Kegiatan Bulan Bahasa 2022 lebih tertumpu kepada golongan muda dan yang berkeluarga
Kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa tahun ini akan lebih tertumpu kepada golongan muda dan juga kepada mereka yang berkeluarga.
SINGAPURA: Kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa tahun ini akan lebih tertumpu kepada golongan muda dan juga kepada mereka yang berkeluarga.
Ini antara kelainan yang boleh dijangkakan masyarakat bagi kempen tahun ini.
Menjelaskan hal itu, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Rahayu Mahzam berkata, "Kita mahu orang kata jalankan usaha 'upstream' sedikit yang lebih awal lagi, untuk menggalakkan anak-anak muda, keluarga untuk mencintai Bahasa Melayu kita dan melestarikan penggunaannya. Itulah yang kami harap dapat lakukan pada tahun ini".
Beliau ditemui para wartawan di luar rakaman acara Pelancaran Bulan Bahasa 2022.
Program itu ditayangkan di saluran SURIA pada Sabtu (3 Sep) dan boleh disaksikan secara online di meWATCH.
Acara tahun ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman.
Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada ibu bapa dan masyarakat untuk memainkan peranan dalam menyediakan dan meluaskan persekitaran yang menggunakan bahasa Melayu.
Ini bagi saling melengkapi usaha-usaha memupuk penghargaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di sekolah.
Dr Maliki juga menekankan bahawa keluarga memainkan peranan penting dalam penggalakan bahasa, budaya dan nilai masyarakat.
"Dalam kita memupuk penghargaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi akan datang, pembelajaran bahasa tidak dapat dilakukan di sekolah sahaja. Bahasa harus digunakan dalam kehidupan harian, disokong oleh ibu bapa dan masyarakat," kata Dr Maliki yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
Lantaran itu, beliau gembira dengan pelantikan dua duta bahasa tahun ini - Hans Hamid dan Fir Rahman kerana masing-masing berusaha memupuk minat bahasa Melayu dalam diri anak-anak mereka meskipun mempunyai jadual yang sibuk sebagai personaliti televisyen.
Menyampaikan rasa bangga kepada kedua-dua duta itu di majlis pelancaran, Dr Maliki berpesan: "Sebagaimana anda memberikan inspirasi kepada anak-anak anda, saya berharap anda berdua akan terus memberikan inspirasi kepada masyarakat kita untuk menghargai Bahasa Ibunda kita."
FIR & HANS DEDAHKAN ANAK-ANAK KEPADA PROGRAM MELAYU
Dalam memupuk minat bahasa Melayu kepada enam cahaya matanya, pelakon dan pengacara Hans Hamid memberitahu beliau mencontohi cara yang digunakan ibu bapanya sendiri.
"Selalunya Hans ikutlah cara-cara kedua ibu bapa Hans dulu kerana mereka sering dengar lagu-lagu Melayu di corong radio, menonton drama-drama Melayu di kaca televisyen," kata Hans Hamid.
Fir Rahman turut mengamalkan teknik serupa, dengan mendedahkan keempat-empat anaknya kepada program dan kartun dalam bahasa Melayu di YouTube.
"Jika mereka tidak faham, mereka akan bertanyakan saya dan isteri apakah maksud-maksud ini, mengapa mereka bercakap begitu. Jadi saya dan isteri yang akan membantu mereka dengan Bahasa Melayu," kata Fir Rahman.
Bahkan, drama-drama yang dilakonkannya sendiri turut dijadikan bahan pembelajaran buat anak-anaknya.
"Mereka suka sangat melihat bapa mereka di kaca televisyen. Saya selalunya berlakon di Suria dan mereka akan menyaksikan saya dan pada masa yang sama, akan belajar tentang Bahasa Melayu," ujar Fir Rahman yang juga membintangi drama-drama di 'Saluran 5'.
Dalam acara pelancaran Bulan Bahasa yang disiarkan di SURIA pada Sabtu (3 Sept), kedua-dua Hans Hamid dan Fir Rahman turut memukau penonton dengan menunjukkan kehebatan masing-masing untuk mendeklamasikan sajak.
