Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kegiatan menarik guna bahan kitar semula pikat pelajar gunakan bahasa Melayu, cinta alam sekitar

Peranan ibu bapa penting dalam memupuk minat anak-anak mereka terhadap bahasa Ibunda lebih-lebih lagi di peringkat awal atau pada usia prasekolah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Peranan ibu bapa penting dalam memupuk minat anak-anak mereka terhadap bahasa Ibunda lebih-lebih lagi di peringkat awal atau pada usia prasekolah.

Ini menurut seorang bekas guru dengan pengalaman 10 tahun, Cik Nurain Syakirah yang juga merupakan pengasas platform pendidikan dan pembelajaran bagi ibu bapa dan murid, The Bambini SG.

Cik Nurain juga antara yang dijemput bagi sesi perkongsian di Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) tahun ini.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Dalam sesi yang diadakan secara maya itu, Cik Nurain akan berkongsi penggunaan kaedah yang lebih interaktif di luar bilik darjah seperti bercerita untuk menarik minat kanak-kanak.

"Saya berharap dalam perkongsian saya dalam MTLS tahun ini, kita dapat mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu atau percakapan bahasa Melayu dalam kanak-kanak sekiranya kita ada suasana yang kondusif atau alat-alat pembelajaran yang mudah dicapai," kongsi Cik Nurain yang berusia 33 tahun.

Tahun ini merupakan kali kedua pengasas The Bambini SG itu diundang bagi berkongsi ilmu dalam MTLS.

BERKREATIF DENGAN BAHAN KITAR SEMULA

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Topik pilihannya kali ini ialah "Berkreatif dengan Bahan Kitar Semula".

Selain mengajak anak-anak menggunakan bahasa Melayu menerusi kegiatan bermain dan menggunakan bahan-bahan yang dikitar semula, Cik Nurain juga berharap ia dapat membuahkan rasa cinta mereka terhadap alam sekitar dan kemampanan.

"Bahan-bahan kitar semula ini yang digunakan dalam alat-alat pembelajaran bebas kos dan ia dapat mendorong kanak-kanak dan ibu bapa menghargai kemampanannya," ujar Cik Nurain, ibu kepada 3 orang anak.

Beliau juga ingin para guru dan ibu bapa di luar sana sedar bahawa mereka tidak perlu membeli bahan-bahan pembelajaran yang mahal-mahal untuk mengadakan kegiatan bersama para pelajar.

"Saya percaya bahan-bahan kitar semula ialah bahan-bahan yang mudah dan senang dicapai," kata Cik Nurain.

"Jadi aktiviti-aktiviti yang berbeza dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula ini dapat memupuk minat kanak-kanak dalam bahasa Melayu dan meyakinkan mereka untuk berkomunikasi dan mempraktikkan percakapan bahasa Melayu," tambahnya lagi.

Untuk MTLS kali ini, terdapat 31 sesi perkongsian dalam empat bahasa yang diadakan secara maya.

Untuk menyertainya, orang ramai tidak perlu mendaftar terlebih dahulu.

Selain sesi perkongsian, terdapat juga lebih 40 pameran online serta penjualan bahan-bahan pembelajaran bahasa Ibunda.

MTLS juga akan meraikan ulang tahunnya yang kesepuluh tahun ini dan majlis pelancarannya akan diadakan pada Sabtu (28 Ogos).

Bagi keterangan lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan