Kekalkan dana pokok, adakan struktur sistem proses untuk kurangkan risiko pelaburan WMS & Pelan Pelaburan Wakaf Masjid
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengambil beberapa langkah untuk memastikan keselamatan dana dan pelaburan untuk Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) dan Pelan Pelaburan Wakaf Masjid.
Dalam satu wawancara bersama wartawan Nazirah Jamzuri, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli menjelaskan beberapa langkah tersebut.
Antaranya, memastikan dana pokok dikekalkan dan tidak digunakan untuk pelaburan-pelaburan berisiko sehingga dana pokoknya itu berkurangan serta struktur sistem proses untuk memberi keyakinan terhadap dana yang disumbangkan.
Sebagai permulaan, 14 masjid di daerah barat negara secara bersama-sama melabur S$2.7 juta dalam Pelan Pelaburan Wakaf Masjid.
Bagi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) pula, setakat ini MUIS telah menerima ikrar lebih S$3.6 juta kepada WMS.
"Bagi pelaburan yang akan dimasukkan dalam WMS dan juga Wakaf Dana Masjid, ini akan mengekalkan dana pokoknya. Kita tidak boleh menggunakan dana pokok ini untuk pelaburan-pelaburan yang berisiko sehingga dana pokok itu berkurangan kerana ini bercanggah dengan peraturan ataupun dasar-dasar untuk wakaf beragama Islam, supaya pokoknya itu kita kekalkan," ujar Encik Masagos.
Di sini, Encik Masagos berkongsi bahawa terdapat pelbagai pendekatan dalam mengurus pelaburan yang mempunyai risiko-risiko berbeza.
"Dalam pengurusan pelaburan, ada pelbagai pola pendekatan. Kalau kita boleh menanggung risiko yang tinggi, kita boleh masukkan pelaburan ini dalam saham di mana pulangannya itu mungkin tinggi tetapi risiko untuk dana pokoknya itu juga tinggi di mana kita mungkin boleh kehilangan separuh ataupun sampai semua sekali dana pokok tersebut tetapi ada juga program-program pelaburan di mana dana pokok itu akan dikekalkan tetapi pulangannya itu tidak setinggi dalam pelaburan yang kita masukkan dalam saham biasa itu. Jadi sebagai pengurus dana, mereka tahu apakah keperluan daripada pelaburan tersebut, apakah ia mengekalkan dana pokoknya ataupun sanggup mengambil risiko yang tinggi," jelas Encik Masagos.
"Kita akan memastikan bahawa dana yang dimasukkan dan disumbangkan oleh masyarakat dari Tabung Simpanan Pekerja (CPF), agihan insurans ataupun dari harta rumah mereka umpamanya yang diwasiatkan untuk dimasukkan ke dalam WMS, pokoknya akan dikekalkan," tambah beliau.
Dalam pada itu, terdapat juga struktur sistem proses untuk memberi keyakinan kepada mereka yang menyumbang kepada WMS.
"Ini juga kita akan uruskan supaya hasrat seseorang Muslim di Singapura itu apabila mereka menyumbang kepada WMS, ada struktur sistem proses dan sebagainya di mana mereka dapat keyakinan bahawa dana yang mereka masukkan itu tidak digunakan tetapi mendatangkan hasil di mana ia akan memanfaatkan masyarakat, untuk pembaharuan tanah ataupun menanggung gaji para asatizah dan sebagainya," kata Encik Masagos.
WMS DIWUJUDKAN AGAR PENGAGIHANNYA DINAMIK DAN BERUBAH MENGIKUT WAKTU DAN MASA
WMS dijangka akan dirasmikan pada lewat tahun ini untuk membolehkan orang ramai membuat sumbangan.
Masyarakat Islam Singapura digalak untuk menyumbang kepada wakaf baharu itu daripada aset atau hartanah yang dimiliki mereka.
"Ada beberapa dana yang telah pun digunakan secara baik, umpamanya Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) yang digunakan untuk membangunkan masjid. Lebih 25 masjid telah dibangunkan dan untuk keperluan MENDAKI, Madrasah dan sebagainya. Jadi keperluan semasa saya fikir sudah cukup untuk kita memanfaatkan dana-dana tersebut tetapi kalau kita lihat pada jangka masa panjang, banyak sekali keperluan masyarakat yang mungkin tidak dapat ditampung atau didukung oleh masyarakat masa depan nanti," kongsi Encik Masagos.
Di sini, beliau menekankan bahawa WMS "diwujudkan supaya pengagihannya itu dinamik dan dapat berubah mengikut waktu dan masa".
"Kalau kita hanya mengharapkan MBMF ditingkatkan untuk ini, saya fikir ia akan membebankan masyarakat. Oleh itu, kita menggunakan usaha ataupun pendekatan yang disyorkan dalam agama kita untuk mewujudkan wakaf di mana setelah kita meninggal ataupun kita ada kelebihan dari harta kita itu, kita agihkan kepada wakaf ini dan dana pokoknya akan dikekalkan. Hasilnya itu dapat digunakan untuk pembaharuan tanah, menampung gaji para asatizah, program madrasah dan sebagainya," tambah beliau.
PELAN PELABURAN WAKAF MASJID AKAN DIPERLUAS KEPADA SEMUA MASJID DI DAERAH LAIN
Buat masa ini, ia dirintis dahulu dengan melaburkan rizab yang digabungkan daripada 14 masjid di kawasan barat negara.
"Ini satu program yang saya fikir baik dan saya meminta kepada semua masjid-masjid yang ada kelebihan dana atau dana yang mereka tidak perlukan untuk dikumpulkan sebanyak-banyaknya menjadi dana pokok yang dapat diuruskan dengan program yang mendatangkan hasil yang lebih banyak.
Kita sebagai negara telah membuktikan bahawa kalau ada rancangan jangka masa panjang, kita dapat mengumpul dana perlahan-lahan sehingga apabila diperlukan, ia dapat digunakan seperti waktu COVID dan sebagainya. Kedua, jika ada dana yang tidak diperlukan pada masa ini, lebih baik ia ditanam ke dalam program-program dana yang dapat mengeluarkan hasil," ujar Encik Masagos.
Beliau percaya langkah itu juga boleh mewujudkan sistem pengurusan dana yang lebih berkesan dan mampan untuk jangka masa panjang.
"Dengan berkumpulnya semua masjid, Insya-Allah saya fikir ini akan menarik pengurus dana yang lebih cekap kerana pokok dana itu lebih besar. Yang penting adalah dana pokok ini harus kekal selama dan tidak kurang nilainya atau pokoknya yang telah dimasukkan pada awal lagi," kata Encik Masagos.
Di bawah Pelan Pelaburan Wakaf Masjid yang diumumkan pada Disember 2022, masjid-masjid akan melaburkan sebahagian daripada wang rizab masing-masing dalam pelbagai produk pelaburan yang mematuhi syariah untuk mendapat pulangan lebih baik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.