Kedudukan SG sebagai hab kewangan global sediakan peluang bagi lebih banyak produk kewangan patuh Syariah
Ini yang faktor yang mendorong syarikat Maybank untuk melancarkan Hab Pengurusan Kewangan Islam yang pertama seumpamanya di sini dalam satu majlis pada Isnin (20 Nov).
Ketua Kumpulan Pengurusan Kewangan Islam, Maybank, Encik Anurag Mathur, menjelaskan ia juga bagi memenuhi permintaan para pelabur yang kian rencam.
"Singapura mempunyai asas yang pelabur cari dan cadangan yang kami lakar ini bertujuan bukan sahaja untuk pelanggan tempatan tetapi juga luar negara dengan keperluan yang tidak dipenuhi bagi yang sudah melabur dengan Singapura, terdapat kekurangan produk Syariah dan huraian ini dalam pasaran. Jadi kami lihat jurang dan peluang, tiada tempat yang lebih baik selain Singapura" kata Encik Anurag.
Dalam majlis pelancaran itu, Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad menarik perhatian kepada kedudukan baik Singapura sebagai hab kewangan dengan ekosistem dan keupayaan yang baik untuk sokong pelan pengembangan institusi kewangan seperti Maybank.
"Khususnya bagi kewangan Islam misalnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan aset kewangan Islam sedunia dianggarkan meningkat kepada AS$2 trilion sejak sedekad lalu. Ini kenaikan yang besar dan menandakan permintaan meningkat bagi huraian kewangan Islam," kata Encik Zaqy dalam ucapannya.
"Lima skop kewangan bermula daripada 'wealth creation' iaitu bagaimana kita mencipta kekayaan 'wealth accumulation', macam mana kita menggandakan kekayaan kemudian yang ketiganya 'wealth preservation', macam mana kita melindungi nilai ataupun aset kita kemudian 'wealth purification', macam mana kita nak membersihkan harta kita dan macam mana kita nak melakukan pengagihan harta iaitu 'wealth distribution'", kata Dr Muhd Ramadhan.
Di samping itu, para pelanggan juga diberi akses kepada pakar-pakar kewangan Islam untuk mendapatkan maklumat ataupun nasihat yang lebih terperinci.
Menyentuh tentang pensucian harta pula, Dr Muhd Ramadhan menjelaskan bahawa para pelanggan boleh menguruskan kewangan mereka dari segi pemberian zakat, derma dan wakaf.
"Kita akan mempunyai pakar tempatan di Singapura tetapi pada masa yang sama kerana model operasi kita bersifat serantau, maka pelanggan-pelanggan di Singapura juga mempunyai akses kepada pakar-pakar syariah dan juga pakar kewangan daripada Malaysia bahkan mungkin pada masa akan datang juga daripada Indonesia," kongsi Dr Muhd Ramadhan.
Buat masa ini, khidmat serupa juga disediakan di Malaysia dan Indonesia.
"Prestasi inisiatif ini sangat membanggakan sama ada di Kuala Lumpur atau di Indonesia. Ia menunjukkan bahawa di peringkat pelanggan, mereka mahu untuk berkomunikasi ataupun menyelesaikan keperluan kewangan mereka secara holistik dengan satu instituisi berbanding beberapa institusi untuk menyelesaikan keperluan-keperluan kewangan mereka," ujar Dr Muhd Ramadhan.
Sebelum ini, Maybank sudah melancarkan dua dana amanah saham Islam di Singapura sejak 2021.
"Ini adalah sesuatu yang baharu dalam konteks di Singapura dan saya yakin ini adalah huraian yang ditunggu-tunggu oleh pelanggan-pelanggan kami di Singapura," tambah Dr Muhd Ramadhan.
Perkhidmatan tersebut akan tersedia di kesemua cawangan Maybank di Singapura dan juga melalui wadah digital bank berkenaan.
Dalam majlis yang sama, sebuah perbincangan panel berjudul 'Mengemudi masa hadapan: Memajukan pengurusan kewangan melalui nilai turut diadakan.
Hampir 200 pelanggan Maybank menghadiri majlis pelancaran Hab Pengurusan Kewangan Islam tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.