Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kegiatan senaman dan sukan dalam kalangan penduduk SG capai paras tertinggi: SportSG

Anggaran Waktu Membaca:



SINGAPURA: Kegiatan senaman dan sukan dalam kalangan penduduk warga Singapura mencatat paras tertinggi pada 2022.

Demikian menurut dapatan satu tinjauan tahunan oleh Sport Singapore (SportSG) yang dikeluarkan pada Selasa (27 Jun).

Tujuh puluh empat peratus daripada responden yang ditinjau tahun lalu menyatakan bahawa mereka bersenam atau mengambil bahagian dalam kegiatan sukan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Lebih separuh daripada mereka pula mengambil bahagian dalam kegiatan tersebut dua kali seminggu atau lebih.

Perangkaan keseluruhan sebanyak 74 peratus adalah kenaikan yang dicatat berbanding 72 peratus pada 2021 dan 69 peratus pada 2020. Ia juga lebih tinggi berbanding 54 peratus yang dicatat pada 2015, iaitu tahun pertama Tinjauan Penyertaan Sukan Kebangsaan dijalankan.

Lima kegiatan utama yang dicatat dalam kalangan peserta tahun lalu termasuk berjalan (40 peratus), berlari-lari anak (29 peratus), kalistenik (15 peratus), berbasikal (11 peratus) dan berenang (9 peratus).

Ini merupakan satu-satunya tinjauan kebangsaan Singapura berkait senaman dan penyertaan dalam sukan. Ia dijalankan secara berterusan sepanjang tahun, yang melibatkan sekurang-kurangnya 4,500 penduduk - kedua-dua warga Singapura dan penduduk tetap - yang berusia 13 tahun dan ke atas.

Dapatan daripada tinjauan tersebut digunakan untuk membantu pihak berkuasa membentuk program dan inisiatif kesukanan untuk para penduduk.

Bercakap kepada wartawan dalam satu acara media pada Selasa (27 Jun), CEO SportSG Alan Goh menarik perhatian bahawa pandemik COVID-19 memberi kesan yang positif kepada tahap penyertaan.

Dengan lebih ramai orang kembali ke pejabat setelah pandemik melanda, cabarannya adalah bagaimana untuk mengekalkan tahap penyertaan sedemikian, ujar Encik Goh.


Ketua kumpulan strategi SportSG Lee Huei Chern menjelaskan bahawa tinjauan tersebut menunjukkan bahawa setelah beberapa tahun, terdapat peratusan tertentu penduduk yang tidak akan menyertai sukan dan senaman atas pelbagai alasan.


Pada masa akan datang, agensi tersebut menyasarkan untuk menambah kekerapan serta mutu senaman dan sukan dalam kalangan peserta.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan