Skip to main content

Singapura

Kegiatan air dihentikan di 3 pantai Sentosa selepas buaya dikesan

Anggaran Waktu Membaca:
Kegiatan air dihentikan di 3 pantai Sentosa selepas buaya dikesan
Penampakan buaya di perairan Singapura.
Diterbitkan : 01 Feb 2026 09:08AM Dikemas Kini : 01 Feb 2026 09:10AM
  • Kegiatan air di Pantai Siloso, Palawan dan Tanjong dihentikan selepas seekor buaya dikesan berhampiran Sentosa Cove pada 31 Januari.
  • SDC dan Lembaga Taman Negara (NParks) menjalankan operasi pencarian serta meningkatkan rondaan di kawasan pantai.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, mematuhi arahan keselamatan, dan melaporkan penampakan buaya kepada pihak berkuasa.
  • Pada tahun 2023, seekor buaya pernah dimatikan atas faktor keselamatan selepas dikesan di Marina East Drive dan Taman East Coast.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kegiatan air, termasuk berenang dan berkayak, dihentikan di Pantai Siloso, Palawan dan Tanjong di Sentosa sehingga notis lanjut selepas seekor buaya dikesan di perairan berhampiran Sentosa Cove pada petang Sabtu (31 Jan).

Sentosa Development Corporation (SDC) menyatakan dalam catatannya di Facebook bahawa Lembaga Taman Negara (NParks) dan SDC sudah dimaklumkan mengenai penampakan itu.

“Oleh kerana penampakan tersebut dinilai sebagai sah, satu pasukan bersama segera dikerahkan untuk menjalankan pencarian. Operasi pencarian oleh NParks dan SDC sedang diteruskan,” jelasnya.

Walaupun pantai-pantai berkenaan masih dibuka, kegiatan air tidak dibenarkan di Pantai Siloso, Palawan dan Tanjong semasa operasi pencarian.

SDC menambah bahawa pihaknya sudah "meningkatkan" rondaan dan pemantauan di kawasan pantai Sentosa.

Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan berundur secara perlahan sekiranya mereka berdepan dengan buaya, serta tidak menghampiri, mengganggu atau memberi makan kepada haiwan tersebut.

Mereka juga diminta mematuhi sepenuhnya papan tanda keselamatan dan arahan di lokasi.

Sebarang penampakan hendaklah dilaporkan kepada Pusat Respons Haiwan NParks di talian 1800-476-1600.

Pada 2023, seekor buaya air masin sepanjang hampir tiga meter dimatikan atas kebimbangan keselamatan awam.

Ia dikesan di sebuah pantai di Marina East Drive dan kemudian ditemui berhampiran Taman East Coast.

Ketika itu, Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Tan Kiat How berkata buaya tersebut dinilai sebagai menimbulkan “risiko besar” kepada keselamatan awam.
 
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita