Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kegiatan seludup haiwan peliharaan dari Johor Bahru ke SG masih berleluasa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penjual haiwan peliharaan di Johor Bahru dilaporkan sanggup mengetepikan ketetapan undang-undang demi memenuhi permintaan pencinta anjing atau kucing di seberang tambak.

Laporan Mediacorp mendedahkan, terdapat perkhidmatan menjual haiwan di Johor Bahru yang memungkinkan haiwan-haiwan itu dimiliki, dengan kos yang lebih rendah berbanding pembelian di Singapura.

Menerusi laporan khasnya, wartawan Mediacorp telah ke premis yang menjual puluhan anak anjing jenis baka poodle, pomeranian, corgi, chow chow dan bulldog Perancis dan shiba inu. Harga yang ditawarkan adalah antara RM2,000 bagi seekor baka pug sehingga RM6,000 untuk baka chow chow.

Difahamkan, anjing bukan satu-satunya haiwan peliharaan yang ditawarkan pada harga yang murah di seberang tambak, malah kucing dan beberapa hidupan liar lain juga boleh dibeli.

Perbuatan membawa masuk haiwan peliharaan ke Singapura, termasuk spesies eksotik lain seperti ular, landak dan sugar glider (tupai terbang) merupakan satu jenayah sekiranya tidak disertai dengan permit yang sah.

Lazimnya, anjing atau kucing yang dibawa masuk ke Singapura perlu melalui proses import yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Singapura, termasuk kuarantin, bergantung kepada negara asal mereka. Jika dari Malaysia, prosesnya mengambil masa sekurang-kurangnya 30 hari.

Walau bagaimanapun, beberapa peniaga yang menjual haiwan peliharaan di Johor Bahru dilaporkan sanggup 'bekerjasama' dengan pelanggan untuk ‘memintas’ proses itu.

Wartawan Mediacorp yang berkunjung ke lima kedai haiwan peliharaan di Johor Bahru, menyamar sebagai bakal pelanggan dari Singapura. Kesemua penjual bersetuju mengatur haiwan peliharaan dihantar secara haram ke Singapura jika pembeli tidak sanggup menunggu atau membayar proses imigresen yang sewajarnya.

Terdapat juga peniaga yang menjelaskan, wujud pihak luar untuk membantu aktiviti penghantaran haram itu daripada proses mengambil sehingga ke menyelinap merentasi sempadan dengan kenderaan dan menghantarnya ke rumah pelanggan di Singapura.

Selepas pembayaran pertama dibuat, kedai haiwan peliharaan itu akan menguruskan proses penghantaran jika pelanggan memilih untuk tidak mengikut saluran rasmi yang ditetapkan.

Turut diifahamkan, kos bayaran pendahuluan adalah tinggi. Anak anjing dan anak kucing seawal usia empat minggu biasanya berharga beberapa ratus dolar Singapura di Malaysia.

Kedai haiwan yang terlibat dalam tinjauan tersebut melaporkan kos bermula antara S$1,200 (RM3,860) hingga S$2,300 (RM7,399) bagi setiap penghantaran haram, malah harga dicaj dalam bentuk bayaran dolar Singapura.

Beberapa pengusaha kedai memaklumkan harga itu sesuai dengan risiko tinggi yang dihadapi kerana menyeludup.

Sementara itu, pihak berkuasa Singapura menegaskan bahawa aktiviti import ke negara ini memerlukan kelulusan daripada Lembaga Taman Negara (NParks).

Tambah pihak NParks, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataannya menyatakan bahawa haiwan yang dibawa masuk ke negara ini wajib mendapatkan vaksinasi, mesti disahkan sihat, tidak mempunyai gejala penyakit berjangkit dan cergas untuk perjalanan.
Sumber : CNA/ZM/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan