Kekeliruan mengenai bahan kitar semula layak dijangka cabaran terbesar terhadap skim pulangkan bekas minuman SG
Kekeliruan mengenai bahan kitar semula yang layak bagi bayaran balik boleh menimbulkan cabaran terbesar bagi skim pulangkan bekas minuman (BCRS) Singapura, menurut para pengendali.
Para pengguna perlu memastikan bekas minuman kosong mereka mempunyai tanda deposit untuk mendapatkan semula bayaran deposit sebanyak 10 sen. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Di bawah skim itu, yang akan dilancarkan pada 1 April, bayaran deposit S$0.10 dikenakan terhadap setiap minuman yang dijual dalam botol plastik atau tin logam antara 150 ml hingga 3 liter.
Para pengguna boleh mendapatkan semula bayaran deposit itu dengan memulangkan bekas minuman yang kosong di mana-mana mesin Return Right.
Bayaran balik akan disalurkan ke dalam kad EZ-Link, kad konsesi atau dompet DBS PayLah!.
Satu firma kitar semula tempatan, SG Recycle menyatakan sesetengah pengguna mungkin mempunyai salah tanggapan bahawa semua botol dan tin minuman layak untuk dikitar semula dan mendapatkan bayaran balik.
Namun, hanya bekas dengan tanda deposit boleh diterima oleh mesin-mesin tersebut.
BCRS akan mulakan tempoh peralihan selama enam bulan di mana kedua-dua bekas minuman yang mempunyai dan tidak mempunyai tanda deposit itu akan diedarkan.
Pengasas dan CEO SG Recycle Mervin Ng berkata para pengguna mungkin menghadapi kekeliruan semasa tempoh tersebut, kerana kebanyakan minuman yang dijual tidak mempunyai tanda deposit, yang hanya akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 1 Oktober.
"(Pengguna) tentu sekali akan cuba mesin tersebut (dan percubaan mereka ditolak) kerana (botol atau tin minuman itu) tidak mempunyai tanda deposit," katanya.
SG Recycle melancarkan kira-kira 380 mesin Return Right di bahagian utara dan barat Singapura, termasuk di Jurong dan Clementi.
Ia merupakan antara lebih 1,000 mesin sedemikian yang ditempatkan di seluruh negara menjelang April di estet-estet perumahan, pusat penjaja dan rangkaian runcit utama.
Lebih 90 peratus isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berada pada jarak lima minit berjalan kaki daripada setiap mesin tersebut.
Lebih 430 pasar raya dan peruncit di seluruh Singapura juga akan beroperasi sebagai tempat pulangkan bekas minuman.
Inisiatif tersebut menetapkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus kadar pemulangan bekas minuman dalam tahun pertama ia dilancarkan, iaitu sasaran yang ditetapkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
PENDIDIKAN AWAM DIPERLUKAN
Para pengendali menyatakan pendidikan awam adalah kunci bagi menangani kekeliruan yang berlaku di peringkat awal.
"Kami benar-benar sedang bekerja rapat dengan BCRS Limited bagi memastikan terdapat kempen kesedaran awam yang betul-betul baik... dan semua orang mempunyai pemahaman yang baik tentang apa yang harus dicari pada botol mereka untuk memastikan mereka dapat bayaran balik 10 sen," kata Encik Phil Parbury, pengarah operasi di TOMRA.
SG Recycle, TOMRA dan RVM Systems adalah pengendali rangkaian yang dilantik untuk menyokong pelancaran skim itu di seluruh negara.
Para pengendali juga menekankan bahawa bekas minuman harus dikosongkan sebelum ia dipulangkan.
Mesin Return Right boleh mengesan sebarang sisa cecair dan akan menolak bekas minuman yang tidak dibersihkan dengan betul.
Dalam satu ujian rintis yang dijalankan oleh NEA dan syarikat minuman F&N Foods bermula lewat 2019, lebih 16.5 juta bekas minuman dikumpul.
NEA menyatakan ia akan memperluaskan usaha jangkauan di bawah BCRS, menerapkan pengajaran daripada ujian rintis, termasuk penyalahgunaan mesin tersebut dan kurang kesedaran mengenai bekas minuman yang layak di bawah skim tersebut.
Ini termasuk meningkatkan usaha publisiti, menempatkan duta di lapangan dan menyediakan bahan-bahan maklumat di kedai dan cawangan makanan dan minuman bagi menjelaskan bagaimana skim itu berfungsi.
SASARAN DAN CABARAN
Dr Jovan Tan, seorang pensyarah di Pusat Inovasi dan Reka Bentuk Jurutera di Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan NEA menetapkan sasaran jelas bagi skim tersebut, termasuk mencapai kadar pulangan sebanyak 80 peratus menjelang 2029.
“Jika kita mencapai sasaran yang ditetapkan oleh NEA, ia akan meletakkan Singapura setanding dengan beberapa sistem pulangan deposit berprestasi tinggi di seluruh dunia,” katanya.
"Norway adalah contoh terbaik, dan (ia) secara konsisten mencapai kadar pulangan lebih 92 peratus untuk kitar semula gelung tertutup botol ke botol."
Satu lagi contoh adalah Lithuania, yang melaksanakan sistem pulangan deposit pada 2016 di mana pengguna membayar deposit sebanyak 0.10 euro.
Dr Tan berkata kadar pulangan meningkat daripada kira-kira 30 peratus kepada lebih 70 peratus pada tahun pertama, sebelum mencapai 90 peratus pada hujung tahun kedua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.