Skip to main content

Singapura

Kedudukan Pritam Singh sebagai setiausaha agung agenda sidang khas kader WP pada 28 Jun

Masa depan Encik Pritam Singh sebagai setiausaha agung Parti Pekerja (WP) akan menjadi agenda utama dalam persidangan khas anggota kader parti tersebut pada 28 Jun, di mana beliau akan berdepan undian rahsia berhubung kedudukannya jika beliau tidak mengundurkan diri, menurut maklumat yang diperoleh Mediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:
Kedudukan Pritam Singh sebagai setiausaha agung agenda sidang khas kader WP pada 28 Jun

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh berucap semasa rapat pilihan raya di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 28 April 2025. (Gambar fail: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 01 Jun 2026 11:09PM
SINGAPURA: Masa depan Encik Pritam Singh sebagai setiausaha agung Parti Pekerja (WP) akan menjadi agenda utama dalam persidangan khas anggota kader parti tersebut pada 28 Jun, di mana beliau akan berdepan undian rahsia berhubung kedudukannya jika beliau tidak mengundurkan diri, menurut maklumat yang diperoleh Mediacorp.

Notis yang dihantar kepada para anggota kader dan dilihat Mediacorp menyatakan bahawa persidangan itu akan diadakan "menyusuli permintaan daripada 25 anggota kader".

Awal tahun ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu mengeluarkan surat teguran rasmi kepada Encik Pritam, menyusuli proses disiplin dalaman yang berpunca daripada sabitan mahkamah terhadap beliau kerana berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen.

Notis yang dihantar kepada para anggota kader itu menggariskan tiga perkara dalam agenda untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang akan diadakan hujung bulan ini.

Perkara pertama ialah Encik Pritam perlu "memberikan penjelasan kepada anggota kader mengenai sabitan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menegakkan sabitan tersebut".

Kedua, para anggota kader meminta Encik Pritam untuk melepaskan jawatan sebagai setiausaha agung dengan serta-merta kerana melanggar Artikel 30 perlembagaan parti tersebut, iaitu "bersikap jujur dan berterus terang dalam semua urusan dengan parti dan rakyat Singapura".

Sekiranya Encik Pritam tidak berbuat demikian, "undian rahsia akan diadakan oleh para anggota kader untuk memutuskan sama ada setiausaha agung harus dikekalkan atau perlu mengundurkan diri", menurut perkara ketiga dalam agenda mesyuarat tersebut.

Pengerusi persidangan khas anggota kader itu ialah Ketua Penyelidikan Dasar WP Gerald Giam. Ia akan diadakan pada pukul 12.00 tengah hari di ruang acara The Exchange di Singapore Land Tower, Raffles Place.

Persidangan dwitahunan anggota kader parti itu juga akan diadakan pada pukul 3.00 petang pada hari yang sama. Dalam persidangan itu, para anggota kader akan memilih setiausaha agung, pengerusi parti serta 12 anggota CEC, iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti.

Tiga pemilihan CEC sebelum ini diadakan pada Disember 2020, November 2022 dan Jun 2024.

Apabila dihubungi Mediacorp, WP enggan memberikan sebarang ulasan.

Encik Pritam sebelum ini dipilih semula tanpa bertanding sebagai setiausaha agung parti dalam pemilihan dwitahunan sejak mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Low Thia Khiang pada 2018.

Para anggota kader adalah anggota parti yang mempunyai hak mengundi secara langsung untuk memilih CEC dan mempunyai kuasa untuk menentukan kepimpinan parti.

Sekumpulan anggota kader sebelum ini menandatangani sepucuk surat pada hujung tahun lalu untuk menggesa agar mesyuarat khas diadakan.

Awal tahun ini, parti itu menyatakan bahawa ia akan mengadakan persidangan berkenaan dalam tempoh dua minggu selepas proses disiplin terhadap Encik Pritam selesai. Proses tersebut berpunca daripada kes mahkamah terhadap Encik Pritam yang berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen.

Pada 30 April, parti itu mengumumkan bahawa CEC telah mengeluarkan surat teguran rasmi kepada Encik Pritam menyusuli proses disiplin dalaman parti.

Panel disiplin mendapati Encik Pritam melanggar Artikel 20(1) dan 30 perlembagaan parti, yang berkaitan dengan tingkah laku dan disiplin anggota, berdasarkan dapatan mahkamah. CEC menyatakan bahawa ia menerima dapatan panel tersebut.

Bagaimanapun, kepimpinan parti juga berpendapat bahawa Encik Pritam tidak berniat untuk bertindak bertentangan dengan prinsip, matlamat ataupun kepentingan parti.

Panel disiplin itu terdiri daripada Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sengkang, Jamus Lim dan He Ting Ru, serta mantan Anggota Parlimen Hougang, Png Eng Huat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita