Skip to main content

Singapura

Kejohanan futsal amal Rumah Kebajikan Muhammadiyah kumpul S$17,000

Anggaran Waktu Membaca:
Kejohanan futsal amal Rumah Kebajikan Muhammadiyah kumpul S$17,000

(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 08:45PM
SINGAPURA: Kejohanan futsal amal Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) yang diadakan pada Sabtu lalu (4 Jul) berjaya mengumpul dana sebanyak S$17,000 setakat ini.

Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada program pembangunan menyeluruh RKM.

Menurut Ketua RKM, Rahmatunnisa Abdul Majeed, ia termasuk inisiatif pengukuhan institusi keluarga, pembangunan kemahiran hidup, intervensi terapeutik, lawatan pembelajaran serta aktiviti pembangunan sahsiah.

Di acara tersebut, Cik Rahmatunnisa menegaskan bahawa acara itu bukan sahaja membantu mengumpul dana, malah menjadi wadah untuk membentuk sahsiah para remaja.
Related article image
(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)
Cik Rahmatunnisa berkata: "Kejohanan ini memberi peluang kepada mereka berinteraksi dengan rakan-rakan daripada sekolah lain, pemain korporat, sukarelawan dan masyarakat. Melalui pengalaman bermain sebagai rakan sepasukan, mereka belajar nilai hormat, kerjasama dan semangat kesukanan."

"Dari segi emosi dan psikologi, mereka membina keyakinan diri, belajar mengurus kemenangan dan kekalahan, serta merasai bahawa mereka dihargai dan diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat," tambah beliau.
Related article image
(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)
KEJOHANAN FUTSAL BENTUK SAHSIAH GOLONGAN REMAJA

Lebih 500 pemain, penyokong dan sukarelawan berhimpun di The Cage @ Dempsey bagi menjayakan Kejohanan Futsal Amal Tahunan RKM 2026.

Para peserta bertanding menerusi lebih 30 pasukan dalam empat kategori termasuk bawah 12 tahun, bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun.

Beberapa pasukan korporat turut ikut beraksi di padang futsal itu, sekali gus menambah ketangkasan kejohanan itu.

Turut hadir merasmikan kejohanan itu ialah Anggota Parlimen GRC Pasir Ris–Changi, Sharael Taha.

Menurut Encik Sharael, acara sukan seperti itu memainkan peranan penting dalam pembangunan golongan belia.
Related article image
(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)
"Ia memberikan mereka peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka,daya tahan serta memupuk semangat kesukanan dan berpasukan,"ujarnya.

Tambah Encik Sharael, inisiatif seperti itu membuktikan kepada penghuni RKM bahawa mereka tidak bersendirian,kerana sentiasa mendapat sokongan daripada masyarakat, sama ada dalam bentuk dana, peralatan mahupun bantuan lain yang diperlukan.

PERANAN SUKAN DALAM MEMBENTUK MASA DEPAN

Kesan positif pendekatan tersebut turut dapat dilihat menerusi kisah Zul (bukan nama sebenar), seorang penghuni RKM.

Minatnya terhadap bola sepak bukan sahaja membuka peluang untuk mengikuti latihan khas menerusi program Special Olympics.

Zul, 17 tahun, turut menerima Anugerah Paling Progresif MWH (Pembangunan Sahsiah), atas perkembangan positif yang ditunjukkannya.

"Saya amat berbesar hati dan gembira kerana mendapat anugerah tersebut Ketika berada di MWH dan peluang untuk mengikuti program bola sepak di bawah program Special Olympics,"kongsinya.

Menurut Zul, antara pengajaran paling bermakna yang dipelajarinya sepanjang berada di RKM ialah menghormati orang lain, selain belajar untuk lebih bersabar dan menerima apa sahaja yang terbaik untuk dirinya.

Kini, beliau memasang impian untuk menjadi seorang cef pastri sambil terus bergiat aktif dalam sukan bola sepak.
Sumber : BERITA Mediacorp/se
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita