Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kejatuhan harga COE kereta mengatasi jangkaan pakar, kebanyakan percaya premium tidak akan kekal rendah

Anggaran Waktu Membaca:
Kejatuhan harga COE kereta mengatasi jangkaan pakar, kebanyakan percaya premium tidak akan kekal rendah

Gambar fail kereta-kereta di Singapura. (Gambar: Jeremy Long)

SINGAPURA: Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi dua kategori kereta yang lebih rendah pada Rabu (17 Mei) mengatasi jangkaan sesetengah pakar, tetapi kebanyakan daripada mereka percaya bahawa premium tidak akan kekal rendah untuk satu tempoh yang lama.

Ini disebabkan permintaan yang masih kukuh dalam pasaran, dengan para pakar menarik perhatian jumlah bidaan yang diterima pada setiap tawaran sentiasa melebihi kuota yang diperuntukkan.

Dalam pada itu, premium COE motosikal yang naik lebih seganda dalam bidaan terbaru disebabkan "penyesuaian pasaran" daripada harga luar biasa rendah yang dicatatkan dalam bidaan sebelumnya, kata mereka.

Pakar-pakar tersebut yang terdiri daripada pemain industri dan penganalisis, berkata demikian kepada Mediacorp selepas keputusan bidaan COE terbaru diumumkan.

Premium COE untuk kereta kecil (Kategori A) turun kepada S$92,000 daripada S$101,001, manakala bagi kereta besar (Kategori B) turun kepada S$113,034 daripada S$119,399.

Keputusan bidaan yang diumukan pada Rabu itu adalah yang pertama selepas Menteri Pengangkutan S Iswaran mengumumkan bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mempercepatkan pengagihan semula bekalan COE lima tahun yang akan tamat tempoh.

Langkah itu melibatkan pengagihan semula sekitar 6,000 COE dalam beberapa suku, bermula dari tiga bulan Mei hingga Julai, bertujuan untuk mengurangkan turun naik bekalan di tengah-tengah harga COE yang mencatat rekod tinggi.

Pada Rabu, premium COE untuk motosikal (Kategori D) naik kepada S$10,602, lebih seganda daripada S$5,002 yang dicatatkan pada bidaan sebelum ini, tetapi lebih rendah daripada S$12,179 pada 19 April.

LTA mengumumkan pada 21 April perubahan kepada COE motosikal untuk "meningkatkan peruntukan dengan lebih berkesan". Ia termasuk menaikkan deposit bidaan daripada S$800 kepada S$1,500, dan tempoh sah bagi COE sementara Kategori D dipotong daripada tiga bulan kepada satu bulan.

KEJATUHAN HARGA 'LEBIH BESAR' DARI JANGKAAN

Semua penganalisis yang dihubungi Mediacorp menjangkakan premium Kategori A dan B menjadi sederhana. Namun kadar kejatuhan itu berada di luar jangkaan sesetengah pihak.

Penolong Profesor Terence Fan dari Universiti Pengurusan Singapura berkata beliau telah menjangkakan harga akan menjadi "sederhana" selepas perubahan kuota "tetapi tidak menjangkakan kejatuhan begitu besar".

Kuota yang diperuntukkan dalam bidaan terbaru bagi Kategori A ialah 596 dan untuk Kategori B, 480. Ini berbanding 474 dan 410 yang diperuntukkan dalam bidaan pertama pada 4 Mei dan 507 dan 430 dalam bidaan sebelumnya pada April 19.

Peniaga kereta Raymond Tang berkata kejatuhan terbaru premium COE adalah "tidak begitu hebat".

Ini kerana walaupun kuota bagi Kategori A dan B masing-masing meningkat sekitar 25 peratus dan 15 peratus, premium bagi kedua-dua kategori turun kurang daripada 10 peratus.

Ini menunjukkan permintaan yang sangat kukuh dalam pasaran, kata pengarah urusan Yong Lee Seng Motor itu.

Encik Tang berkata walaupun harga turun kali ini, ia mungkin disebabkan oleh sesetengah pengguna yang memilih untuk melihat kesan perubahan dasar itu dahulu.

"Jadi saya percaya pada pusingan seterusnya, anda mungkin melihat harga premium masih meningkat," kata beliau, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan lebih ramai orang akan membuat taruhan COE selepas melihat harga yang turun kali ini.

Profesor Madya Raymond Ong dari Universiti Nasional Singapura (NUS) bersetuju dengan pemerhatian Encik Tang itu dengan menarik perhatian bidaan yang diterima bagi Kategori A dan B yang secara konsisten melepasi kuota yang diperuntukkan.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan