Skip to main content

Singapura

Kedaulatan undang-undang perkukuh fabrik sosial SG; pemerintah perlu cerminkan nilai masyarakat dalam undang-undang: Edwin Tong

Kedaulatan undang-undang merupakan rangka kerja untuk memperkukuh fabrik sosial Singapura kerana ia adalah “asas kepada kepercayaan bahawa tiada sesiapa pun yang terlepas daripada undang-undang, dan tiada golongan masyarakat yang akan maju atau tercicir disebabkan faktor yang membezakan diri mereka”, kata Menteri Undang-Undang Edwin Tong pada Rabu (13 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Kedaulatan undang-undang perkukuh fabrik sosial SG; pemerintah perlu cerminkan nilai masyarakat dalam undang-undang: Edwin Tong

Menteri Undang-Undang Edwin Tong berucap di Forum Belia SGLaw200 pada 13 Mei 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)

Diterbitkan : 13 May 2026 11:00PM
  • Menteri Undang-Undang Edwin Tong menegaskan kedaulatan undang-undang sebagai asas kepercayaan dan keadilan sosial di Singapura, dengan pemerintah bertanggungjawab mencerminkan nilai masyarakat dalam undang-undang.
  • Undang-undang Singapura memberi perlindungan lebih kepada golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas, serta menjatuhkan hukuman lebih berat kepada pesalah yang menyakiti mereka.
  • Isu perkahwinan sejenis dibincangkan, dengan pemerintah mengekalkan definisi perkahwinan antara lelaki dan perempuan berdasarkan nilai majoriti masyarakat, walaupun Seksyen 377A telah dimansuhkan.
  • Panel turut membincangkan akses kepada keadilan, peranan badan kehakiman dan AGC, serta cabaran dan aspirasi perwakilan etnik minoriti dalam sistem perundangan Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kedaulatan undang-undang merupakan rangka kerja untuk memperkukuh fabrik sosial Singapura kerana ia adalah “asas kepada kepercayaan bahawa tiada sesiapa pun yang terlepas daripada undang-undang, dan tiada golongan masyarakat yang akan maju atau tercicir disebabkan faktor yang membezakan diri mereka”, kata Menteri Undang-Undang Edwin Tong pada Rabu (13 Mei).

Dengan pemerintah “diletakkan di tengah-tengah masyarakat dan undang-undang”, ia turut menjadi tanggungjawabnya untuk mencerminkan nilai sosial yang mahu dilihat masyarakat dalam undang-undang negara, kata beliau.

Encik Tong menarik perhatian kepada bagaimana undang-undang membezakan kemudaratan yang dilakukan terhadap golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas, kerana masyarakat mahu menghantar isyarat jelas bahawa perkara sedemikian tidak boleh diterima.

Oleh itu, undang-undang menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap pesalah yang menyakiti mangsa daripada golongan rentan.

Encik Tong berkata demikian semasa menyertai panel berhubung kedaulatan undang-undang dan fabrik sosial Singapura di Forum Belia SGLaw200, bersama Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir dan Timbalan Peguam Negara Goh Yihan.

Dialog yang meluas itu turut menyentuh pemisahan kuasa dalam sistem perundangan Singapura, memastikan akses kepada keadilan serta sama ada wujudnya “had tidak rasmi” bagi golongan etnik minoriti dalam badan kehakiman.

Semasa dialog bersama hampir 500 hadirin itu, seorang peserta merujuk kepada kenyataan awal menteri undang-undang tersebut berhubung ketiadaan individu yang ketinggalan dan bertanya tentang langkah Singapura tidak membenarkan perkahwinan sivil sejenis bagi masyarakat LGBTQ.

Encik Tong, yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, mengulangi pendirian pemerintah bahawa ia perlu mempertimbangkan “sistem nilai masyarakat” dan “apa yang menjadi kesepakatan majoriti masyarakat” dalam isu sedemikian.

Menyusuli undian di parlimen pada 2022, Singapura memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang menjadikan hubungan seks antara lelaki satu kesalahan jenayah dan turut meminda Perlembagaan untuk melindungi definisi perkahwinan antara lelaki dengan perempuan.

“Apabila kami memansuhkan 377A, kami juga menyatakan pada masa yang sama bahawa kami akan mengabadikan apa yang kami percaya sebagai teras utama dasar sosial di Singapura,” kata Encik Tong.

“Pada masa ini, pandangannya ialah masyarakat kita menghormati nilai teras sistem kekeluargaan, iaitu penyatuan keluarga menerusi hubungan antara lelaki dengan perempuan, dan dasar-dasar yang dibina berasaskannya,” kata beliau.

Ini tidak bermakna mereka yang mempunyai keutamaan atau pandangan yang berbeza tidak mempunyai tempat di Singapura, tambah beliau.

Sambil menyatakan bahawa sentimen boleh berubah dari semasa ke semasa, Encik Tong menambah bahawa ia juga “sentiasa menjadi kepentingan Singapura dan gaya kami untuk melakukan sesuatu secara berperingkat” supaya nilai dan norma sosial kebanyakan masyarakat dapat diwakili.

Hakim Faizal dan Timbalan Peguam Negara Goh turut menekankan, ia menjadi tanggungjawab pemerintah yang dipilih rakyat untuk menentukan dasar, bukan mahkamah atau Pejabat Peguam Negara (AGC).
Related article image
(Dari kiri) Timbalan Peguam Negara Goh Yihan, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, Menteri Undang-Undang Edwin Tong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pro Bono SG, Cai Chengying, di Forum Belia SGLaw200 pada 13 Mei 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
“Mahkamah kita tidak menentukan dasar sosial secara abstrak, namun apabila pertikaian sebenar dengan implikasi sebenar dibawa ke mahkamah, mahkamah tetap perlu memberikan jawapan - dengan berhati-hati, adil dan menurut undang-undang,” kata Hakim Faizal.

Walaupun AGC merupakan penasihat undang-undang pemerintah dan menggubal perundangan pemerintah, peranannya bukan untuk menentukan dasar, kata Encik Goh.

“Apa yang kami lakukan ialah memastikan apa sahaja dasar yang diketengahkan pemerintah diterjemahkan dengan jelas dalam undang-undang secara konsisten dan tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada,” kata beliau.

AKSES KEPADA KEADILAN DAN “HAD TIDAK RASMI”

Anggota panel turut menyentuh berhubung akses keadilan, dengan Hakim Faizal menarik perhatian kepada usaha seperti menulis semula surat-menyurat mahkamah dalam bahasa yang lebih mudah dan membolehkan tuntutan kecil difailkan serta diuruskan secara online dengan sepenuhnya.

Encik Tong mengulangi bahawa badan kehakiman dan sistem perundangan bertaraf dunia di Singapura tidak akan menjadi bermakna jika golongan paling rentan di negara ini merasakan bahawa mereka tidak boleh mengaksesnya.

Mengulas tentang bagaimana AGC melindungi mangsa rentan, Encik Goh berkata peranan asasnya bukan sekadar mendapatkan sabitan, tetapi memastikan keadilan ditegakkan.

“Keadilan kadangkala ditegakkan apabila kami tidak mengejar tuduhan paling berat, tetapi pertuduhan yang paling sesuai, dengan mengambil kira fakta dan bukti yang ada dalam sesuatu kes,” kata beliau.

Menjelang penghujung sesi tersebut, seorang peserta bertanya sama ada perwakilan golongan minoriti dalam jawatan kanan badan kehakiman dan sistem perundangan, khususnya bagi anggota masyarakat Melayu/Islam, merupakan satu aspirasi yang realistik.

Hakim Faizal berkata, beliau pernah ditanya tentang kemungkinan adanya lebih ramai peguam kanan Melayu/Islam dalam tempoh sedekad akan datang sebelum ini, dan jawapan yang diberikan ialah: “Saya rasa tiada masalah”.

Menurut Hakim Faizal, beliau pernah diberikan nasihat bahawa terdapat dua cara untuk menjalani kehidupan.

“Sama ada kita memilih untuk menjalani kehidupan dengan mempercayai bahawa wujudnya ‘had tidak rasmi’, dan oleh itu sentiasa mengehadkan aspirasi saya. Dan tidak kira sama ada ‘had tidak rasmi’ itu wujud atau tidak, perkara itu akan tetap berlaku kerana anda menjalani hidup berdasarkan kepercayaan tersebut,” kata beliau.

“Atau anda boleh memilih, walaupun ‘had tidak rasmi’ itu wujud, ia sebenarnya tidak penting ... kerana setakat mana ia wujud, saya ... mempunyai bakat dan kemampuan sendiri yang mencukupi untuk menembusi ‘had tidak rasmi’ itu - bukan untuk diri saya sendiri, tetapi untuk memecahkannya supaya orang seterusnya boleh pergi lebih jauh daripada yang saya mampu.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita