Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kekuatan seorang ibu: Nurdiana hilang 2 bayi tapi...

Sempena Hari Ibu hari ini (9 Mei), BERITAmediacorp bertemu dan menyingkap kisah Cik Nurdiana yang pernah mendapat sorotan media sosial menerusi kempen #WishforRayyan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Cuba anda gambarkan senario ini. Anda seorang ibu tunggal lima anak. Yang bongsu tiba-tiba didiagnos dengan sejenis penyakit genetik dan harus segera dirawat. Jika tidak, dia akan menjadi lumpuh. Malangnya kos rawatannya berharga lebih S$3 juta, sedangkan anda tidak bekerja.

Anda harus ketepikan rasa malu dan ibarat seorang peminta sedekah, anda mohon ihsan bantuan orang ramai. Sana sini anda merayu sumbangan derma demi menyelamatkan anak kesayangan anda.

Tapi bila seolah-olah ada sinar harapan, dan derma sekitar S$1 juta berada dalam tangan anda, anak anda pula tidak disangka-sangka meninggal dunia dalam tidurnya.

Senario ini sebenarnya bukan suatu rekaan. Ia benar-benar menimpa Cik Nurdiana Rohop - seorang ibu tunggal berusia 33 tahun. Lebih memeritkan lagi, dia melalui peristiwa pahit seperti ini bukan sekali, tetapi dua kali.

Sempena Hari Ibu hari ini (9 Mei), BERITAmediacorp bertemu dan menyingkap kisah Cik Nurdiana yang pernah mendapat sorotan media sosial menerusi kempen #WishforRayyan.

Pengorbanannya cukup luar biasa dan meski diuji dugaan demi dugaan yang begitu berat, wanita bergelar ibu ini masih gagahi diri untuk berdiri. Tujuannya hanya satu - meneruskan kehidupan dan membesarkan empat anaknya yang lain, dengan tulang empat keratnya sendiri.

PADA HARI RAYYAN MENINGGAL DUNIA...

Masih jelas dalam ingatan Cik Nurdiana apa yang terjadi tepat pada hari Tahun Baru 1 Januari 2021. Semuanya bermula dari sekitar 10.00 pagi. Cik Nurdiana sedang dibuai mimpi apabila dikejutkan oleh seorang anaknya yang sedang panik.

Bayinya, Rayyan Qush, yang menghidap 'Spinal Muscular Atrophy', didapati "sudah sejuk" dan "bibirnya biru".

"Bila saya angkat dia, terus saya tahu dia dah tak ada," cerita si ibu.

Dirinya menjadi begitu kalut. Dia mundar-mandir dari ruang tamu ke dapur flat sewa dua biliknya dengan Rayyan dalam dakapan. Empat anak Cik Nurdiana pula mengekorinya sambil meraung. Sangat menghibakan.

Seolah-olah tersentak dari kebuntuan, dia akhirnya berlari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan. Dari situlah, ambulans akhirnya dipanggil ke rumahnya.

Gambar fail Cik Nurdiana bersama anak bongsunya pada Nov 2020. 

"Tak sangka sangat-sangat sebab malam sebelumnya (31 Dis) kita tengok bunga api dekat belakang blok. Rayyan tengok bunga api dan dia (cakap) wah... wah. Kali pertama nampak bunga api. Semuanya baik-baik sahaja," tambah Cik Nurdiana.

MASIH DALAM AMBULANS, TAPI BANYAK TERIMA PANGGILAN, MESEJ TENTANG KEMATIAN ANAKNYA...

Belum lagi dapat menerima hakikat Rayyan sudah tiada ketika itu, Cik Nurdiana didatangi satu lagi dugaan.

"Sebelum kita uar-uarkan yang Rayyan sudah tiada, tak tahu macam manalah berita sudah disebarkan. Jadi saya punya telefon ni, tak henti-henti orang mesej, orang 'call'... tanya, betul ke Rayyan sudah tak ada? Lagi buat saya tertekan," rintih beliau.

Menurut Cik Nurdiana, perkara itu berlaku sejak dia masih dalam ambulans lagi.

"Saya ni... anak saya masih cuba diselamatkan. Mana anak-anak saya (yang lain) di rumah, mana saya nak fikir kempen, mana orang tanya-tanya. Pada saat itu, saya boleh jadi gila sehingga saudara saya ambil telefon dari saya supaya saya dapat betul-betul berduka," luah Cik Nurdiana.

'DEJA VU': 2 ANAK MENINGGAL DUNIA DALAM SITUASI SERUPA

Semasa merayu derma untuk Rayyan, Cik Nurdiana ada beberapa kali berkongsi dengan orang ramai bahawa dia tidak mahu berputih mata buat kali kedua.

Pada 2014, anak perempuannya yang waktu itu baru berusia empat bulan, meninggal dunia secara mengejut. Maka itulah si ibu ini bermati-matian mencari dana untuk Rayyan walaupun "banyak orang cakap gitu, orang cakap gini".

Arwah anak perempuan Cik Nurdiana. 

