, angka itu dijangka melonjak, sejajar dengan rancangan untuk memastikan semua pendaftaran baharu kereta dan teksi menggunakan model tenaga bersih menjelang 2030.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sebanyak 26,225 kereta EV didaftarkan tahun lalu. Jumlah tersebut adalah lebih dua kali ganda berbanding 11,941 kereta EV pada 2023.

Biarpun penggunaan EV kian meningkat, banyak bengkel masih teragak-agak untuk menghantar kakitangannya bagi menjalani latihan dek kekurangan tenaga kerja sedia ada.

Selain itu, memandangkan kebanyakan EV masih baharu dan di bawah jaminan, pemilik lebih cenderung menghantar kenderaan mereka ke bengkel syarikat pengeluar atau bengkel bertauliah dan bukan ke bengkel pihak ketiga, kata Presiden Persatuan Bengkel Motor Singapura (SMWA), Encik Joey Lim.

Beliau turut menambah bahawa EV masih belum biasa dilihat di bengkel-bengkel yang diwakili persatuan tersebut.

Namun, permintaan terhadap juruteknik yang mahir dalam bidang kenderaan EV dijangka terus meningkat sedang sasaran 2030 di bawah Rancangan Hijau Singapura semakin hampir.

LATIH SEMULA BAGI MELUASKAN SUMBER TENAGA MAHIR

Pengarah Akademi SkillsFuture Temasek di Politeknik Temasek, Dr Kwan Kian Hoong, berkata hanya sekitar 10 peratus mekanik di negara ini mempunyai kemahiran untuk menyelenggara EV dan kenderaan hibrid.

Untuk menutup jurang tersebut, politeknik berkenaan menawarkan tiga kursus bagi para pelajar dewasa yang meliputi keselamatan EV, penyimpanan tenaga dan pelbagai sistem pengurusan enjin.

Sejak kursus pertama dilancarkan pada November lalu, lebih 100 pelajar sudah mendaftar termasuk mekanik, pemilik bengkel dan pemilik kenderaan.

“(Kami mahu) melatih lebih ramai profesional... supaya wujudnya kumpulan pekerja yang cekap di Singapura untuk menyelenggara, membaiki dan mendidik pemilik kenderaan mengenai teknologi hijau,” kata Dr Kwan.

SMWA pula mengatakan walaupun program pensijilan Pakar Keselamatan EV Nasional (NESS) yang diperkenalkan LTA menyediakan asas kukuh bagi tenaga kerja dalam pengendalian EV, ia tidak merangkumi sistem unik setiap jenama EV.

Persatuan itu menambah bahawa ia sedang bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, syarikat EV China BYD dan firma teknologi automotif Jerman, Bosch, untuk menyediakan latihan khusus bagi pekerja mereka.
Related article image
Orang ramai melihat ruang enjin kenderaan elektrik BYD di sebuah bengkel di Singapura. (Gambar: CNA)
BYD memaklumkan bahawa ia bekerjasama dengan NTUC Learning Hub untuk menjalankan kursus seperti NESS bagi juruteknik yang menyelenggara kenderaan komersial keluaran syarikat itu.

Syarikat automotif lain seperti Hyundai dari Korea Selatan pula mengatakan bahawa kumpulan tenaga kerja di Singapura yang berkebolehan dan usaha peningkatan kemahiran yang dijalankan menjadikan negara ini lebih bersedia untuk menangani teknologi EV baharu.

Syarikat berkenaan menghasilkan empat model EV di kemudahan mereka yang terletak di Jurong, dengan hampir 80 peratus daripada sekitar 300 kakitangannya merangkumi warga tempatan, menurut syarikat tersebut.

Hyundai menarik perhatian bahawa Singapura merupakan lokasi menarik bagi pengembangan EV berkat landskap perniagaannya yang stabil dan komitmennya terhadap kemampanan.

Melangkah ke hadapan, Dr Kwan berkata Politeknik Temasek akan membangunkan lebih banyak kursus "lebih ringkas" bagi membolehkan para profesional penyelenggaraan belajar mengikut rentak mereka sendiri.

“Kami berharap (dapat) memberi pengiktirafan rasmi kepada mereka sebagai profesional pakar (untuk) meyelenggara … kenderaan hibrid dan elektrik,” tambah beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita