Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kedudukan kewangan masjid & madrasah S'pura kekal stabil; 99% masjid punya penyata kewangan bersih

Kedudukan kewangan masjid-masjid dan madrasah-madrasah di Singapura kekal stabil dan sihat walaupun di tengah-tengah pandemik COVID-19 berkat sumbangan derma orang ramai dan sokongan Pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kedudukan kewangan masjid & madrasah S'pura kekal stabil; 99% masjid punya penyata kewangan bersih

(Gambar-gambar fail: MUIS)

SINGAPURA: Kedudukan kewangan masjid-masjid dan madrasah-madrasah di Singapura kekal stabil dan sihat walaupun di tengah-tengah pandemik COVID-19 berkat sumbangan derma orang ramai dan sokongan Pemerintah.

Menerusi satu kenyataan media pada Ahad (11 Jul), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendedahkan hampir $6 juta dikumpul menerusi portal OurMasjid.SG sejak ia dilancarkan pada April tahun lalu. Jumlah itu kemudian diagihkan kepada masjid-masjid tempatan setiap tiga bulan.

Bagi madrasah-madrasah pula, S$400,000 sudah terkumpul menerusi portal OurMadrasah.SG yang dilancarkan pada Disember tahun lalu.

"Bersama-sama dengan Skim Bantuan Pekerjaan Pemerintah (JSS), masjid-masjid kita berada dalam kedudukan kewangan yang sihat. Pada masa yang sama, semasa wabak ini, kakitangan madrasah dan guru-guru kita bertindak dengan cepat untuk mengurangkan gangguan terhadap pembelajaran pelajar mereka," menurut MUIS.

Perkembangan baik ini sekaligus menyangkal dakwaan-dakwaan bahawa kononnya sumbangan derma "jauh berkurangan di masjid" disebabkan sekatan-sekatan COVID-19 sehingga masjid-masjid Singapura kini berdepan krisis kecairan yang teruk.

Dakwaan seperti itu diketengahkan secara meluas di media sosial. Lebih tepat lagi, ia dikemukakan seorang penulis asing yang rencananya turut dikongsi di kumpulan Facebook "Suara Melayu Singapura".

Dalam satu surat terbuka pada Sabtu (10 Jul), Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood turut mendedahkan bahawa hampir semua masjid di bawah pentadbiran MUIS mempunyai penyata kewangan yang bersih.

"Pada 2015, 77 peratus masjid mempunyai penyata kewangan yang bersih. Bagi Tahun Kewangan 2019, kita berjaya meningkatkan perangkaan ini kepada 99 peratus, dan hanya penyata kewangan satu masjid yang didapati kurang lengkap," kata Encik Esa.

Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood. 

Encik Esa juga menyasarkan semua masjid akan mempunyai laporan audit yang bersih dalam tempoh tiga tahun dari Tahun Kewangan 2019 dan beliau yakin ini dapat dicapai dengan kerja keras para pegawai masjid yang berdedikasi.

MUIS juga menyaksikan peningkatan dalam tadbir urus kewangan madrasah. Misalnya, akaun madrasah-madrasah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS) diaudit setiap tahun dan laporannya diserahkan kepada MUIS.

Bagi madrasah yang bukan di bawah JMS, MUIS membantu mereka seperti contoh, dengan Pakej Bantuan Komprehensif yang dihulurkan kepada Madrasah Wak Tanjong, bagi memperkukuh proses tadbir urus kewangan dan audit tahunannya.

Para pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. (Gambar fail: BERITAMediaCorp)

Gambar fail.

Ini antara penjelasan MUIS tentang bagaimana masjid-masjid dan madrasah-madrasah di sini diuruskan dengan baik dan pihak-pihak tersebut berjaya membuat penyesuaian dalam keadaan pandemik.

MUIS turut menyatakan bahawa kes-kes yang melibatkan individu atau keadaan yang kurang menyenangkan "jarang berlaku dan perkara seperti ini tidak harus menjejas reputasi para pemimpin masjid dan madrasah, kakitangan dan sukarelawan".

"Apabila terdapat kes-kes (sedemikian), MUIS terus mengambil tindakan susulan dan melakukan siasatan yang menyeluruh. Apabila perlu, MUIS tidak teragak-agak melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan juga tindakan yang sewajarnya," tegas MUIS.  

Sumber : BERITAmediacorp/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa