Kegiatan warga emas tidak lebih 5 peserta boleh disambung semula: MOH
Memandangkan jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat kekal rendah dan stabil, pihak berkuasa akan membenarkan lebih banyak kegiatan melibatkan warga emas mulai Rabu (9 Sep) dengan peraturan jarak selamat dilaksanakan.

Seorang warga emas berehat di kolong blok di tengah pandemik COVID-19 (Gambar fail: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Memandangkan jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat kekal rendah dan stabil, pihak berkuasa akan membenarkan lebih banyak kegiatan melibatkan warga emas mulai Rabu (9 Sep) dengan peraturan jarak selamat dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa kegiatan berkumpulan sehingga lima warga emas boleh disambung semula sebagai sebahagian daripada program oleh Persatuan Rakyat, Lembaga Penggalakan Kesihatan, Sport Singapore dan Majlis untuk Usia Emas, yang menggalak penuaan aktif .
Kegiatan seperti itu juga akan dibenarkan di kemudahan jagaan warga senja, termasuk rumah rawatan, pusat jagaan warga emas, pusat penuaan aktif dan pusat kegiatan warga emas.
Kegiatan berkumpulan yang dimaksudkan termasuk senaman di luar, pelajaran di bilik darjah dan permainan "board games".
Dalam sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian pada Rabu,Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, berkata Singapura perlu terus melindungi golongan paling lemah dalam masyarakat, dan sesi berkumpulan adalah "sebahagian penting" daripada kegiatan bagi warga senja yang menyumbang kepada keperluan dan kesejahteraan psikososial mereka.
Encik Gan, yang juga merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak COVID-19, berkata bahawa aktiviti yang akan disambung semula tidak termasuk kelas nyanyian kerana menyanyi adalah aktiviti berisiko tinggi. Jurulatih, guru dan ketua kegiatan sedemikian juga harus didaftarkan dengan Sport Singapore.
"Kami juga ingin tahu (siapa) pesertanya, sekiranya kami perlu melakukan pengesanan kontak," kata Encik Gan.
Pengarah perkhidmatan perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak, menarik perhatian manfaat yang boleh diraih warga emas menerusi kelas senaman dan pemulihan, dan interaksi dengan warga senja lain.
USAHA PENDAMPINGAN PROAKTIF
Mulai Rabu, usaha mendampingi warga senja secara proaktif juga akan dibenarkan disambung semula.
Duta Generasi Emas, pusat kegiatan warga senja dan Pasukan Sumber, Mendampingi dan Sokongan Masyarakat - sebuah inisiatif berasaskan masyarakat - akan dibenarkan untuk meneruskan kegiatan dengan jarak selamat dijaga.
Aktiviti pendampingan bagi meningkatkan kesedaran tentang penyakit kencing manis juga akan disambung semula.
"Walaupun khidmat penjagaan kesihatan dan sosial disediakan, sebilangan warga emas mungkin tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan dan mungkin menangguhkan akses menerima perkhidmatan penjagaan masyarakat," jelas MOH, sambil menambah bahawa penangguhan yang berpanjangan akan menjejas kesihatan mereka.
WARGA EMAS DIGESA HADIRI TEMU JANJI PERUBATAN
MOH menyatakan sebilangan warga tua mungkin teragak-agak untuk menghadiri temu janji perubatan kerana takut terdedah kepada virus korona di institusi jagaan kesihatan atau kemudahan penjagaan.
Ia menggesa warga emas supaya menghadiri janji temu mereka, untuk mengelakkan kemungkinan keadaan kesihatan mereka bertambah teruk dan terus beri perhatian pada keperluan kesihatan mereka yang lain.
"Penyedia penjagaan kesihatan sudah melaksanakan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya agar pesakit dapat mengakses perkhidmatan dan menerima rawatan dengan selamat," menurut MOH.
Pesakit lebih berusia yang memerlukan pertolongan boleh menghubungi institusi kesihatan awam masing-masing atau menghubungi Agensi Penjagaan Bersepadu.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.