Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kegiatan Bulan Bahasa Melayu kembali diadakan secara fizikal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menggalak para penduduk untuk meraikan dan memberi penghargaan terhadap budaya dan bahasa Melayu menerusi pelbagai aktiviti seronok.

Demikian antara program Bulan Bahasa 2022 di Hab HDB Toa Payoh pada hari ini (1 Okt).

Acara hari ini (1 Okt) yang bertemakan "Bagai Sirih Pulang Ke Gagang", yang dianjurkan bersama M³@Toa Payoh, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Bishan-Toa Payoh dan Marymount adalah yang pertama diadakan secara fizikal.



Para penduduk berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang dekat dengan masyarakat Melayu seperti bagaimana untuk menganyam ketupat dan menggubah bunga ros dari reben untuk dijadikan buah tangan.



Selain itu, para pengunjung juga diperkenalkan kepada busana tradisional Melayu, termasuk pakaian pengantin.

Malah mereka berpeluang mencuba dan bergambar dengannya.

DAPAT CUBA MENULIS DALAM JAWI DAN KARANG PANTUN SENDIRI

Bagi aktiviti bahasa pula, mereka berpeluang mencuba penulisan Jawi serta mengarang pantun mereka sendiri.

"Ada juga banyak lagi aktiviti selain itu. Aktiviti budaya seperti persembahan daripada pelbagai generasi - daripada yang masih bersekolah dan belia-belia di pengajian tinggi kepada warga emas juga," kongsi Pengerusi acara dari MAEC Toa Payoh West CC, Cik Rashida Othman.

Semua aktiviti disediakan secara percuma.



"Mereka yang datang ke sini diberi pasport dan mereka boleh ke gerai-gerai ini dan melakukan aktiviti-aktiviti yang kita sediakan," kata Cik Rashida.

Menurutnya lagi, perancangan dan persiapan untuk acara Bulan Bahasa ini mengambil masa kira-kira tiga bulan, melibatkan penyertaan pelbagai badan seni dan sukarelawan.

Ia termasuk kelab Pantunism, yang menggalak para penduduk Bishan-Toa Payoh supaya menyumbang pantun mereka.

"Kita juga mengajar mereka bagaimana untuk menulis pantun yang asas dan daripada sini, kita dapat melihat sama ada mereka ada bakat untuk menulis puisi, dan juga berkongsi tidak kira bahasa. Tetapi yang pentingnya, mereka mengenali pantun," kongsi pengasas Pantunism, Shahril Samri.

Aktiviti sebegini menurutnya dapat membantu dalam usaha melestarikan bahasa Melayu.



Masyarakat dari pelbagai kaum diundang untuk melihat keindahan bahasa, sambil meningkatkan sifat ingin tahu dalam diri mereka untuk belajar tentang bahasa Melayu dengan lebih mendalam.

"Kami sediakan ruang untuk semua orang berkarya, tidak kira siapa sahaja. Di sini, saya mahu melihat mereka cuba berpantun," ujar Shahril.

"Bakat itu mungkin terpendam di dalam jiwa mereka tetapi kerana tidak mengamalkan selalu, mungkin terlepas daripada fikiran. Tetapi sebenarnya, saya percaya dan yakin semua orang mampu berpantun," tambah beliau.

BUKU DIGITAL PANTUN 4-KERAT YANG DISUMBANG PENDUDUK SINGAPURA DILANCARKAN



Dalam pada itu, sebuah buku digital khas yang diterbitkan bersama oleh Pantunism, turut dilancarkan oleh penasihat akar umbi GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.

Ia mengandungi pantun 4-kerat yang disumbang oleh para penduduk merata Singapura.

Petikan skrin

"Mengumpul pantun-pantun atau stanza daripada penduduk-penduduk di Bishan-Toa Payoh dan Marymount memberi wadah kepada mereka untuk meluahkan perasaan dan juga kemahiran mereka," kongsi Encik Saktiandi.

"Oleh kerana ia dalam bentuk digital, ia diharap dapat digunakan oleh penduduk-penduduk dan juga anak-anak muda untuk memahami tentang keindahan bahasa Melayu tentang keunikan, kelembutan pantun-pantun itu untuk mendalami isu-isu dan situasi masyarakat Singapura," tambah beliau.

Encik Saktiandi juga berharap masyarakat secara umumnya dapat memahami keindahan Bahasa Melayu.

Selain itu beliau juga melahirkan penghargaan kepada mereka yang menjayakan acara hari ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan