Skip to main content

Singapura

Kejadian tapak binaan Chong Pang City: Palang besi rosakkan blok HDB terlepas daripada genggaman pekerja

Palang besi yang terjatuh dari tapak binaan Chong Pang City di Yishun dan merosakkan sebahagian bumbung sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berhampiran terlepas daripada genggaman pekerja sebelum terkena blok tersebut, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Isnin (25 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Kejadian tapak binaan Chong Pang City: Palang besi rosakkan blok HDB terlepas daripada genggaman pekerja

Palang besi dari tapak binaan Chong Pang City merosakkan sebahagian bumbung sebuah blok HDB berhampiran di Yishun pada 2 Mei 2026. (Gambar: Facebook/K Shanmugam)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 26 May 2026 08:26AM
SINGAPURA: Palang besi yang terjatuh dari tapak binaan Chong Pang City di Yishun dan merosakkan sebahagian bumbung sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berhampiran terlepas daripada genggaman pekerja sebelum terkena blok tersebut, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Isnin (25 Mei).

Tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian yang berlaku pada 2 Mei itu.

Sejurus selepas kejadian tersebut, SLA mengarahkan kontraktor utama tapak berkenaan, Rich Construction Company, untuk menghentikan semua kerja di sana, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan media.

Pada 4 Mei, Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) mengeluarkan arahan berhenti kerja dan mengarahkan seorang individu berkelayakan (QP) untuk menjalankan siasatan terhadap kejadian itu serta mengesyorkan langkah-langkah pembaikan. Individu berkelayakan tersebut menyerahkan laporan siasatannya kepada BCA pada 8 Mei.

“Siasatan mendapati bahawa kejadian berlaku semasa kerja-kerja penanggalan dijalankan, apabila palang besi terlepas daripada genggaman seorang pekerja,” menurut SLA.

“Palang besi itu kemudian terkena rak penyimpanan bahan berhampiran, menyebabkan ia melantun dari kawasan kerja dan merosakkan sebahagian bumbung Blok 103 (Yishun Ring Road).

“QP itu mengesahkan tiada kecacatan struktur pada bumbung Blok 103 dan flat-flat serta koridor awam kekal selamat untuk para penduduk.”

SLA menambah bahawa BCA sudah meneliti dan menerima langkah pembaikan yang dicadangkan oleh individu berkelayakan tersebut, dan menarik balik arahan berhenti kerja yang dikeluarkan pada 20 Mei.

Kerja-kerja binaan di Chong Pang City dijangka disambung semula pada Selasa, menurut pihak berkuasa.

“Untuk mencegah kejadian serupa daripada berulang, langkah-langkah keselamatan tambahan akan dilaksanakan di tapak berkenaan,” menurut SLA.

“Ia termasuk pemasangan jaring keselamatan setinggi bangunan di sepanjang perimeter bangunan, penghadang papan lapis tambahan di kawasan kerja-kerja penanggalan bagi mengelakkan objek daripada melantun, serta pengalihan semua rak penyimpanan dan bahan-bahan dari kawasan kerja-kerja penanggalan.”

Pihak berkuasa turut menyatakan bahawa kerja-kerja membaiki bumbung blok yang rosak akan bermula pada Selasa dan dijadual selesai menjelang 3 Jun.

“Memandangkan keseluruhan struktur bumbung kekal utuh dan selamat, para penduduk boleh terus menggunakan kawasan awam dan mengakses koridor semasa kerja-kerja dijalankan,” menurut SLA.

“Keselamatan para penduduk, pekerja dan masyarakat sekitar kekal menjadi keutamaan kami. Kami memohon maaf atas kebimbangan dan kesulitan yang dialami para penduduk,” menurut pihak berkuasa.

“SLA akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan dan kontraktor bagi memastikan semua kerja dijalankan dengan selamat serta mengikut prosedur dan piawai yang ditetapkan.”

Dalam satu catatan Facebook pada Isnin (25 Mei), Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata beliau menyertai sebuah panggilan video bersama para penduduk yang terjejas lewat Isnin, bersama para pemimpin akar umbi, SLA dan kontraktor.

“Kami berkongsi hasil siasatan, menjelaskan langkah-langkah keselamatan tambahan yang sedang dilaksanakan, serta mendengar kebimbangan dan pertanyaan para penduduk,” kata Encik Shanmugam, yang juga Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Nee Soon.

“Keselamatan mesti terus menjadi kepentingan utama apabila kerja disambung semula.”

Encik Shanmugam menambah bahawa beliau dan pasukannya akan terus bekerjasama rapat dengan para penduduk, SLA, BCA dan kontraktor “untuk memastikan kerja-kerja pembaikan dijalankan dengan teliti, selamat dan dengan gangguan minimum terhadap masyarakat setempat”.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita