Skip to main content

Singapura

Kehilangan 'Hawaii Singapura': Projek Long Island cetus keprihatinan para penggemar sukan air

Anggaran Waktu Membaca:
Kehilangan 'Hawaii Singapura': Projek Long Island cetus keprihatinan para penggemar sukan air

(Gambar: Facebook/Lawrence Lim)

SINGAPURA: Penggemar sukan air di Singapura bimbang dan sedih aktiviti-aktiviti yang dijalankan di pantai Taman East Coast terjejas dengan rancangan "Long Island".
Pemerintah akan menjalankan kajian teknikal dan perundingan awam untuk projek tersebut, yang akan mewujudkan kawasan air tertutup di hadapan Taman East Coast, mengubah kawasan itu menjadi kolam air tawar.

Meskipun pihak berkuasa menyatakan aktiviti seperti mengayuh kanu dan bot naga boleh dijalankan di kolam air tawar itu, nasib sukan air lain seperti sukan belayar, luncur angin dan luncur layang-layang kurang jelas.

Ini kerana gambar kolam air tawar yang dirancang itu, diterbitkan oleh pihak media semalam (28 Nov), menunjukkan kawasan yang terlalu sempit untuk menjalankan sebarang sukan udara, kata penggemar sukan air kepada Mediacorp.

Aliran angin juga mungkin dihalang di kolam air tawar tertutup itu, terutamanya jika bangunan tinggi dibina di kawasan itu, tambah mereka.
"SATU-SATUNYA TEMPAT YANG TINGGAL"

Taman East Coast pada masa ini merupakan tempat yang mempunyai kemudahan sukan air seperti Pusat Sukan Udara Constant, PAssion Wave @ East Coast, dan Pusat Sukan Air Aloha.

Pantai timur Singapura merupakan satu-satunya tempat di mana kegiatan seperti sukan belayar, luncur angin dan luncur layang-layang boleh dijalankan, kata pengarah Udara Constant Ho Kah Soon.

Ini disebabkan kawasan itu bebas dari laluan trafik laut, dan airnya selamat serta bersih.

Dia membandingkannya dengan pantai di barat laut Singapura, yang mempunyai buaya. Manakala pantai barat daya mempunyai kemudahan pelaburan yang menyekat kawasan laut untuk digunakan bagi sebarang kegiatan rekreasi.

Pakar terapi Chen Changwu, 46 tahun, yang melakukan sukan luncur angin setiap minggu berkata, meskipun sukan guna kuasa angin boleh dijalankan di luar Pantai Changi, ia tidak mempunyai kemudahan untuk menyimpan peralatan.

Terdapat kebimbangan bahawa Long Island mungkin menjejas masyarakat sukan belayar.

Atlit sukan belayar Singapura menunjukkan prestasi hebat dalam
beberapa pertandingan baru-baru ini. Mereka berjaya merangkul tiga pingat emas di Sukan SEA tahun ini, dua pingat perak dan dua pingat gangsa di Sukan Asia.

Presiden Persekutuan Sukan Layar Singapura Dr Lincoln Chee, yang persekutuannya juga terletak di Taman East Coast, berkata projek Long Island boleh memberi "kesan yang ketara" terhadap sukan tersebut.

Dr Chee menekankan keperluan bagi rundingan awal dan mendalam mengenai Long Island bersama pelbagai masyarakat sukan air.

HARAPAN UNTUK LONG ISLAND

Peluncur angin, Encik Ho dan Encik Chen, meluahkan harapan bahawa Long Island akan mempunyai kemudahan di sepanjang pantai yang ditambak itu, supaya para peminat sukan air seperti mereka masih boleh mengakses perairan terbuka.

Encik Chen berkata beliau dan anggota PAssion Wave @ East Coast mengiktiraf dan menyokong keperluan untuk melindungi pantai Singapura daripada paras laut yang meningkat.

Walau bagaimanapun, mereka bimbang pembangunan Long Island boleh menjejas masyarakat yang dibangunkan di sekitar pusat sukan air selama ini.

Sekaligus menyebabkan masa depan sukan tersebut tidak menentu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita