Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kegagalan 2 komponen unit penjanaan kuasa punca bekalan elektrik terputus bulan lalu: Koh Poh Koon

Insiden bekalan elektrik yang terputus di beberapa kawasan di Singapura bulan lalu disebabkan kegagalan dua komponen dalam unit penjanaan kuasa di Sembcorp Cogen dan Senoko Energy, menurut Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Oct 2018 04:34PM Dikemas Kini : 01 Oct 2018 09:26PM

SINGAPURA: Insiden bekalan elektrik yang terputus di beberapa kawasan di Singapura bulan lalu disebabkan kegagalan dua komponen dalam unit penjanaan kuasa di Sembcorp Cogen dan Senoko Energy, menurut Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (1 Okt).

Dr Koh menjawab soalan yang dibentangkan empat Anggota Parlimen (AP). Mereka menanyakan tentang sebab kejadian pada 18 September itu, langkah-langkah pencegahan susulan yang akan diambil dan sama ada khidmat-khidmat penting seperti hospital, lif dan lampu trafik boleh dilindungi daripada terjejas oleh insiden sedemikian.

Menyingkap kejadian tersebut, Dr Koh berkata gangguan pada unit penjanaan kuasa pertama berlaku di Sembcorp Cogen pada 1.17 pagi dan kemungkinannya berpunca daripada "kerosakan alat", berdasarkan siasatan awal Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Ini disusuli gangguan unit penjanaan kuasa Senoko Energy beberapa saat kemudian akibat "kegagalan komponen peralatan yang berbeza".

Untuk menghidupkan semula bekalan elektrik, EMA segera mengarahkan unit-unit penjanaan kuasa sedia lain termasuk dari Senoko dan YTL PowerSeraya untuk membekalkan kuasa tambahan.

Bekalan elektrik dikembalikan secara bertahap-tahap setelah unit-unit tambahan itu dihidupkan sekitar 15 minit kemudian, dan bekalan elektrik pulih sepenuhnya dalam masa 38 minit, menurut Dr Koh.

Gangguan bekalan elektrik pada 18 September menjejas 146,500 pengguna, termasuk 130,535 keluarga.

Bagaimanapun Dr Koh menegaskan bagi khidmat-khidmat dan prasarana penting, rancangan tindak balas kecemasan sudah disediakan bagi menangani sebarang insiden bekalan tenaga terputus.

Misalnya, hospital-hospital awam disediakan dua sumber bekalan tenaga, dengan setiap satu daripadanya dapat membekalkan tenaga sokongan jika satu sumber gagal.

Semasa insiden bulan lalu, Dr Koh mendedahkan bahawa hospital-hospital di kawasan terjejas menghidupkan bekalan tenaga alternatif mereka dengan serta merta.

Bagi khidmat penting lain seperti lif penumpang, alat menyelamat automatik yang dipasang akan menyebabkan lif berhenti di aras terdekat dan membuka pintu jika terputus bekalan elektrik.

Bagi lampu isyarat trafik pula, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan bekerjasama dengan Polis Trafik untuk segera mengerahkan sumber ke kawasan terjejas. Penjana kuasa pengganti juga boleh dikerahkan ke kawasan terjejas untuk membekalkan kuasa bagi mengurangkan gangguan kepada operasi isyarat trafik, kata Dr Koh lagi.

Sejak berlakunya gangguan bekalan elektrik bulan lalu, EMA bekerjasama rapat dengan kedua-dua syarikat penjanaan kuasa terlibat dan pembekal peralatan asal bagi mengenalpasti punca kegagalan peralatan terlibat, kata Dr Koh.

Bagaimanapun proses itu kata Dr Koh "mengambil sedikit masa" kerana bahagian-bahagian peralatan perlu dihantar ke luar negara untuk diuji. "Namun kami percaya siasatan menyeluruh adalah penting.

EMA juga sedang bekerjasama dengan pihak perusahaan untuk menyemak semula proses-prosesnya, manakala Pemerintah sedang menyemak sistemnya untuk memastikan ada cukup kapasiti dan langkah-langkah kecemasan untuk menangani insiden sedemikian pada masa hadapan.

Dr Koh menambah: "Saya ingin memberi jaminan kepada Parlimen bahawa kita mempunyai kapasiti tambahan secukupnya dalam sistem kami. Buktinya, bekalan elektrik kembali pulih dalam masa 15 minit insiden berlaku."

Reka sistem sedia ada juga memenuhi keperluan negara sejauh ini. Singapura mempunyai antara sistem elektrik yang paling dipercayai dan dimampui di dunia.

"Antara tahun kewangan FY13 hingga FY17, secara purata gangguan yang dialami setiap pengguna di Singapura adalah antara 12 dengan 45 saat," kata Dr Koh.

Para pengguna di bandar-bandar utama dunia seperti Tokyo, New York, Hong Kong dan London pula mengalami gangguan antara 4 hingga 34 minit pada 2015.

Dr Koh menekankan pembukaan pasaran tenaga juga tidak menjejas keyakinan pada bekalan tenaga elektrik di sini. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan