Skip to main content

Singapura

Keharmonian silang agama tanggungjawab bersama, bukan sahaja pemimpin atau institusi: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Membina sebuah masyarakat silang agama merupakan tanggungjawab bersama yang melangkaui peranan kepimpinan.

Demikian ditekankan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, di majlis Hari Raya ‘Bridges of Faith’ anjuran Pusat Harmoni pada Jumaat (17 Apr).

"Keharmonian di Singapura bukan sahaja bergantung kepada para pemimpin atau institusi, tetapi juga kepada pilihan-pilihan kita. Setiap tindakan hormat, dan usaha ikhlas untuk memahami satu sama lain, membantu mengukuhkan ikatan yang kita berkongsi.

"Semua rakyat Singapura mempunyai peranan untuk mengekalkan semangat ini untuk generasi akan datang," kata Dr Faishal.

Dr Faishal turut menyambut baik seruan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, yang menekankan kepentingan perpaduan dan belas ihsan merentas masyarakat.
Related article image
Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir bersama pemimpin-pemimpin agama di majlis Hari Raya ‘Bridges of Faith’. (Gambar: MUIS)
Beliau menambah bahawa nilai seperti kesyukuran dan keikhlasan dalam mengurus perbezaan akan memastikan Singapura terus kukuh, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan.

"Keharmonian tidak berlaku secara kebetulan. Ia memerlukan usaha berterusan, dengan sokongan daripada institusi-institusi yang mewujudkan ruang untuk masyarakat bersatu, " kata Dr Faishal.

Dalam hal ini, Dr Faishal menegaskan peranan penting Pusat Harmoni sebagai penghubung antara pelbagai masyarakat.

Beliau turut menyeru agar masyarakat memainkan peranan lebih aktif serta bekerjasama dalam melindungi dan memelihara keharmonian kaum di negara ini.
Related article image
(Gambar: MUIS)
USTAZ MUHAMMAD NASIR JOHARI DILANTIK SEBAGAI KETUA BAHARU PUSAT HARMONI

Dalam majlis yang sama, turut diumumkan pelantikan Ustaz Muhammad Nasir Johari sebagai ketua baharu Pusat Harmoni.

Beliau telah menyandang jawatan tersebut sejak September 2025.

Mengulas pelantikannya, Ustaz Muhammad berkata beliau banyak menerima nasihat daripada para pemimpin agama lain, termasuk Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir.

"Saya telah dapat banyak mendapat nasihat daripada ketua-ketua agama yang lain. Antaranya juga daripada mufti sendiri yang telah banyak memberikan nasihat tentang peri pentingnya kita menjaga keharmonian kaum, pemahaman silang agama di Singapura ini.

"Apa yang kita perlu jaga, apa yang kita perlu pelihara di Singapura ini adalah keharmonian, perpaduan dan kesatuan. Jadi itu yang memang saya pegang dan Insya Allah sebagai ketua Pusat Harmoni ini, saya akan terus simpan nasihat dari Mufti ini," kata Ustaz Muhammad.
Related article image
Ustaz Muhammad Nasir Johari, Ketua Pusat Harmoni.
Beliau turut berkongsi bahawa Pusat Harmoni akan terus memperkukuh usaha mendekati asatizah dan golongan belia dalam memupuk keharmonian antara kaum di Singapura pada masa hadapan.


Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Pusat Harmoni 3.0, yang dimulakan sejak 2022.

Program itu bertujuan mendekati belia dengan pendekatan lebih bermakna, selain merangkumi usaha pembangunan kapasiti untuk asatizah dan masyarakat.

Usaha itu juga bertujuan meningkatkan keyakinan mereka dalam suasana silang agama, serta memperkukuh keupayaan untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar agama.

MAJLIS 'BRIDGES OF FAITH' HIMPUNKAN 150 PEMIMPIN SILANG AGAMA, AKTIVIS & BELIA

Majlis tahunan itu menghimpunkan sekitar 150 pemimpin silang agama, aktivis dan belia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan serta persefahaman antara masyarakat.

Bertemakan “Nota Berbeza, Satu Harmoni”, acara itu menjadi platform penting bagi dialog dan interaksi antara agama.

Para peserta menyambut baik usaha tersebut, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu, Sarojini Padmanathan.
Related article image
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu, Sarojini Padmanathan.
"Kita mempunyai agama, bahasa dan latar budaya yang berbeza. Namun, perpaduan yang menyatukan kita ini membantu kita memahami siapa diri kita dan apa yang kita perjuangkan sebagai rakyat Singapura.

"Saya rasa itulah perkara yang baik tentang kita, kerana masyarakat yang bersatu, bekerjasama, memahami budaya dan saling menghargai antara satu sama lain akan menjadi lebih kuat. Inilah yang membentuk asas negara kita," kata Cik Sarojini.

Majlis itu turut menandakan permulaan sambutan ulang tahun ke-20 Pusat Harmoni.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita