Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keganasan tiada tempat di sisi agama, tegas Dr Faishal

Keganasan tiada tempat di sisi Islam mahupun dalam agama lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Keganasan tiada tempat di sisi agama, tegas Dr Faishal

Para pegawai polis di tempat kejadian pembunuhan AP Britain David Amess pada 15 Oktober. (Gambar: AP)

SINGAPURA: Keganasan tiada tempat di sisi Islam mahupun dalam agama lain.

Demikian tegas Menteri Negara bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Faishal Ibrahim dalam satu catatan Facebook hari ini (16 Okt).

Catatan beliau menyusuli siasatan awal Polis Metropolitan yang mendapati suspek kes pembunuhan Anggota Parlimen (AP) Britain David Amess dipengaruhi oleh fahaman pelampau Islam.

Mendiang Amess, 69 tahun, seorang penggubal dasar parti Konservatif, ditikam mati pada Jumaat (15 Okt) di sebuah gereja sedang beliau mengadakan sesi rundingan bersama para pengundi di sebuah bandar kecil di Leigh-on-Sea di Essex, London.

Polis memberkas seorang lelaki berusia 25 tahun di tempat kejadian kerana disyaki membunuh mangsa selain merampas sebilah pisau.

"Saya membaca dengan rasa penuh dukacita tentang kes tikam bunuh AP Britain David Amess. Salam takziah saya kepada keluarga beliau," tulis Profesor Madya Faishal.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa kes tersebut menunjukkan bahawa ancaman pengganasan masih wujud dalam masyarakat.

"Ia adalah satu ancaman kepada kita semua dan gaya hidup kita, terutama sekali dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura," tambah Dr Faishal yang juga Menteri Negara bagi Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Oleh itu, beliau menggesa orang ramai agar menilai dengan betul apabila menimba ilmu agama secara online.

Malah, Dr Faishal turut menasihatkan agar hanya menuntut ilmu daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai seperti golongan asatizah.

"Mari kita terus berwaspada dan mengesan tanda-tanda pemikiran radikal dalam kalangan keluarga dan sahabat kita.

"Kita semua mempunyai peranan untuk menjamin keselamatan masyarakat kita," tambah beliau.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan