Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kegiatan lanun, rompakan laut di Selat Singapura meningkat kepada dua kali ganda

Kegiatan melanun dan kejadian rompakan bersenjata atas kapal di Selat Singapura meningkat kepada dua kali ganda pada separuh pertama 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini menurut sebuah pusat perkongsian maklumat maritim pada Khamis (16 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Kegiatan lanun, rompakan laut di Selat Singapura meningkat kepada dua kali ganda

Gambar fail perairan Singapura (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 16 Jul 2020 07:47PM Dikemas Kini : 16 Jul 2020 07:49PM

SINGAPURA: Kegiatan melanun dan kejadian rompakan bersenjata atas kapal di Selat Singapura meningkat kepada dua kali ganda pada separuh pertama 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini menurut sebuah pusat perkongsian maklumat maritim pada Khamis (16 Jul).

Kejadian seumpama itu di rantau ini secara keseluruhannya juga naik kepada dua kali ganda, menurut Pusat Perkongsian Maklumat, Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Kegiatan Lanun dan Rompakan Bersenjata ke atas Kapal di Asia (ReCAAP).

Pada separuh pertama tahun ini, 16 kejadian melanun dan rompakan bersenjata dilaporkan di terusan itu dan 51 kesemuanya di Asia.

Berdasarkan laporan setengah tahunannya, pusat itu menyatakan apa yang "membimbangkan" adalah "peningkatan berterusan kejadian" di Selat Singapura.

Kejadian lain berlaku di Bangladesh, India, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Laut China Selatan.

Kejadian tahun ini berlaku di sepanjang Selat Singapura di laluan-laluan menghala ke timur dan barat di bawah skim pengasingan lalu lintas, yang memastikan kapal-kapal yang belayar di haluan sama kekal di laluan khusus.

Daripada 16 kejadian itu, 13 berlaku di laluan menghala ke timur, kebanyakannya di perairan Indonesia.

Pengarah Eksekutif pusat ReCAAP Masafumi Kuroki menggesa Singapura, Malaysia dan Indonesia supaya mempertingkat perkongsian serta penyelarasan maklumat selain memastikan anak-anak kapal "mengamalkan tahap waspada tertinggi".

PENANGKAPAN PELAKU PENTING BAGI PENCEGAHAN

Menurut ReCAAP, kebanyakan kapal mangsa di Selat Singapura adalah kapal pengangkut pukal, kapal tangki atau bot tunda.

"Jumlah penceroboh (dalam satu kejadian) kebanyakannya dua hingga enam orang dan senjata yang dibawa oleh mereka dalam tiga kejadian adalah pisau tetapi dalam kebanyakan kes, senjata tidak dinyatakan oleh laporan tersebut," kata Encik Kuroki.

Salah satu daripada 16 kejadian tahun ini melibatkan anak kapal yang cedera dan barangan utama yang dirompak adalah alat ganti enjin serta besi buruk di tongkang.

Penangkapan dilakukan di Selat Singapura pada 16 Mac tahun ini setelah anak kapal terlihat para penceroboh di bengkel bilik enjin dan menahan mereka.

"Angkatan Laut Indonesia menangkap tiga penceroboh untuk siasatan dan pendakwaan," kata Encik Kuroki.

Penangkapan pelaku "sangat penting" untuk pencegahan dan pengurangan insiden, kata Encik Kuroki. Beliau menambah, kemerosotan mendadak dalam jumlah kejadian, daripada 99 kepada dua antara 2015 dengan 2016, disebabkan oleh penangkapan yang dilakukan oleh Tentera Laut Indonesia.

Berikutan itu, hanya terdapat 17 insiden dari 2016 hingga 2018.

"TIADA BUKTI" COVID-19 PUNCA KES MENINGKAT

Bercakap kepada pihak media dalam satu taklimat maya, Encik Kuroki berkata walaupun pandemik COVID-19 secara meluas dilaporkan menyebabkan "kesulitan ekonomi yang ketara" dan menyebabkan peningkatan kejadian rompakan, ReCAAP tidak dapat memastikan "kaitan punca" ini.

Bagi Selat Singapura, bagaimanapaun, Encik Kuroki memastikan kenaikan itu "tiada kaitan" dengan COVID-19 kerana sudah terdapat peningkatan jumlah kes sebelum pandemik itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang penyusunan semula Pasukan Bertindak Keselamatan Maritim (MSTF) Tentera Laut Republik Singapura (RSN), Encik Kuroki berkata walaupun beliau menghargai usaha ini, pertukaran maklumat dan penyelerasan lebih tinggi antara Singapura, Malaysia dengan Indonesia adalah lebih penting.

Penyusunan tersebut pertama kali diumumkan oleh Menteri Pertahanan Ng Eng Hen semasa ucapan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Pertahanan pada Mac lalu.

MSTF - yang bekerjasama dengan pasukan bertindak SAF, agensi kebangsaan dan rakan-rakan kongsi antarabangsa lain - akan disusun semula untuk memberikan tindak balas lebih baik kepada ancaman keselamatan maritim di Selat Singapura, kata Dr Ng.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan