Skip to main content

Singapura

Kejayaan SEZ Johor-SG harus dipacu sektor swasta untuk kekal berdaya tahan

Anggaran Waktu Membaca:
Kejayaan SEZ Johor-SG harus dipacu sektor swasta untuk kekal berdaya tahan
Diterbitkan : 08 Feb 2025 05:34PM Dikemas Kini : 08 Feb 2025 08:01PM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), harus dipacu oleh sektor privet.

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura menekankan bahawa itulah kunci untuk memastikan SEZ kekal dinamik dan berdaya tahan terhadap permintaan yang berubah-ubah.

Beliau turut berkongsi manfaat projek tersebut kepada ekonomi Singapura pada jangka panjang.

"Singapura, seperti yang anda tahu, sentiasa menghadapi sumber yang terhad, namun sebaliknya di seberang tambak di Malaysia, terutama Johor, terdapat bekalan sumber yang banyak.

"Jadi, sifat saling melengkapi ini akan membantu ekonomi Johor berkembang, dan pada masa yang sama membolehkan ekonomi Singapura mendapat akses, memanfaatkan sumber di pihak sana," kata Encik Gan dalam temu bual bersama CNA.

"Jadi saya fikir ini suatu kelebihan, saling menguntungkan untuk kita berdua.

"Ideanya, satu tambah satu mesti lebih daripada dua. Saya fikir begitulah cara syarikat-syarikat Singapura akan mendapat manfaat.

"Tetapi sudah tentu, titik permulaan kita dalam SEZ ini adalah melihat bagaimana kita boleh kukuhkan keterhubungan antara Johor dan Singapura," tambahnya.

Encik Gan berkongsi kerajaan Malaysia sudah menyediakan insentif cukai serta dana pembangunan prasarana bagi menggalak pelaburan ke dalam SEZ Johor-Singapura.

Sedang di Singapura pula, pelbagai usaha dilakukan bagi menggalak syarikat-syarikat tempatan untuk menjayakan projek tersebut, termasuk mendampingi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

"Saya fikir dengan ini kita mendapat maklum balas dan idea daripada syarikat-syarikat, kerana kerjasama dalam Zon Ekonomi Khas ini perlu dipacu sektor privet, kerana ini adalah mengenai zon ekonomi.

"Jadi saya fikir ekonomi, sektor privet, perlu memacu idea-idea, ciri-ciri Zon Ekonomi Khas ini, dan itulah sebabnya kami mendampingi sektor privet secara meluas," kata Encik Gan.

"SEZ ini juga merupakan konsep yang berubah-ubah. Ia sebuah projek yang terus berkembang dan meluas, dan kami berharap untuk terus manfaatkan maklum balas daripada sektor privet untuk menentukan bagaimana kita harus bergerak maju dalam membangunkan SEZ ini," tambahnya.
 
Sumber : CNA/IQ/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita