Skip to main content

Singapura

Keharmonian di SG mesti diperbaharui secara aktif, jangan diambil mudah: PM Wong

Keharmonian pelbagai budaya di Singapura tidak terjadi secara kebetulan dan perlu diperbaharui secara aktif, bukannya dianggap sebagai sesuatu yang pasti, kata Perdana Menteri Lawrence Wong dalam utusan Tahun Baharu Cina beliau pada Isnin (16 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Feb 2026 07:30AM Dikemas Kini : 28 Feb 2026 06:41PM
SINGAPURA: Keharmonian pelbagai budaya di Singapura tidak terjadi secara kebetulan dan perlu diperbaharui secara aktif, bukannya dianggap sebagai sesuatu yang pasti, kata Perdana Menteri Lawrence Wong dalam utusan Tahun Baharu Cina beliau pada Isnin (16 Feb).

Sambil menekankan bahawa keharmonian ini dibina atas rasa hormat, kepercayaan, dan pemahaman bersama selama beberapa generasi. Beliau menambah bahawa Singapura mesti terus menegakkan dan mewariskan nilai-nilai ini.

"Setiap generasi mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkannya - melalui cara kita hidup, berinteraksi, dan melayani satu sama lain," kata Encik Wong.

"Marilah kita terus memperluaskan ruang perkongsian kita, mengeratkan ikatan bersama, dan meraikan kepelbagaian kita sebagai sumber kekuatan."

Beliau berkata bahawa Tahun Baharu Cina kali ini amat bermakna kerana umat Islam juga akan menyambut permulaan bulan Ramadan.

"Pertemuan dua sambutan ini mengingatkan kita tentang keindahan masyarakat majmuk Singapura - sebuah masyarakat di mana budaya, tradisi, dan kepercayaan yang berbeza hidup bersama dalam rasa hormat yang mendalam," tambahnya.

Encik Wong berkata tahun Kuda Api - yang dikaitkan dengan perubahan dan pergerakan dalam zodiak Cina - hadir pada waktu arus geopolitik sedang beralih dan teknologi sedang merubah corak kehidupan.

Walaupun perubahan ini mungkin dirasakan sebagai "tidak menentu dan membimbangkan", beliau menyatakan bahawa Kuda Api juga melambangkan daya tahan dan kekuatan semangat.

"Mari kita hadapi tahun mendatang dengan kebolehsuaian dan keyakinan, bersedia untuk membayangkan semula apa yang mungkin bagi diri kita dan negara kita. Dengan itu, kita dapat mengubah cabaran menjadi peluang, dan terus maju sebagai satu bangsa," katanya.

Dalam utusan itu, beliau berkata keluarga merupakan asas masyarakat, dan keutamaan utama pemerintah adalah untuk menyokong keluarga, baik yang muda mahupun yang tua.

Matlamatnya adalah untuk memberikan jaminan dan sokongan yang lebih besar kepada keluarga, terutamanya ibu bapa dengan anak kecil, kata beliau sambil memetik langkah-langkah yang diumumkan semasa Belanjawan 2026.

"Dalam Belanjawan tahun ini, kita sudah mengambil langkah lanjut - daripada baucar CDC untuk setiap isi rumah kepada kredit tambahan bagi setiap anak," katanya.

"Selain di rumah, kita sedang menjadikan pendidikan prasekolah lebih mampu milik dan mudah diakses. Kita juga membantu ibu bapa menangani cabaran baharu, termasuk membimbing anak-anak mereka dalam penggunaan teknologi."

Matlamatnya adalah untuk memberikan setiap kanak-kanak permulaan yang baik dalam kehidupan, dan menyokong keluarga di setiap peringkat, tambahnya.

PM Wong juga berkata bahawa Singapura mesti menjadi tempat di mana warga emas dapat menua dengan bermaruah dan mempunyai tujuan hidup.

Beliau menyatakan bahawa kerajaan sudah melaksanakan inisiatif untuk membantu warga emas hidup berdikari, kekal terhubung dengan masyarakat mereka, serta kekal aktif dan terlibat.

Pemerintah juga sedang memperkukuh sokongan persaraan supaya rakyat Singapura dapat menikmati ketenangan fikiran yang lebih besar pada usia tua mereka.

Apabila kebajikan keluarga terjaga, ikatan yang menyatukan masyarakat akan menjadi lebih kuat, kata Encik Wong.

Beliau menambah bahawa beliau berasa gembira melihat lebih ramai rakyat Singapura, terutamanya golongan muda, tampil secara sukarela untuk memperjuangkan pelbagai isu merangkumi kemampanan sehingga kesejahteraan mental.

"Kami akan terus menyokong dan menggalakkan mereka. Bersama-sama, kita dapat membina masyarakat di mana kita saling menjaga satu sama lain, dan bertindak dengan rasa tanggungjawab bersama yang kuat," katanya.

Sebagai penutup, Perdana Menteri berkata: "Saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua, dan semoga tahun ini dipenuhi dengan kesihatan yang baik, keamanan, dan kemakmuran."
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita