Skip to main content

Singapura

Kehalusan budi pekerti, kepedulian dan kesantunan Puan Noor Aishah akan sentiasa dikenang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Apr 2025 11:11AM Dikemas Kini : 22 Apr 2025 10:57PM
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam, Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menzahirkan rasa duka atas pemergian Puan Noor Aishah Salim, balu Presiden pertama Singapura Yusof Ishak pada awal pagi Selasa (22 Apr).

Menerusi catatan Facebook beliau, Presiden Tharman berkata Puan Noor Aishah turut memainkan peranan penting dalam sejarah Singapura melalui caranya yang tersendiri dan "kehalusan budi, keikhlasan, kepedulian beliau kepada insan lain akan terus dikenang".

Membesar di sebuah kampung di Pulau Pinang di mana ibu bapa angkatnya menetap, Puan Noor Aishah di bangku sekolah rendah tidak lebih dua tahun disebabkan perang.

Usianya pula baru 26 tahun apabila Encik Yusof Ishak diangkat menjadi Yang di-Pertuan Negara pada 1959.

Sekalipun demikian, beliau memiliki tekad yang kuat dan bangkit menyahut cabaran yang mendatang.
(Gambar: Facebook/Presiden Tharman Shanmugaratnam)
LAMBANG WARISAN, TRADISI SINGAPURA: PRESIDEN THARMAN

Puan Noor Aishah belajar Bahasa Inggeris, menganjurkan acara jamuan bagi para pemimpin negara yang datang berkunjung dan menyuntik sentuhan keindahan tempatan yang unik pada bentuk kolonial Istana yang sebelumnya agak konservatif.

"Puan Noor Aishah menjadi lambang warisan dan tradisi tempatan - memakai kebaya di acara-acara negara, menggunakan fabrik yang dibeli di Arab Street dan malah menjahit sendiri kebayanya.

"Belia mengajar cef-cef Istana - yang pada waktu itu masih menyediakan makanan klasik Inggeris seperti daging panggang dan puding - resepi beliau bagi makanan kegemaran tempatan seperti rendang daging, epok-epok dan beraneka kuih, yang sehingga ke hari ini masih menjadi sebahagian hidangan Istana," tulis Presiden Tharman.
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isteri Jane Ittogi bersama Puan Noor Aishah. (Gambar: Facebook/Presiden Tharman Shanmugaratnam)
Apabila kesihatan Encik Yusof mula memburuk, Puan Noor Aishah tampil memikul sebahagian tanggungjawab sosial suaminya.

"Beliau lebih daripada sekadar tunggak sokongan. Beliau juga pejuang kebaikan yang tulus, membela pelbagai isu sosial dan menjadi penaung setia bagi pelbagai pertubuhan yang membantu golongan kurang bernasib baik.

"Tidak seperti Encik Yusof Ishak yang meninggal dunia pada 1970, usia Puan Noor Aishah panjang dan beliau dapat menyaksikan perubahan Singapura. Beliau boleh berbangga dengan peranannya dalam tahun-tahun penubuhan negara dan kemerdekaannya, yang akan terus mekar dalam ingatan kita," kata Presiden Tharman lagi.
KOMITED KEPADA SG ADIL, SAKSAMA: SM LEE

Menteri Kanan Lee Hsien Loong pula berkata Puan Noor Aishah komited kepada Singapura yang adil dan saksama, tidak mengira bangsa, bahasa mahupun agama.

Meskipun harus melalui kehidupan sebagai isteri kepada Yang di-Pertuan Negara Yusof Ishak pada usia yang muda, SM Lee berkata Puan Noor Aishah menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu itu dengan kehalusan budi dan kesantunannya.

Ini termasuk mempelajari Bahasa Inggeris supaya dapat berkomunikasi dengan para pembesar negara.
SM Lee bersama Puan Noor Aishah di majlis pelancaran buku “Puan Noor Aishah: Singapore’s First Lady”, pada 2017. (Gambar: MDDI/Chwee)
Beliau membantu memastikan rakyat Singapura kekal bersatu ketika negara berdepan masa-masa sukar, dan beliau bangkit memikul sebahagian besar tugas awam Encik Yusof selepas suaminya jatuh sakit.

"Saban tahun, saya terus berhubung dengan Puan Noor Aishah, dan berbesar hati diberi peluang melancarkan buku tentang kehidupan beliau pada 2017.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga (Puan Noor Aishah) dan mendoakan agar mereka tabah menghadapi masa duka ini. Beliau akan sangat dirindui," kata SM Lee.
ABADIKAN JIWA RAGA PERJUANG, PERKASA WANITA: MASAGOS

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, pula menyifatkan Puan Noor Aishah sebagai seorang insan yang telah memberi kesan yang mendalam kepada ramai melalui sifatnya yang rendah hati, peramah dan berbudi bahasa.

"Sumbangan Puan Noor Aishah telah memupuk semangat kewarganegaraan dalam rakyat Singapura yang baru sahaja mencapai kemerdekaan pada masa itu," katanya.
Puan Noor Aishah merasmikan pembukaan Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri di Clemenceau Avenue (Gambar: Arkib Negara Singapura)
Encik Masagos menambah, warisan Puan Noor Aishah jauh menjangkaui peranannya sebagai isteri kepada Presiden Singapura yang pertama.

"Beliau mendedikasikan seluruh hidupnya untuk memperjuangkan pemerkasaan wanita dan juga pendidikan. Setelah pemergian Almarhum Yusof Ishak, beliau meneruskan pelibatannya dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan badan-badan sukarela," tulis Encik Masagos, merujuk kepada peranan Puan Noor Aishah sebagai penaung Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persatuan Palang Merah Singapura dan Persatuan Pandu Puteri Singapura, antara lain.
Puan Noor Aishah memotong reben semasa pelancaran festival Persatuan Muslim Wanita Muda atua kini dikenali sebagai PPIS di Balai Rakyat Beach Road. (Gambar: Arkib Negara Singapura)
Encik Masagos menambah bahawa Puan Noor Aishah membantu PPIS dan Persatuan Pandu Puteri mendapatkan sebidang tanah untuk mendirikan ibu pejabat mereka dengan menulis surat sokongan kepada Pemerintah.

Atas sumbangannya yang besar dan tidak ternilai, Puan Noor Aishah dianugerahi Pingat Bakti Cemerlang pada tahun 1964.
"Saya yakin sumbangan dan keperibadian Almarhumah akan diingati oleh semua rakyat dan meninggalkan kesan mendalam terhadap sejarah Singapura. Semoga Allah SWT menerima segala ibadahnya dan menempatkan Almarhumah bersama mereka yang diredaiNya, Insya Allah. Salam takziah buat keluarga Almarhumah Puan Noor Aishah," kata Encik Masagos.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita