Keharmonian kaum tidak patut dikompromi dalam menggalak kepelbagaian di tempat kerja: Maliki
Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohd Maliki Osman berkongsi bahawa terdapat pengiktirafan meluas bahawa Pemerintah ingin membenarkan lebih banyak kepelbagaian dan inklusiviti di tempat-tempat kerja.

SINGAPURA: Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohd Maliki Osman berkongsi bahawa terdapat pengiktirafan meluas bahawa Pemerintah ingin membenarkan lebih banyak kepelbagaian dan inklusiviti di tempat-tempat kerja.
Namun, ia tidak seharusnya menjejas keharmonian kaum dan agama.
Beliau berkata demikian dalam satu catatan Facebook pada Rabu (24 Mac) menyusuli dialog dengan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada Selasa (23 Mac).
Semasa dialog tertutup itu, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam menyatakan perkembangan terkini mengenai isu pemakaian tudung dalam kalangan jururawat.
Dr Maliki rundingan sebegitu adalah cara Singapura membincangkan isu-isu sensitif di negara ini.
"Beginilah cara kita membuat kemajuan dalam isu-isu sensitif - ini adalah cara Singapura - secara tenang dan bertimbang rasa, melalui dialog dan rundingan bersama masyarakat. Ini cara bagaimana masyarakat Melayu/Islam menangani isu-isu tersebut," kata Dr Maliki.
Dr Maliki berkata dalam kenyataan Jawatankuasa Perbekalan (COS) beliau pada Mac lalu, beliau telah memberi jaminan kepada masyarakat bahawa pemimpin Melayu/Islam memandang isu itu secara serius dan mempunyai empati untuk para jururawat yang ingin memakai tudung di tempat kerja.
"Asas pendekatan kami adalah keinginan untuk melindungi keharmonian yang terbina dalam masyarakat, dan ini tidak bermakna kedudukan kami termaktub, namun sebaliknya ia menunjukkan terdapat kelonggaran," kata Dr Maliki.
Menurut Dr Maliki lagi, semasa dialog tertutup itu, para peserta secara terus terang membincangkan tentang isu sensitif dan perseimbangan dalam masyarakat.
"Terdapat pengiktirafan meluas bahawa sementara kita mahu membenarkan lebih banyak kepelbagaian dan inklusiviti di tempat kerja, kita tidak harus membiarkannya menjejas keharmonian kaum dan agama," kata Dr Maliki.
Sehubungan itu, Dr Maliki berharap rakyat Singapura akan mengambil bahagian secara aktif apabila mereka diseru dalam semangat keharmonian kaum dan agama.
"Menerusi proses ini kita harus terus menghargai sejauh mana kita telah membuat kemajuan sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, yang hidup dalam harmoni, dan saling membantu untuk berjaya," kata Dr Maliki sebelum mengakhiri catatannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.