Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kehandalan cef-cef profesional dicabar dalam Raja Kulinari

Memasak dalam jangka masa yang singkat atau menggunakan bahan-bahan yang terhad sudah menjadi 'asam garam' sesebuah pertandingan memasak.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Memasak dalam jangka masa yang singkat atau menggunakan bahan-bahan yang terhad sudah menjadi 'asam garam' sesebuah pertandingan memasak.

Biasanya para peserta sesuatu pertandingan memasak perlu bersaing sesama sendiri tetapi untuk rancangan terbaru di Suria, Raja Kulinari, mereka perlu menunjukkan kehandalan mereka menentang sekumpulan cef profesional.

Pertandingan Raja Kulinari menguji kemahiran para tukang masak amatur menentang tiga cef menti sebelum dapat bersaing dengan cef mentor dalam pusingan seterusnya.

Salah seorang daripada cef menti adalah Cef Rafi Suhairi, 28 tahun yang mempunyai lebih 12 tahun pengalaman dalam bidang kulinari.

Beliau pernah menjadi Ketua Cef di restoran Nelayan di Bintan Lagoon Resort selama tiga tahun namun terpaksa pulang ke tanah air disebabkan pandemik COVID-19.

Lulusan Institut SHATEC itu kini menyumbang semula ilmu dan pengetahuannya kepada generasi seterusnya sebagai pelatih kulinari di institut tersebut.

Cef Rafi Suhairi. (Gambar: Syawal Yusoff)

Dalam kemunculan sulungnya dalam program memasak di televisyen, Cef Rafi akan cuba mempamerkan kepakaran beliau, khususnya dalam menyediakan hidangan-hidangan Melayu.

"Saya ingin buktikan dari apa yang telah saya pelajari dari luar negeri, dari cef-cef yang saya pernah bekerja dengan. Jadi dari segi kemahiran, penonton di rumah, mereka boleh nampak dari segi kalau cef ini apa yang dia fikirkan dalam masa yang terhad itu, dia dapat untuk buat apa dengan 30 minit itu," kata Cef Rafi.

SAMPAI TERIKUT-IKUT SIFAT MENTOR

Sebagai menti kepada Cef Khaled Shrafodden dalam rancangan tersebut, beliau tidak menafikan pengaruh mentornya itu sewaktu menjalani rakaman.

"Jadi kalau kita lihat orangnya pun tidak banyak cakap. Dia agak tegas, raut wajahnya pun serius dibbandingkan cef mentor yang lain. Jadi saya pun terikut-ikut macam itu. Jadi saya banding diri saya dengan menti yang lain, saya agak macam tegas dan tiak banyak cakap gitu," tambah Cef Rafi.

"Dia selalu memberi saya nasihat, dia selalu cakap sama saya ‘Tunjukkan apa yang anda boleh buat. Pamerkan bakat dan kemahiran. Jangan takur dan bekerja dengan teratur dan bersih'. Itu selalu dia tekankan sama saya."

Cef Rafi berkata beliau juga terpegun dengan bakat para peserta yang tampil dalam rancangan ini.

"Siapapun yang datang untuk mencabar kita, kita harus hormat orang itu. Sama ada dia berpengalaman atau tidak dari segi memasak, jadi kita hormatilah dia kraf dan ilmu yang dia tahu.

"Jadi kita boleh lihat sendiri bahawa 'homecooks' ini mereka bukan calang-calang. Orang-orang yang masak di rumah kadang-kadang lebih bagus dari cef," ujar Cef Rafi.

TAWAR PEKERJAAN UNTUK PESERTA

Kehandalan sebilangan para peserta tahun ini turut menarik perhatian Cef Iskander Latiff, 41 tahun - antara tiga Cef Mentor, Raja Kulinari.

Malah, beliau juga menawarkan pekerjaan kepada salah seorang peserta yang tersingkir untuk bekerja di restorannya, Coriander Leaf.

Cef Iskander Latiff. (Gambar: Syawal Yusoff)
"Banyak bakat-bakat yang terpendam yang bagus sangat cara-cara masakan dia, sedap sangat. Saya ada tawarkan satu peserta ini sebab dia bagus sangat, tetapi sayangnya dia kalah juga. Tetapi dia dapat kalahkan satu daripada cef menti. Jadi saya tawar dia kerja dengan saya," kata Cef Iskander.

Cef Iskander Latiff sudah 20 tahun menceburi bidang kulinari dan mempunyai pengalaman luas bekerja di luar negara, termasuk Sri Lanka dan Myanmar.

Berbekalkan pengalaman tersebut serta kepakarannya dalam menghasilkan hidangan-hidangan 'fusion' Timur dan Barat, dijadikan bekalan untuk rancangan ini.

Meski pernah muncul dalam program-program memasak sebelum ini seperti pertandingan Juara Memasak, pengalaman kali ini merupakan yang paling mencabar bagi dirinya.

"Biasanya cef-cef memasak di kaca TV untuk berkongsi. Kali ini saya nak masak, berkongsi, kalau boleh untuk menang. Dalam masa yang terhad 30 minit diberikan dan juga dia ada cabaran special. Periuk saya diambil. Kadang-kadang ditambah perkakas baru ataupun diambil bahan-bahan yang sudah rancangkan, jadi hidangan itu perlu ditukar," kata cef mentor kepada Cef Abdul Rashid Mahmood dalam Raja Kulinari.

"Saya nak tunjukkan pelbagai jenis juadah, resepi saya. Dulu pelajari semasa saya pergi ke negeri-negeri yang unik. Jadi sekarang ini di kaca tv saya nak tunjukkan, boleh kongsi sikit resepi-resepi dan menu-menu yang saya ada sekarang," tambahnya.

Raja Kulinari disiarkan setiap Selasa bermula 23 Ogos, 8.30 malam di Suria dan meWATCH.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan