Kehadiran pemimpin Brunei, Indonesia & Malaysia di NDP2025 peluang untuk SG terus perkukuh hubungan, kata Presiden Tharman
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah disambut oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, 9 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/Tharman Shanmugaratnam)
Kali terakhir Singapura mengundang para pemimpin dari negara-negara jiran ke Perbarisan Hari Kebangsaan adalah pada 2019 semasa negara ini menyambut ulang tahun ke-200 penubuhan Singapura moden.
Presiden Tharman Shanmugaratnam berkongsi pertemuan muhibah antara beliau dengan para pemimpin itu menerusi catatan di Facebooknya pada Sabtu (9 Ogos).
"Kami sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan istimewa kita dari Brunei, Indonesia, dan Malaysia ke Perbarisan Hari Kebangsaan sempena ulang tahun ke-60 Singapura.
"Sultan Brunei, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Bapak Prabowo Subianto; Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor; dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, akan bersama-sama dengan kita di Padang," kata Presiden Tharman.
"Kami berbual mesra mengenai pelbagai perkara semasa jamuan tengah hari, sambil menikmati hidangan menarik sentuhan Cef Hafizzul Hashim dari Restaurant Fiz. Sesuai dengan sambutan hari ini, ramuan dan rasa semula jadi hidangan itu berakar umbi daripada warisan bersama negara-negara kita.
"Hubungan kita dengan sahabat-sahabat istimewa ini sangat mendalam. Mereka ibarat satu hikmah dalam dunia yang sedang bergolak sekarang. Dan kita mesti terus memupuk dan mengukuhkan hubungan ini, dengan setiap generasi baharu," kata Presiden Tharman
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.