Terharu dan teruja di atas pelantikan mereka, kedua-dua personaliti itu menanam hasrat bagi menggunakan tanggungjawab yang diberikan untuk memupuk penghargaan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak muda.
"Ini peluang Hans mendedahkan bahasa Melayu, cinta bahasa Melayu kita terhadap anak-anak muda di luar sana dan mungkin golongan-golongan ibu bapa seperti saya kepada anak-anak mereka," kata Hans.
Fir yang juga aktif sebagai penggiat teater akan menggunakan pendekatan seni untuk menarik minat golongan muda.
"Bagi saya adalah tanggungjawab saya untuk melestarikan bahasa ini kepada mereka melalui persembahan teater, melalui persembahan-persembahan yang kian pupus bagi sayalah. Sebab bagi saya kalau bukan kita yang melestarikan adat-adat ini semua, adat dan budaya, siapa lagi?" jelas Fir.
Pelancaran Bulan Bahasa 2022 juga turut menampilkan elemen pantun dalam rancangan selama satu jam itu.
Ada juga sesi berbalas pantun antara pengacara Adi Rahman dan Huda Ali, bersama sekitar 400 penonton di Mediacorp, termasuk Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Dr Faishal Ibrahim dan Cik Rahayu Mahzam.
Sebuah lagu yang menampilkan pantun-pantun karya anggota MBMS, Encik Shahril Samri turut dipersembahkan menerusi lagu ‘Pantun Bulan Bahasa’ bersama penyanyi Ryan Sufiyan.
ACARA BULAN BAHASA AKAN TERUS DIADAKAN SECARA HIBRID, DEKATI BUKAN MELAYU JUGA
Meskipun keadaan COVID-19 kini bertambah baik, program-program Bulan Bahasa akan terus dijalankan di wadah online dan diadakan secara hibrid.
Acara-acara termasuk kelas penghayatan puisi dan tarian Melayu, bengkel melukis Batik atau sesi menimba ilmu silat menjadi antara kegiatan yang bakal disajikan secara hibrid.
"Ada aktiviti yang masih boleh dijalankan dalam talian jadi dapat disertai oleh lebih ramai orang tetapi penting juga untuk kita adakan aktiviti-aktiviti di mana orang ramai dapat bersua muka, dapat berinteraksi, dapat melakukan aktiviti bersama.
"Jadi dengan adanya perubahan waktu ini, itu yang kami harapkan dapat melihatkan kepelbagaian dan bermacam lagi aktiviti dijalankan oleh rakan kerjasama kami dalam usaha melestarikan penggunaan Bahasa Melayu," kata Cik Rahayu.
Di samping melakukan kegiatan-kegiatan bersama keluarga, Dr Maliki turut mengalu-alukan masyarakat bukan Melayu untuk turut serta dalam acara-acara yang disediakan.
"Ambillah peluang yang tersedia untuk mengenalkan bahasa dan budaya Melayu kepada rakan-rakan anda yang bukan Melayu menerusi berbagai kegiatan yang dianjurkan sempena Bulan Bahasa," ujar Dr Maliki.
Menurut Cik Rahayu, usaha menggalak penggunaan Bahasa Melayu seperti yang dilakukan Bulan Bahasa ini 'tidak ada tarikh luput' dan harus diteruskan dengan usahasama seluruh masyarakat.
"Ini bukan sesuatu yang mudah kerana cabaran kehidupan kita tetapi ianya sesuatu yang amat penting kerana ianya identiti kita. Jadi diharapkan aspirasi ini dapat dikongsi bersama, dapat kita gunakan cara yang pelbagai, menunjukkan citra kita, apa yang boleh kita lakukan dan menyemai rasa cinta kepada Bahasa" tambah Cik Rahayu.
Untuk senarai acara-acara Bulan Bahasa tahun ini, anda boleh ikuti Facebook Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.