Namun sudah suratan takdir, sebesar mana pun perjuangan Cik Nurdiana, Rayyan akhirnya menyahut seruan Illahi. Malah, cara dia meninggal dunia juga persis anak perempuannya dahulu.

"Hari mereka meninggal (iaitu pada hari Jumaat), tengah waktu hujan, waktu Tahun Baru, bilik di rawatan kecemasan (A&E) di mana mereka diberi perhatian... sama. Saya masih ingat lagi. Waktu itu juga (2014), saya sorang kerana menunggu anak-anak datang. Kira macam 'deja vu'," kata Cik Nurdiana mengimbas kembali semua detik-detik menyedihkan itu.

"(Bila Rayyan meninggal) saya asyik tertanya-tanya… 'Apa ni? Apa ni??' Macam itu sahajalah soalan yang ada dalam fikiran. Bila sedara saya datang, saya sampai cakap dengan dia: Kak, apa ni? Apa ni? Hati saya sakit sangat-sangat." Bergenang air mata Cik Nurdiana ketika meluahkan semua itu kepada BERITAmediacorp.

Sungguhpun begitu, tidak ada sekelumit pun penyesalan kali ini. Ini kerana Cik Nurdiana dapat berada di sisi Rayyan sepanjang proses sebelum pengebumian.

(Gambar: WishforRayyan/Facebook)

"Arwah anak perempuan saya kena pembedahan post-mortem. Dia dimandikan semua saya tak tengok. Saya tak dukung pun sebab saya badi. Penyesalan itu ada. (Bagi Rayyan), saya meminta kepada pegawai supaya dia tidak dibedah kerana dia memang sakit sehingga menjejas pernafasannya," kata Cik Nurdiana.

"Pada keesokan harinya, pegawai telefon, cakap Rayyan tak kena post-mortem. Alhamdulillah, dapatlah saya mandikan dia, siramkan dia, dapat peluk dia," tangis wanita bersemangat waja itu.

"MEREKA TAHU YANG SAYA SEDIH..."

Cik Nurdiana akur, dia menjadi murung selepas Rayyan meninggal dunia. Memang, dugaan hidupnya amat berat. Kaum Hawa pasti lebih faham kesengsaraan kehilangan cahaya mata.

Dalam tempoh dia masih berduka dan kubur Rayyan masih merah, Cik Nurdiana bahkan perlu menjawab pertanyaan-pertanyaan yang intinya bersangkut-paut dengan dana terkumpul menerusi #WishforRayyan. Ramai juga yang mengikhlaskan sumbangan yang sudah dihulurkan. Tapi ada yang meminta wang mereka dikembalikan.

Mengenai dana #WishforRayyan itu, Cik Nurdiana menjelaskan kepada BERITAmediacorp bahawa wang sudahpun dikembalikan kepada pihak yang memintanya dipulangkan. Bakinya pula sudah dan masih Cik Nurdiana gunakan untuk membantu orang-orang lain yang memerlukan.

"Saya dalam keadaan teruk (beberapa minggu selepas itu)," kata Cik Nurdiana jujur.

Mujur, jiran dan pihak keluarga tampil membantu. Anak-anak Cik Nurdiana - yang semuanya lelaki dan masing-masing berusia 12, 10, 6 dan 3 tahun - memberinya ruang.

"Mereka tahu yang saya sedih jadi mereka cuba berkelakuan baik. Boleh nampak kerana kalau tidak, rumah macam huru-hara. Kecoh," tambah Cik Nurdiana.

SUDAH KEMBALI NORMAL, DORONGANNYA…

Lima bulan kemudian, Cik Nurdiana mula pulih seperti biasa, membuat kerja rumah serta menjaga dan menguruskan keempat-empat anaknya.

“I pun memang gila-gila, suka kacau-kacau budak. Saya rasa kita rapat kerana saya selalu dengan mereka. Bila bangun tidur nampak saya, balik sekolah nampak saya, nak tidur pun nampak saya,” kongsi Cik Nurdiana tentang keakraban mereka.

“Ada beberapa perkara yang tak perlu diungkapkan. Kami mengeratkan hubungan menerusi emosi. Kita ada semacam ikatan batin yang kuat. Kalau saya sedih, mereka juga tahu.”

Jadi apa yang membuat Cik Nurdiana cepat bangkit sedangkan dia menanggung segala kesedihan sendirian? Ini jawapan wanita itu:

“Untuk anak-anak la jawapannya. Saya tidak sempurna. Ada kalanya murung. Saya hanya manusia tetapi saya selalu fikir balik: tanpa saya, mereka pun tidak tahu ingin ke mana. Saya perlu kuat untuk ada untuk mereka. Saya tulang belakang mereka. Macam mana saya jatuh pun, satu hari, dua hari, saya kena bangun balik. Semuanya kerana mereka. Anak-anak saya.”

Sempena Hari Ibu hari ini (9 Mei), Cik Nurdiana tidak mengharapkan apa-apa daripada anak-anak. Mungkin juga mereka nanti akan sekadar duduk rumah dan meluangkan masa bersama.

Yang pasti, pada Hari Ibu hari ini, masih ada syurga di pangkuan Cik Diana... 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan