Skip to main content

Singapura

'Kejayaan anda kejayaan Singapura juga': PM Lee puji pencapaian Keppel pada ulang tahun ke-50

"Kejayaan anda adalah kejayaan Singapura juga kerana anda menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penjenamaan antarabangsa, serta meningkatkan kehidupan ramai rakyat Singapura."

Anggaran Waktu Membaca:
'Kejayaan anda kejayaan Singapura juga': PM Lee puji pencapaian Keppel pada ulang tahun ke-50

(Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 03 Aug 2018 10:27PM Dikemas Kini : 03 Aug 2018 10:31PM

SINGAPURA: Sejak ditubuhkan 50 tahun lalu, Keppel Corporation sudah mengecapi banyak kejayaan yang memanfaatkan Singapura dalam pelbagai cara. Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Berucap sebagai tetamu terhormat pada majlis ulang tahun ke 50 Keppel pada hari Jumaat (3 Ogos), PM Lee menyifatkan konglomerat tempatan itu sebagai sebuah syarikat yang menukar cabaran kepada peluang dan tidak gentar merintis bidang baru.

"Kejayaan anda adalah kejayaan Singapura juga kerana anda menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penjenamaan antarabangsa, serta meningkatkan kehidupan ramai rakyat Singapura."

Meskipun ia mungkin pernah mengalami detik-detik rumit, menurut PM Lee, penting untuk syarikat itu "cekal dalam memperbetul keadaan" - seperti yang dilakukan Keppel berikutan penglibatan cabang luar pesisir dan marin syarikat itu dalam satu skandal rasuah antarabangsa yang mengejutkan.

DARIPADA LIMBUNGAN BAIKI KAPAL KECIL KEPADA KONGLOMERAT

Keppel, yang dinamakan sempena seorang kapten Tentera Laut British, Henry Keppel, pertama kali ditubuhkan pada tahun 1968 - satu detik penting dalam sejarah Singapura, kata PM Lee.

Pada ketika itu, Britain sudah mengumumkan untuk menarik balik tenteranya dari Singapura lebih awal daripada yang dijangkakan. Terdapat "keperluan mendesak" oleh Pemerintah untuk memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang ditinggalkan oleh pihak British bagi kegunaan ekonomi dan memastikan puluhan ribu pekerja dapat kekal bekerja, jelasnya.

Oleh itu, Keppel Shipyard berpisah dari Penguasa Pelabuhan Singapura pada 3 Ogos 1968, dan dikenali sebagai Singapore Drydocks and Engineering Company sebelum namanya diubah tiga minggu kemudian.

Ia menandakan permulaan salah satu daripada dua tunggak ekonomi maritim Singapura, yang memainkan "peranan penting" dalam pelan perindustrian Pemerintah dan meningkatkan kehidupan ramai rakyat Singapura dengan mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang baik, kata PM Lee.

Ia juga membantu Singapura membangunkan keupayaan kejuruteraannya dalam jangka panjang, katanya.

Selain dari luar pesisir dan marin, teras perniagaan Keppel yang lain termasuk hartanah, infrastruktur dan pelaburan. Ia juga mempunyai kehadiran di lebih 20 buah negara, dengan pasaran luar negara membentuk lebih separuh hasil pendapatannya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita