Skip to main content

Singapura

Kedutaan China sahkan rakyatnya terbunuh dalam 'serangan pengganas' di Pakistan

Anggaran Waktu Membaca:
ISLAMABAD: Dua warga China terbunuh dalam satu letupan berdekatan lapangan terbang antarabangsa di Karachi, bandar selatan Pakistan pada Ahad malam (7 Okt), kata kedutaan China di Pakistan, dalam apa yang disifatkan sebagai “serangan pengganas”.

Dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada wartawan, kumpulan pemisah Baloch Liberation Army (BLA) mendakwa mendalangi letupan itu menggunakan alat letupan buatan sendiri yang menyasarkan warga China, termasuk jurutera.

Penyiar Pakistan Geo News melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera dalam letupan itu selain beberapa kematian.

Polis Karachi tidak segera mengulas tentang kejadian itu.

Kedutaan China berkata konvoi dari Syarikat Kuasa Elektrik Port Qasim diserang berhampiran lapangan terbang tersebut.

"Kedutaan dan Konsulat China di Pakistan mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas ini, merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang tidak bersalah di kedua-dua negara dan simpati ikhlas kepada mereka yang cedera dan keluarga (mereka)," kata kenyataan itu, sambil menambah pihak China telah bekerjasama dengan Pakistan selepas itu.

BLA menuntut kemerdekaan untuk wilayah Balochistan, yang terletak di barat daya Pakistan dan bersempadan dengan Afghanistan dan Iran. Pada Ogos, ia melancarkan serangan di wilayah itu, di mana lebih 70 orang terbunuh.

BLA secara khusus menyasarkan kepentingan China terutamanya pelabuhan strategik Gwadar di Laut Arab, menuduh Beijing membantu Islamabad mengeksploitasi wilayah itu.

Sebelum ini ia juga pernah membunuh warga China yang bekerja di wilayah itu dan menyerang konsulat Beijing di Karachi.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita